MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Sunday, March 7, 2010

Kalau Benar Cintakan Allah..


Bismillah wal Hamdulillah.

Alhamdulillah, Allah masih beri kesempatan dan peluang menikmati dua nikmat yang paling besar, yakni nikmat Iman dan nikmat Islam. Subhanallah..Allahu Akbar..

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,

Allah berfirman dalam Surah al-Fath ayat 9 yang bermaksud:

"Supaya kamu semua beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)-Nya, membesarkan-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."

Bertasbih di sini bermaksud kita berzikir dengan kuantiti dan kualiti yang tinggi. Zikir lidah, zikir hati dan zikir perbuatan semuanya menjurus kepada membesarkan Allah dan segala yang lain kecil belaka.

Lidah menyebut kalimah Allah, lalu hati merasakan kebesaran dan keagunganNya dan tindakan menyusul apabila kita selaraskan segala perbuatan dengan hukum-hakamNya. Itulah zikir yang hakiki. Kesannya sepadu. Ia akan memberi ketenangan dan kekuatan.

Namun apabila Allah dilupakan, umat akan kurang menyebut namaNya lagi. Ketika itu, hati-hati pun lalai daripada merasakan kebesaran dan keagunganNya. Akibatnya hukum-hakam diabaikan dalam tindakan dan perbuatan. Apabila ini terjadi jangan ditangisi jika Allah 'lupakan' kita.

Allah hanya menjadi pembela kepada orang yang bertaqwa. Orang yang bertaqwa adalah orang yang banyak mengingatiNya; dengan lidah, hati dan perbuatan. Menjadi seorang Muslim sahaja (bukan muttaqin), tidak melayakkan kita mendapat jaminan bantuan daripadaNya. Siapakah kita, muttaqin atau hanya Muslim?

Muslim, lebih-lebih lagi Muslim yang fasiq, kurang berzikir malah ada yang tidak berzikir langsung. Apakah Allah akan mengingati kita jika kita melupakanNya? Lalu terbiarlah kita dihina, dizalimi dan diperkotak-katikkan oleh musuh tanpa mendapat pembelaan.

Bimbang dosa

Sayyidina Umar pernah mengingatkan, bahawa dia lebih bimbangkan dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam berbanding kekuatan dan perancangan musuh. Dosa-dosa akan menghalang daripada datangnya bantuan Allah kepada kita. Kenapa orang melakukan dosa? Jawabnya, kerana lupakan Allah, Lupa zikir kepadaNya. Justeru, untuk mendapat kekuatan, elakkan dosa. Dan untuk elakkan dosa sentiasalah mengingati Allah.

Ya, masakan orang yang sentiasa ingatkan Allah tergamak bergelumang dengan dosa? Jika terlanjur sedikit pun mereka segera bertaubat. Orang yang beginilah akan mendapat bantuan Allah dalam apa yang mereka usahakan dan perjuangkan. Mereka disokong oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Belum pun bertempik, hanya berbisik, orang akan akur dan tunduk.


When Allah is your "friend", who is your enemy?

Apabila Allah akrab dengan kita, siapakah yang berani memusuhi kita? King Richard yang berhati singa itu pun tunduk kepada Sultan Salehuddin al-Ayubi. Mengapa? Apakah hanya kerana kekuatan Salehuddin? Tidak, tetapi kerana akhlak dan keperibadiannya yang ditempa dengan zikrullah. Hasilnya, sifat pemaaf, kasih sayang dan prihatinnya, tidak terbatas. Merentas sempadan bangsa, negara dan agama.

Musuh tidak terlalu laju, tetapi orang Islam yang terlalu perlahan. Kita seharusnya ke depan dengan roh cinta dan kasih sayang. Dengan cinta kita berdakwah, berhujah dan menjelaskan dengan penuh hemah dan hikmah tanpa dibauri oleh kebencian dan prasangka.

Dengan cinta, kita tidak hanya menyebut namaNya, mengingatiNya dan mendaulatkan hukum-hakamNya dalam diri tetapi kita akan kembangkan sayap cinta itu ke dalam rumah tangga, organisasi, masyarakat dan negara.

Kalau benar cintakan Allah, cintailah diri dan umat ini dengan banyak mengingatiNya. Bangun seawal Subuh, bersih dan sucikan diri. Lalu solatlah untuk mengingatiNya. Kemudian bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki yang halal dengan meninggalkan segala bentuk rasuah, riba dan penyelewengan.

Atur keluarga mengikut syariat. Jauhkan pendedahan aurat. Perangi pergaulan bebas, racun hedonisme dan fesyen bohemian dalam kehidupan diri dan remaja kita. Pacu kemajuan ekonomi, tetapi jangan lupakan hukum Ilahi. Bersiasahlah tetapi jauhi fitnah dan kepentingan diri. Ingat Allah! Jaga halal dan haram dalam setiap perilaku dan perbuatan.

Kalau benar cintakan Allah... ingatlah, "Cinta itu bukan kata-kata, love is a verb (cinta itu tindakan)". Bangkitlah dengan kecintaan bukan dengan satu kebencian. Jangan marahkan orang yang tidak cinta...jika kita tidak mencintai.

Marahkan diri kita dahulu, sebelum marahkan mereka. Tidak malukah kita kepada Allah, justeru jika demikian...bererti cinta kita hanya kata-kata? Hanya pura-pura?

Petikan diambil dari Majalah Solusi, edisi ke-16, oleh Muhammad Jihad, ruangan KATADUA.

Wallahu a'lam. Moga beroleh manfaat bersama.

~Aslih Nafsak Wad'u Ghairak~

No comments: