MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Monday, October 25, 2010

Tips Ketika Buntu..


Bismillah wal Hamdulillah.

Alhamdulillah, kita masih diberi peluang oleh Allah untuk menikmati dua nikmat yang paling besar, yakni nikmat Islam dan nikmat Iman.

Penulis mengambil kesempatan pada kali ini untuk berkongsi atau memanjangkan lagi salah satu ilmu dari ilmu-ilmu yang Allah telah pinjamkan kepada umat manusia.

Pada asalnya, penulis telah diberi nasihat oleh emak penulis pada pagi tadi, di mana beliau telah mengutip mutiara ini melalui kuliah subuh pada hari Ahad, 24 Oktober 2010 (semalam) di Masjid UKM, Bangi. Penulis merasa ianya sangat berguna dan perlu di'share'kan bersama pembaca sekalian.

Ianya mengenai amalan yang digalakkan untuk kita lakukan, memandangkan mahasiswa-mahasiswi universiti yang rata-ratanya bakal menduduki final exam, mungkin juga berguna buat para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan akhir tahun, SPM, dsb.




Ringkas dan padat. Seandainya anda buntu ketika menelaah dan mengulangkaji pelajaran, atau 'blank' sewaktu menjawab soalan peperiksaan, anda disarankan untuk membaca..




1) Doa sebelum belajar. Doanya tidak ditetapkan. Bergantung kepada individu.

2) Al-fatihah. Kita hadiahkan buat Junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat baginda, dan ibu bapa kita.

3) Al-fatihah buat diri kita sendiri.

4) Selawat ke atas Nabi, sebanyak 7 kali.


Yakin dan tawakkal kepada Allah.

InsyaAllah, moga Allah mempermudahkan urusan kalian. Walaubagaimanapun, semuanya di bawah kekuasaan dan ketetapan Allah.




Di kesempatan ini juga, penulis memohon kemaafan kepada muslimin muslimat, saudara-saudari, brothers and sisters, yang mengenali penulis atau tidak, secara langsung atau tidak, sekiranya penulis ada melakukan kekhilafan diri serta kesalahan dari segenap sudut. Mohon Allah Taala tidak menutup hijab tika penulis 'berperang' dengan mata pena disebabkan dosa penulis pada kalian.

Jika ada yang perlu dituntut atau yang sewaktu dengannya, boleh khabarkan kepada penulis. Penulis terima dengan hati terbuka. Dan mungkin penulis akan melakukan sesuatu agar pintu kemaafan dapat dibuka. InsyaAllah, penulis juga tidak menyimpan apa jua dendam kesumat dalam hati penulis kepada kalian. Moga sama-sama kita menjadi insan yang pemaaf.




Akhir kata dari penulis, jadikanlah imtihan dunia ini sebagai salah satu wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Taqarrub ilallah. Rugilah kita jika hanya berusaha, tanpa 'meminta izin' dariNya. Kita perlu berusaha, tetapi perlu diingat, yang memberi kejayaan hanyalah kuasa Allah. Jika kita beranggapan kita berkuasa menentukan kejayaan kita, ingatlah, ada lagi Yang Maha Berkuasa.




Salam imtihan dari penulis. Bittaufiq wan najah. ;)


"Ya Allah, sekiranya kegagalan kami membawa fitnah pada Islam dan perjuangan, maka Kau cemerlangkanlah kami dalam setiap perkara. Dan sekiranya kejayaan kami membuat kami jauh dari Islam dan perjuangan, maka Kau lebih berhak menentukan yang selayaknya untuk kami. Kerana kami mengimani, tiada yang Kau takdirkan sia-sia, melainkan ada hikmah yang belum tersingkap nilainya."


Moga bermanfaat.


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Friday, October 22, 2010

Sambungan.. [Hanya Seminggu]


Hanya Seminggu



"Awal bonar ekau balik, Ila?". Terkeluar sedikit loghat nogori Mak Som, satu-satu ibunya.

"Hari
first masuk kerja, bu. Tak banyak kerja sangat.. Lagipun takdela awal sangat, kira ok la tu.." jawab Ila sedikit kepenatan sambil senyuman manja di bibir.

"Iyelah..dah solat asar ke belum?" pantas ibunya bertanya.


"Belum, bu. Asar pun baru masuk je kan?" tanya Ila sedikit kehairanan.

"Ye tak ye jugak. Dah..pergi bersihkan diri, lepas tu kita solat berjemaah. Ibu tunggu.."

"Gampang buk..insyaAllah, tunggu sebentar ya!" jawab Ila ala-ala Indon.


Mak Som tersenyum sambil menggeleng-gelengkan sedikit kepala.
'Ada-ada je la anak aku ni..' bisik hatinya.



************************


Seusai solat, Ila menuju ke kamarnya, bertemakan kebiruan, sesuai dengan warna kegemarannya. Belum sempat dia menyelak langsir kamarnya..


"Ila, nanti datang depan ye. Ibu ada sedikit perkara nak berbincang dengan kamu ni." pinta si ibu.


Na'ilah memandang ibunya lalu mengangguk bersahaja.



************************



"Ibu nak air?" tanya Ila.


Ibunya hanya menggelengkan kepala tanda tidak mahu.


"Ayah?"


"Ayah baru je minum air teh herba yang ibu kamu buat tadi." ayahnya menolak ringkas.

"Duduklah nak.." ayahnya menyeru kepadanya malah sudah tahu anaknya itu ingin melambatkan proses perbincangan.


Ila duduk bersimpuh di lantai.

"Ila dah fikirkan ke belum perkara yang ibu sampaikan kelmarin?" tanya ibunya tanpa membuang masa.

"Erm..." Ila serba-salah.


"Beginilah Ila. Kamu tu dah besar panjang. Dah matang untuk membuat keputusan. Ayah dan ibu sepakat bersetuju. Hanya tinggal kata putus dari kamu je." jelas si ayah.


"Ayah.. Ibu.. Jika ayah dan ibu merasakan itu yang terbaik buat diri Ila, Ila tidak membantah. Asalkan ayah dan ibu redha akan Ila." Ila hanya tunduk mengemukan jawapan.

"Ila tak perlukan masa ke? Lagipun, Ila kan masih tak kenal siapa dia. Kalau ibu katakan kepada dia, Ila memerlukan masa seminggu, setuju?" tanya si ibu memerlukan kepastian.

"Hanya seminggu? Erm..kalau begitu, ayah dan ibu tolong berikan Ila masa dalam seminggu ye?" cetus Ila berharap ada keputusan selepas istikharah yang akan dilakukan.

"Baiklah. Apa jua keputusanmu, ibu dan ayah akan menyokongmu." Mak Som cuba memberi sokongan pada anak emasnya.

"Terima kasih bu.."

"Cuma, ayah nak ingatkan kamu, jangan terbawa-bawa perkara ni sehingga boleh membebankan kamu dan membuatkan kamu lalai mengingati Allah. Bahkan, kamu perlu lebih dekat dengan Allah supaya kamu diberi jalan yang terbaik di sisiNya." nasihat ringkas dan padat dari seorang ayah.


"InsyaAllah, ayah. Terima kasih mengingatkan Ila." wajah Ila tenang dengan senyuman.


"Baiklah ayah, ibu. Ila masuk tidur dulu. Takut 'terlajak' pula esok." lemah lembut bicaranya mengundur diri.


"Tafaddholi ya bint." ujar ayahnya.

Ila sedikit keletihan lantaran tugas baru yang diterimanya sejak beberapa hari yang lalu. Bimbang juga seandainya amalan hariannya ditinggalkan berbekalkan alasan sebegitu.


Ya, dengan Qiamullail lah dirinya terasa begitu rapat dengan Tuhannya. Segala aturan hidup disandarkan pada Yang Maha Kuasa. Setiap tindak-tanduknya dimulakan dengan nama Tuhannya. 'Bismillahirrahmanirrahim'. Itulah tunjang kekuatan pada dirinya. Bangun pada waktu malam untuk melaksanakan ibadat-ibadat sunat, memanjatkan doa pengharapan syurga dan keampunan buat diri, keluarga dan saudara seIslam.

Kerana itu juga dia memasakkan jauh di sudut hatinya ingin menjadi seperti Na'ilah al-Farafishah, sesuai dengan nama yang telah diberikan Allah kepadanya. Sentiasa berharap, walau tidak secara keseluruhan, auranya sahaja sudah mencukupi.

Mudah-mudahan....




To be countinued, insyaAllah.. ^_^'


Wednesday, October 20, 2010

Wasilah Risalah..


Bismillah wal Hamdulillah.

Seinfiniti rasa syukur pada Allah, Tuhan Sekalian Alam. Moga dirimu tetap jua teguh di jalanNya.

Kali ini, ana tertarik untuk berkongsi satu artikel yang ana dapat melalui emel sebentar tadi. Tersentuh bilamana membacanya. Moga dapat manfaatnya bersama.


**************************************************


Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan anak lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan puteranya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata, “OK ayah, saya sudah bersedia”.

Ayahnya berkata, “Bersedia untuk apa?”.

Budak itu menjawab,
“Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”.

Ayahnya membalas,
Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya,
“Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?".

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”.

Dengan nada sedih, budak itu bertanya,
“Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”.

Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata,
“Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati”.




Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya. Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang. Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu.

Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan. Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi.

Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka. Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan.

Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya,
“Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata,
“Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya”.

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik.


Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, "Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”

"Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati."

"Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi 'Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya'. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat."

"Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya."

"Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk 'Jalan Ke Syurga' yang saya sedang pegang ini. Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut."

"Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi. Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka."

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR. ALLAHU AKBAR. Gemaan takbir bergema di udara.

Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk. Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya.


Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini. Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.

“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

~Al-Maidah, ayat 3~


****************************************************

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Tuesday, October 19, 2010

Khawlah Al-Azwar..



Langkahmu berbisa bukan sandiwara
Siapakah dirimu bukan soalnya

Keberanianmu pencetus gelora di jiwa

Rela syahid dari dihina


Pejuang misteri srikandi harapan

Handal berpedang tangkas berkuda

Pantas bertempur di medan perang

Merebahkan musuh menjadi teladan


Khawlah al-Azwar tampil membawa cita

Membawa pulang saudara tercinta

Biar berkorban nyawa dan jasad

Demi agama jua dirimu setia


Meski ditawan musuh Rom durjana

Hati teguh tombak dipecahkan

Takbir dilaungkan bangkitkan jihad

Itulah dia bidadari besi sirah tercatat



Gambar hiasan~


Aku ingin menjadi seperti beliau..


-SAJS-
D1.5 Sumayyah
UIA Gombak
12 Oktober 2010
9.52 pm


**********************************************

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Wednesday, October 13, 2010

Kalau saya......


Bismillah wal Hamdulillah.


Kalau saya pandang..




Kadang-kadang
saya sedang memikirkan sesuatu.

Kadang-kadang
saya sedang mengingat sesuatu.

Kadang-kadang
saya sedang mencongak sesuatu.


Kalau saya renung..



Kadang-kadang
saya nak cam 'entah-entah dia ni sepupu aku'.

Kadang-kadang
saya tak percaya betul ke dia ni kawan aku!

Kadang-kadang
saya tengah merindui keluarga kat rumah tu.


Kalau saya tengok..



Kadang-kadang
saya tengok kombinasi warna tudung dan baju.

Kadang-kadang
saya tengok kaki terdedah tanpa stokin pulak tu.

Kadang-kadang
saya tengok pakaian ketat2 macam tak tahu malu.


Kalau saya tertunduk..



Kadang-kadang
saya memikirkan dosa-dosa yang lalu.

Kadang-kadang
saya rasa berdosa jika membiarkan mereka begitu.

Kadang-kadang
saya memikirkan apa pula sumbangan dan tindakanku....


Maafkan saya jika tidak seperti apa yang kalian mahukan..

p/s : maksud yang atas2 tu, kalau saya terpandang tu, anda tak bersalah, mungkin masa tu kepala sedang ligat memikirkan sesuatu. Kadang-kadang saya tak perasan saya tengah tengok kalian, sedangkan masa tu saya sedang mencari ilham atau mengingat sesuatu perkara. Bimbang jika ada salah faham.. ;)

Itu sahaja. Terima kasih kerana sudi baca. ^_^'


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Monday, October 11, 2010

Sunnatullah..



Kelmarin,
embun pagi meniti di daunan,

hembusan angin sepoi-sepoi menyapa kulit halus,

dari timur matahari menjenguk membawa haba,

dedaun kering dari embunan tadi.


Hari ini,

sunnah itu kembali berseri,

putaran sistem berlaku oleh isi alam,
dia memberi kita menerima,

kita memberi dia menerima.




Esok,
meski kehijauan pokok tidak akan pernah bertukar menjadi biru,

bak sesumpah yang bisa menukar warna,

apakah mungkin panas hingga ke petang,
atau akan hujan di tengah hari?


Maka nikmat TuhanMu yang manakah yang kamu dustakan?



-SAJS-
D1.5 Sumayyah,
UIA Gombak.
11 Oktober 2010
7.43 am


*******************************************************

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Sunday, October 10, 2010

Sentiasa di hadapan..



Rama-rama singgah bertanya khabar,
apakah masih ada ruang untuknya berbakti,
kerana sifat inkuirinya datang dengan sendiri,

mengharapkan belas kasihan insan untuk membalut luka,

pada kepak yang sekian lama membengkak.


Hari demi hari,
membawa diri ke timur dan ke barat,

utara dan selatan,

masih jua tidak terlafaz,

segala yang meronta-ronta di hati,

walau sepasang pancaindera sering menumpahkan hujan.


Masih mencari jalan,

agar kembali sihat seperti dirinya yang dahulu,

kerana di situ ia menjumpai madu bunga,

dalam diam tersimpan kemanisan padanya.


Apakah masih ada bunga yang mahu menjadi hidangan,

tika lapar dan dahaga,

hatta dari tenggara ke barat laut,

timur laut ke barat selatan,

andai takdir tidak jua berjumpa,

maka akan matilah ia dek menderita.


Kepak yang sederhana masih bergerak,

melambai-lambai kadang selari kadang menentang arus angin,

terasa berat untuk teruskan,
tidak semena-mena terjunamlah ia ke tanah.


Sesekali bangkit mengadu pada tuannya,

namun jatuh tersembam juga,

dipandangnya ke hadapan,

jauh di sudut kanan ada tanaman bunga!





Alhamdulillah padaMu kami bersyukur dan berharap,
TARBIYAH yang berterusan dariMu ya Rabb..




-SAJS-
D1.5 Sumayyah,
UIA Gombak.
10 Oktober 2010
12.00 am




~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Saturday, October 9, 2010

Moga kekal hingga ke Syurga..



Awan yang sarat kini menjalankan amanahnya,
tanda rahmat jua kasih sayangNya,
pakaian dikena adab dipelihara,
saat menunggu azan berkumandang tiba.


Siap sedia menghadap Sang Raja,

takut dan khusyuk dipersembahkan kepadaNya,

ibarat kali terakhir berbakti di dunia,
supaya kita tidak alpa ada yang sentiasa memerhatikan kita.


Usai berdagang doa dipinta,

agar diperkenankan segala cita,

dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besarnya,

bukti kita tidak lupa pergantungan padaNya.


Indahnya jika hidup sentiasa bahagia,

namun di sana ada ujian yang perlu ditelan rasa,

supaya kita mengerti adanya sahabat peneman setia,

tangan dihulur maaf jua dipinta,

moga ukhuwwah kekal hingga ke SYURGA..





-SAJS-
D1.5 Sumayyah,
UIA Gombak.
9 Oktober 2010
5.30 am



~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Friday, October 8, 2010

Pelangi itu..



Kepanasan sahara yang gersang,
bisa membuatkan kulit menjadi kering,
meski kehangatan butiran jernih yang jatuh,
bak derasnya air sungai yang mengalir,
tidak jua mampu membasahinya.

Aku tidak mengerti,
diam..
sepi..
mencari identiti diri.

Sesekali ku menyendiri,
awan sahaja tidak bisa ku sentuh dan sapa,
inikan pula bulan,
yang nun jauh untuk ku jejaki.

Meski berjuta-juta tangga ku daki,
kudratku tidak akan mampu bertahan lagi,
untukku pacakkan hajat ini.

Ku bermonolog sendiri..

Apalah nasib si burung,
yang terpaksa berkurung di jejaring besi,
iri melihat kawanan lain terbang ke sana dan ke mari,
mengisi peluang mencari rezeki.

Apalah pula nasib si semut,
kehadirannya langsung tidak diendah,
malah kadang dicemuh dan disergah.

Apalah nasib diriku,
jika hanya bangga dengan emas dan permata menjadi perhiasan diri,
namun hati tidak dididik dengan taqwa dan rendah diri,
andai jua dada tidak dipenuhi dengan permata Ilahi.

Inikah pelangi yang indah,
disebalik langit yang muram ketika hujan?

Kini ku mengerti,
segala rahsia yang tersirat pada keindahan pelangi,
malah cetusan variasi warna yang tersusun rapi..


Pelangi itu memberi harapan baru..


-SAJS-
D1.5 Sumayyah,
UIA Gombak.
8 November 2010
3.38 am


*********************************************************


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Wednesday, October 6, 2010

Fiqh Kerahsiaan Wanita..


Assalamu'alaikum warahmatullah.

Bismillah wal Hamdulillah.

Ana nak menyampaikan amanat ulama' muda, Ustaz Fauwaz Fadzil iaitu anak kepada Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Beliau menawarkan pengajian talaqqi kitab FIQH KERAHSIAAN WANITA (buku yang diterjemahkan oleh beliau) kepada student2 dan orang awam.


Jadi, siapa yg nak buku tu (hanya RM 20) dan pengajian talaqqi, harap dapat maklumkan kat ana. Kalau di kawasan Gombak, insyaAllah buku tu akan sampai pada 18 Oktober 2010. Atau ingin perkhidmatan pos, boleh sertakan alamat.

Sebar-sebarkan.

-Asma' Wardah, 017-4740312 / 019-3709035

p/s : Sebarang pertanyaan boleh jika mahu bertanya di post ini. Dan untuk kesudian mengikuti pengajian talaqqi juga boleh mohon di sini. Jazakumullahu khairan kathira.

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~