Bismillah wal Hamdulillah.
Syukur ke hadrat Allah, kerana jantung masih lagi berdegup, nadi masih lagi berdenyut, meniti hari-hari terakhir di bulan Ramadhan, kerna kita tidak tahu masihkah ada peluang untuk kita bertemu dengan-nya, hatta esok hari, masihkah ada ruang untuk kita mengadu..
Alhamdulillah, malam semalam berpeluang menghadiri jemputan ke Majlis Khatam Al-Quran kali ke-2 di Surau Damai Impian, Seksyen 3, B. B. Bangi. Kedatangan saya bersama emak disambut dengan baik sekali.
Perasaan terharu dan syukur yang teramat sangat, penduduk-penduduk di situ, juga yang menjadi tempatku menyalurkan ilmu yang secebis kurniaan Allah, memberikan partisipasi dan kerjasama yang baik, membuatkan diri ini terasa dihargai dan disayangi sebaiknya oleh mereka.
Di situ lah juga, saya mendapat kad raya yang pertama pada tahun ini, diberikan oleh hati yang tulus oleh Kak Suharni (saya hanya memanggilnya Kak Su).
Sebelum kami menjamu pulut kuning beserta rendang ayam dan daging, beliau datang menyapa dan berjumpa saya. Katanya,
"Masa kali pertama kami mengadakan Majlis Bacaan Yasin, akak selaku tuan rumah tak bagi apa-apa pun waktu tu.."
Lalu, beliau menghulurkan sekeping sampul surat, yang di dalamnya saya tak pasti apa.
Setibanya di rumah, saya membuka sampul tersebut, dan ada sekeping kad raya.
Apa yang membuatkan saya tersentuh adalah do'a-nya yang dicatitkan di dalam kad tersebut.. bukan terharu sebab dapat duit raya.. :)
Buat Ustazah Aishah,
Selamat meneruskan pengajian..
Semoga satu hari nanti dunia akan berada di tangan hambaNya yang soleh dan solehah yang di dadanya Al-Quran, agar dunia dapat dikembalikan kepada akhirat, insyaAllah..
Terima kasih daripada,
Suharni Mazlan
Damai Impian, BBB
Ameen Ya Rabb. Doa itu ku ameen-kan, terima kasih atas doanya. Mudah-mudahan ada keberkatan dalam setiap doa yang dihulurkan. Moga beliau serta suami dan anak-anak dikurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan hingga ke syurga serta dilimpahi dengan rezeki yang baik dari Allah Taala, insyaAllah.
Dan alhamdulillah, rezeki dapat duit raya pula dari beliau. Nilainya, dirahsiakan.. :)
Lalu, ia mengingatkan saya pada hadith Nabi s.a.w.,
Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
*******
Daripada Tsauban r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?". Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'." Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati." (HR Abu Daud)
Allahu Akbar.. Wa Na'udzubillahi min dzalik, mohon dijauhkan dari Allah, dan memelihara kita semua dari kejahatan isi dunia dan dibelenggu dengan maksiat yang bisa menggelapkan hati kita dari mengingati Allah.
Di dunia kutip bekalan, bukan hiburan.
Cinta akhirat, pasti berkat.
~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~
2 comments:
Assalamualaikum
Nauzubillah dari penyakit wahan!
Nak tau nilai :P
Wa'alaikumussalam warahmatullah.
Tenang betul pagi-pagi ni, sebab tu 'Tenang' datang komen.. :)
Allahu Allah. Moga-moga kita semua jauh dari 'penyakit' tersebut.
Nilai? Ada kat Negeri Sembilan.. Nogori ekau la tu.. ^^,
Post a Comment