MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Tuesday, February 1, 2011

Terubat Kerinduan..


Bismillah wal Hamdulillah.

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي
وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي
وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي
يَفْقَهُوا قَوْلِي

(Surah Toha : 25-28)

Syukur pada Allah kerana masih lagi memberikan keizinan kepada hambaNya ini untuk menikmati dua nikmat yang paling besar meskipun kita sering terlupa akan nikmat-nikmat ini, iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam.

Penulis cuba mengambil sedikit masa untuk mencoret sedikit kenangan dan kerinduan yang terubat jua pada beberapa hari yang lepas.


Mencari kekuatan


MUDAH, jika kita benar-benar berusaha ke arahnya, dan semestinya ia perlukan pergantungan yang jitu terhadap Allah Taala dan Allah memudahkannya.

SUKAR, jika kita masih lagi berada dalam ujian yang Allah tetapkan. Dia mengharapkan hambaNya supaya lebih dekat denganNya dan perlukan usaha yang berterusan dengan apa sahaja cara untuk menggapainya selagi ia bertepatan dengan syara'.

Apabila berada di dunia luar, berada pada suasana mencabar, tidak lagi berada di zon selesa, segalanya memerlukan mujahadah dan disiplin yang tinggi. Mohon maaf, apa yang saya cuba untuk sampaikan adalah mengenai kekuatan diri untuk mengulang hafazan Al-Quran yang telah dihafaz.

Saya sendiri, tidak dapat istiqamah sekalipun telah membuat target 'iadah harian. Kadang-kadang melebihi target, kadang-kadang kurang dari target yang disasarkan. Cuba menyalahkan diri dengan tidak membina sebarang alasan, kerana ianya datang dari KESEDARAN dan DISIPLIN diri.

Semakin hari, semakin kurang mood untuk mengulang. Mungkin ianya turut berlaku pada diri kalian. Perkara yang tidak dapat lari. Bagaimana mahu mencari, membina, mengumpulkan kekuatan? Ianya pelbagai. Dan mustahil kita dapat lakukannya jika bukan kerana kehendak dan bantuan Allah Taala. Maka, segalanya perlu berbalik kepada Allah atas rahmat dan kecintaan Allah pada hamba-hambaNya.




Justeru, saya cuba mengambil masa yang ada, yakni hari Jumaat yang lepas (28hb Januari 2011) bersama dengan sahabat saya, untuk pergi ke Darul Quran KKB. Terima kasih buat Ustazah Suhaida (Che Da) kerana sudi mengambil kami di stesen KTM KKB dan menjemput kami untuk menetap di rumahnya.

Allahu Allah. DQ.. Rindu pada suasananya, rindu pada masjidnya, rindu pada tasiknya, rindu pada angin kencang, juga rindu pada adik-beradik dan sahabat-sahabat di sana.




Siapa sangka, keberadaan di sana walau tidak sampai 24 jam, memberi kepuasan pada diri saya. Kebetulan, pada hari Sabtu tersebut, berlangsungnya Majlis Khatam Hafazan al-Quran bagi pelajar-pelajar Diploma DQ 08/10. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk masuk ke dalam Dewan Muktamar, bersama-sama untuk melihat dan meraikan majlis bermakna buat adik-beradik saya di sana. Tahniah dan takziah buat kalian.

Alhamdulillah, sedikit sebanyak membantu mengembalikan kembali semangat yang pudar. Moga Allah tetapkan jalan dan memberikan kekuatan yang berterusan. Mudah-mudahan.


Taman Mentarbiyah dan Ditarbiyah

Alhamdulillah, Allah memberi peluang sekali lagi kepada saya untuk mengubat kerinduan pada tarbiyah hati, jiwa, tenaga dan masa. Segala macam ungkapan indah akan diluahkan jika ditanyakan mengenai perasaan bilamana bersama-sama dengan mereka yang sama-sama menzahirkan kecintaan mereka pada perjuangan agama yang tercinta. Terasa kerdil diri ini jika hendak dibandingkan dengan mereka. Apatah lagi dengan diri ini yang bersalut dengan dosa dan maksiat.




Hati berasa serba kekosongan setelah sekian lama. Acapkali dahagakan kata-kata menusuk jiwa, malangnya diri terus terleka dengan urusan dunia. Namun, pabila kita sama-sama menempuh susah dan senang, membantu meringankan beban, satu kepuasan dapat dirasa. Mentarbiyah dan ditarbiyah, barangkali term yang sesuai diberikan.

Tambahan pula, jika kelmarin bertemu dengan si kakak, hari ini bertemu pula dengan si adik. Bukan satu pasangan, tapi tiga pasangan. Subhanallah. Rasa teruja menyinggah seketika. Inilah yang dikatakan kemanisan hubungan melalui aqidah dan fikrah yang sama. Moga-moga ukhuwwah fillah ini Allah pelihara sehingga kami bertemu pula di syurga. Mudah-mudahan.


الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

"Close friends, that Day, will be enemies to each other, except for the righteous."

(Surah Az-Zukhruf, 43 : 67)




Ya, kekuatan perlu dicari. Dan berkesan pada orang-orang yang berjaya memaknakannya. Carilah apa jua inisiatif dan cara yang baik agar tidak terus-menerus bergelumang dengan dosa dan membina jarak dari Yang Maha Esa. Saya, dan anda, mampu mengubahnya!

Sekian.

Mohon untuk mengundur diri.
Moga ada manfaat, walau secebis cuma.
Wallahu a'lam.

p/s: Saya mengambil kesempatan ini memohon para pembaca sekalian agar sama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara dan sahabat-sahabat kita di bumi Mesir. Moga mereka semua mendapat perlindungan dari Allah.

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

No comments: