Kalompang.
Ya, kami akhirnya tiba ke destinasi. Iliana sudah tertidur dek perjalanannya yang jauh juga mengambil masa yang agak lama. Aku juga tidak pasti mengapa tempat sejauh ini yang dipilih, sedangkan masih banyak tempat-tempat lain yang lebih dekat yang bisa kami jejaki. Namun, air terjun di kalompang ini bukan lagi asing bagi aku, kerana sebelum ini, aku juga kerap ke sini bersama teman-temanku sewaktu aku belajar di bumi Darul Quran, Kuala Kubu Bharu.
Tampaknya keluargaku sudah tiba lebih awal dari kami dan sudah siap menghampar tikar dan menyediakan sarapan. Aku menuju ke arah umi yang sedang sibuk menyapu jem ke atas roti. Lalu kami bersalaman dan berpelukan. Aku sangat rindu pada umi. Sudah dua bulan aku tidak berpeluang untuk pulang ke rumah menjenguk umi dan abi kerana assignment yang menimbun, sedangkan jarak dari kampus dan rumah tidaklah jauh.
Setelah bersarapan, abi dan adik-beradikku yang lain sudah tidak sabar untuk terjun ke sungai. Aku hanya memilih untuk bersama umi di pondok rehat, dapat meluangkan masa berborak-borak lebih lama bersama umi. Izzat juga tidak berganjak dari tempat kami berehat.
“Iz, meh join sekali!”, jerit abi dari arah sungai.
“Ye pakcik, kejap lagi saya sampai.”, balas Izzat sambil membuka ikatan tali di kasutnya.
Aku berasa tidak selesa dalam keadaan kami bertiga seperti itu. Umi seraya bersuara,
“Iz, macam mana kerja? Umi minta maaf sebab dah lama tak tanya khabar kamu. Terima kasih sebab luangkan masa untuk makan malam bersama malam tadi.”, umi lebih gemar membahasakan dirinya ‘Umi’ meskipun Izzat belum lagi menjadi menantunya.
“Allahu Akbar, tak mengapalah umi. Saya juga minta maaf sangat-sangat sebab tak dapat nak ziarah abi dan umi dengan lebih kerap. Erm, Alhamdulillah, kerja di hospital tu baik-baik saja. Biasalah, tiap-tiap hari menghadap ubat, pening juga dibuatnya.” Izzat dan umi ketawa akan kata-kata Izzat tadi. Aku hanya tersenyum mendengar luahannya.
“Izzat, Azyan, tak lama lagi, Azyan akan menamatkan pelajarannya, setelah itu kamu berdua akan bernikah. Umi berharap sangat hubungan kamu akan kekal hingga ke syurga, dan umi juga merestui Iz sebagai bakal menantu umi. Ingat, segala cabaran dan dugaan sebelum berkahwin ni memang banyak, tapi selepas kahwin nanti lagi banyak. Jadi, dari sekarang, kamu berdua kena persiapkan segala apa kemungkinan yang bakal kamu hadapi berbekalkan iman dan taqwa, bukan dengan menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan.”
Aku yang sedang menyusun pinggan dan cawan untuk santapan tengahari nanti, terkaku untuk mendengar nasihat dari umi. Begitu juga dengan Izzat, khusyuk mendengar butir-butir mutiara dari umi, dan mengangguk beberapa kali. Aku hanya tertunduk, rasa segan pula bila umi bercakap hal perkahwinan saat tunangku ada bersama.
“InsyaAllah umi.”, ucap Izzat bersungguh.
“Iz, dah, pergilah mandi sana, jenuh abi tunggu kamu tu. Karang, amaran kedua pula yang diberinya.”, gurau umi. Izzat turut tersenyum, lantas dia mengangguk kecil dan berlalu meninggalkan kami.
Tinggal aku berdua dengan umi. Umi menghadapkan muka dan badannya ke arahku. Aku memandang umi, menunggu bicara darinya.
“Yan tahu kenapa Iz bawa kita kat sini?”, tanya umi. Aku hanya menggelengkan kepala.
“Sebab dia bagitahu umi yang, tempat ini lah kali pertama dia bertembung dengan kamu.”
~bersambung..
2 comments:
saya dapat hidu something...
ahha! :p
ahha!
hidu apakah?
ni cerpen la..cerita pendek semata-mata.
usah buat andaian yang macam2 ya.. :)
Post a Comment