Sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, maksudnya : Dari Jabir r.a., beliau berkata :
"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda tiga hari sebelum wafatnya : Janganlah sekali-kali salah seorang di antara kalian mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah." (Hadith Riwayat Ahmad)
"Kita dah cuba untuk redha dan bersangka baik dengan Allah. Tapi kalau masih menangis dan berendam air mata, itu bukan kah tandanya masih tidak dapat menerima lagi ketentuanNya?"
Luahan seorang sahabat kepada saya.
Saya tidak menjawab pertanyaannya.
Sebelum dari itu dia meminta saya memberikannya 'ubat hati'. Lantas saya terus menyelak helaian Al-Quran untuk diberikan kepadanya 'surat cinta' dariNya, kerana ia adalah ubat yang paling mujarab bagi hati.. :)
"Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (Surah An-Nahl, 16 : 96)
Saya cuba meneka pergolakan yang ada di dalam hatinya. Ya, ianya mengena! Semestinya Allah telah menghantar ayat penguat itu kepadanya berwasilahkan saya. Saya hanya menyampaikan, tanpa saya sedari. Syukur pada Allah.
Situasi yang dialaminya barangkali turut juga dialami oleh sebilangan pelajar yang hajat mereka tidak kesampaian untuk menyambungkan pelajaran ke tempat yang mereka ingini. Mungkin, rezeki untuk kita belum tiba masanya lagi.
Mengapa saya katakan "kita"?. Kerana saya turut mengalaminya tahun lalu. Cuma yang berbeza, dia tidak dapat tawaran untuk menyambungkan pelajaran ke sana, tetapi saya dapat, cuma tidak diizinkan untuk ke sana. Kisah pengalaman saya, saya kongsikan bersama sahabat saya itu, sebagai menjawab soalannya, sekali gus cuba untuk merawat hatinya yang luka.
Saya cuba memahaminya dengan mendatangkan hikmah yang kemungkinan kita akan hadapi.
"Waa..saya sangat sedih tahu tak Aishah.. Saya musafir, mabit di rumah kawan. Alhamdulillah, Allah bagi ubat sikit (dengan mabit tu saya tahu rupanya kakak tu pun berhajat nak pergi Jordan, tapi tak dapat. So, dapatlah sikit kekuatan dari dia). Tapi saya masih berduka.. Takut-takut nanti dah daftar UIA, saya angau lagi dengan Jordan. Hati teringat-ingat.. Aduh. Macam kena sampuk cinta pula rasanya.."
"Kamu tahu tak saya apply Jordan tahun lepas?"
"Ye ke? Tapi kenapa tak pergi?"
"Waktu tu hati saya dah berbunga-bunga nak pergi. 5 hari sebelum masuk daftar ke UIA Gombak, bapak saya kata, "tak payah pergi la Jordan, masuk UIA je..". Mula-mula memang rasa tersentak. Ye lah kan, kita dah semangat nak pergi Jordan. Sudah lah tidak membuat preparation langsung ke UIA, borang-borang pun tidak terisi. Tapi.. Saya pujuk hati saya, saya kata, mungkin Allah dah sediakan tempat saya di UIA, walaupun saya tak minat langsung ekonomi. Dan saya percaya, tempat saya bukan di Jordan. Sehinggalah saat ini, saya terus cuba untuk gagahkan kaki berada di bumi UIA. Alhamdulillah, hari demi hari, saya dapat terima hakikat. Barangkali khidmat saya lebih diperlukan di sini..bersama keluarga..bersama masyarakat di sini..bersama sahabat-sahabiah di sini.. Ada yang lebih memerlukan kita di sini, tapi bukan di sana.. :)"
"Ye ke.. Tragisnya.. Moga Allah sudi pinjamkan saya sikit dari kekuatan kamu.. :) Nak memulakan hidup baru, dengan bi'ah (suasana) baru, sorang-sorang tanpa teman, yang paling penting, hati tak hadir sekali. Ah..perit juga tu. Memang sangat-sangat perlukan kekuatan. Saya apply UIA ni pun, sebab umi saya beria-ia sangat nak saya masuk UIA. Bila dah saat-saat akhir ni, terfikir juga, nak buat kerja gila ke tak. Saya uruskan sendiri permohonan ke Jordan. Bila saya dapat tahu saya dapat UIA, saya senyap je. Umi tanya, baru saya bagitahu, dan dia sangat-sangat seronok. Terpaksa la saya sorok lagi air mata ni.."
"Menggembirakan hati si ibu, adalah satu nikmat syeikh.. (saya gemar memanggilnya 'syeikh', tapi orangnya perempuan ya). Kalau nak ikut rentetan hidup dan pendidikan saya, segalanya atas wasilah dari Allah kepada ibu bapa saya. Dari start sekolah menengah, sampai la sekarang, saya ikut sahaja apa yang mereka mahu. Sebab saya yakin, mereka lebih tahu apa yang terbaik buat diri saya. Kini baru saya terfikir, kalau aku kat Jordan, siapa yang nak mengajar mengaji pada orang-orang kampung? Kalau aku kat Jordan, siapa yang nak menemani mak waktu cuti? Kalau aku kat Jordan, mana mungkin aku bisa menemui kawan-kawan tajaan YBR untuk saya kenali dan bimbing mereka. Sebab di Jordan, mungkin sahaja kebanyakannya orang yang berpendidikan agama. Dan barangkali sudah ada insan-insan lain yang telah Allah sediakan untuk berbakti pada masyarakat kita di sana. Kalau semua pakat gi, siapa yang nak jaga kat sini? Dan ingat, kamu di UIA, tidak keseorangan syeikh.. :)"
"Aiwaah.. Sebab saya ada kamu di UIA. Semoga saya pun menjadi seorang anak yang baik macam kamu. :)"
"InsyaAllah.. :) Allah knows better."
":) Saya kena lebih kuat! Bila mahu kahwin cik..?"
--ok, perbincangan dipotong--
"Kamu dah ok ke belum?"
"Hmm.. Sedang cuba meng'ok'kan diri. :) Kejap saya ok, ok lah. Kita akan rasa yakin dengan apa yang Allah dah tetapkan. Tapi bila kadang-kadang teringat tu, tu yang dia rasa lemah balik. Hati belum bulat lagi tandanya tu. Tu yang berbolak-balik rasa hatinya. Itu yang saya terus mencari ubat hati. Berjalan dan explore, dengan harapan, Allah akan tunjukkan sesuatu pada saya. Dan dalam perjalanan saya, Allah tunjukkan kesabaran teman-teman saya yang tidak dapat ke sana juga. Hebat mereka! Antaranya ialah kamu.. ;) Sekarang, kena struggle untuk bulatkan hati. Tanamkan rasa cinta pada UIA. Aim master pula ke Jordan.."
"Sudah la. Usah difikirkan lagi. Pergi sibukkan diri. Kerana apa, anda mampu melakukannya! :)"
Berkongsi dan menggembirakan orang lain adalah salah satu kekuatan untuk diri saya. Saya gembira melihat orang lain gembira. Moga-moga, diri dan hatinya mampu untuk terus kuat menerima apa yang telah Allah sediakan. Yang penting, kita kena sentiasa beringat, tidak semua yang kita inginkan adalah baik untuk diri kita, walhal apa yang tidak kita inginkan, Allah berikan kerana itu yang kita perlukan.
Setiap insan diberi ujian yang berbeza. Hatta kesenangan, kesihatan dan kemewahan juga merupakan satu ujian. Setiap ujian yang Allah sandarkan, insyaAllah pasti ada hikmah dan rahsia yang Allah tidak bentangkan serta-merta. Kebiasaannya kita akan menyedarinya setelah kita mengharungi ujian tersebut. Barulah kita mengerti kepahitan yang kita rasai rupa-rupanya ada kemanisan di penghujungnya. :)
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah As-Syarh, 94 : 6)
Kuncinya adalah sabar, dan solat..
"Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah, 2 : 153)
Wallahu a'lam.
~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~