Latihan yang kita amalkan dalam bulan puasa ini dapat membantu kita membentuk sikap positif yang perlu dalam kehidupan seharian. Perkara-perkara di atas merupakan ibadat yang perlu dihayati bukan saja dalam Ramadhan tapi seterusnya dalam bulan-bulan lain. Sebagaimana Islam menganjurkan kita beristiqamah dalam sesuatu amalan, begitulah juga dengan ibadat yang dilakukan dalam Ramadhan. Ia perlu dijadikan budaya sepanjang tahun sehinggalah kita berjumpa Ramadhan satu lagi. Ramadhan demi Ramadhan seterusnya bertindak sebagai pengukuhan meningkatkan mutu dan prestasi amalan menjadikannya lebih baik dan mantap dari setahun ke setahun.
Demikian juga Lailatul-Qadr yang ditemui setiap Ramadhan memberikan ganjaran bonus 1000 tahun bagi setiap amalan yang dilakukan. Bayangkan jika 30 tahun berpeluang melalui saat-saat keemasan ini. Umur kita yang pendek secara automatis menjadi begitu panjang dengan ganjaran pahala yang semestinya kita tidak dapat alami secara virtual di alam dunia tetapi akan dilihat secara virtual di akhirat kelak. Di dunia hakikat ini hanya diyakini setakat ilmul-yakin. Tahap keimanan masing-masing menjadi ukuran dalam menilai dan menghayati lailatul-qadr.
Esok kita akan berhari raya. Secara simboliknya semua umat Islam menyambut Aidilfitri sebagai kemenangan mereka melawan hawa nafsu setelah berjaya berpuasa Ramadan sebulan lamanya. Namun kita perlu muhasabah dan mengoreksi diri dengan merenung kembali kualiti puasa yang kita lakukan. Apakah dengan berakhirnya Ramadan rasa ketaqwaan, cahaya keimanan dan obor ketauhidan dalam diri kita berjaya dipertingkat dan semakin menebal. Insyallah jika objektif ini dapat dicapai maka ia menjadi petanda bahawa amalan kita diterima oleh Allah. Ini jelas dalam setiap ibadat; misalnya dalam ibadat haji; jika amalan selepas mengerjakan haji dikatakan bertambah baik daripada amalan sebelum pergi haji, itu menjadikan tanda sebagai penerimaan Allah terhadap hajinya atau memperolehi haji yang mabrur. Demikian juga dalam ibadat puasa. Jika tiada peningkatan antara amalan sebelum dan selepas malahan bertambah teruk, fahamlah kita amalan puasa kita belum mencapai tahap; malahan bersesuaian dengan sabda Nabi saw "Betapa ramai orang yang berpuasa yang tidak dapat apa kecuali lapar dan dahaga." Sasaran berpuasa ialah untuk mendapatkan puasa yang 'mabrur' juga.
Sebenarnya setiap hari puasa iaitu ketika berbuka, kita disaran untuk menilai kualiti puasa khusus pada hari itu. Begitulah pada hari-hari seterusnya. Selama sebulan kita mengoreksi diri dan di bulan syawal ini diadakan secara lebih menyeluruh. Biarlah Hari Raya dijadikan titik tolak baru bagi kita menjalankan muhasabah bagi memperbaiki diri sendiri.
Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya yang keberatan meninggalkan Ramadhan lantaran banyaknya ganjaran dan pahala disediakan pada bulan itu. Kepada golongan ini, Allah membuka satu lagi tawaran dengan menjanjikan pahala setahun iaitu dengan menjalani puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Sama-samalah kita rebut peluang ini sementara Syawal masih berada di depan kita.
No comments:
Post a Comment