MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Friday, March 6, 2009

Petaka Kegelapan Maksiat..


Sekali, apabila jadi blackout, semua orang jadi kelam kabut dan gelabah. Kalau jadi pada waktu perdana, maka tersangkut dan tergendalalah banyak urusan lebih-lebih lagi yang melibatkan mesin dan teknologi tinggi. Syarikat-syarikat besar mengeluh kerugian berjuta-juta ringgit. Kalau berlaku pada sebelah malam pula, alamat bergelap-gelitalah keluarga. Anak-anak kecil menangis kelemasan dan ketakutan. Hati menjadi rimas khasnya bagi orang yang siang malamnya sudah terbiasa dan tidak pernah lekang dengan lampu dan cahaya. Kerana perlukan cahaya juga, maka lilin dan ‘lampu simpan cahaya’ diusaha dapatkan segera sebagai alternatif sementara menanti tenaga eletrik dipulihkan semula. Lilin pun lilinlah, asalkan dapat sedikit cahaya.

Begitulah sifat manusia yang tersangat perlu dan berhajatkan kepada cahaya. Keperluan mereka pada cahaya hidayah, cahaya keimanan, cahaya ilmu dan kebenaran sebenarnya berjuta kali ganda lebih-lebih lagi amat diperlukan.

Jikalau cahaya-cahaya atau ‘Nur’ ini tidak ada, alamat gelap-gelitalah ‘kerajaan’ rohaniah dan batiniahnya. Walaupun cahaya mentari menyimbah terang ke serata ceruk dan ruang muka bumi ini, namun ia masih tersesat dan terkandas kerana Nur hatinya sudah terpadam. Walaupun cahaya neon dan kalimantang di rumah dan di jalanan menyinar dan membias indah, namun ia tetap terjebak ke dalam dosa dan mungkar kerana Nur di hatinya yang telah suram dan beransur kelam.

Kegelapan Hati Bawa Petaka
Kegelapan di dalam hati manusia itu sememangnya satu hakikat yang benar-benar dapat dirasai. Ia tidak ubah sepertimana kita merasakan kegelapan malam yang mulai melabuhkan tirainya. Kala itu, kalau dilihat dari sudut ‘pemandangannya’, kegelapan hati seolah-olah sama seperti kegelapan fizikal. Saling tidak tumpah.

Ketaatan adalah cahaya sementara, kemaksiatan adalah kegelapan. Bilamana kegelapan di dalam diri yakni ‘hati’ semakin bertambah pekat, maka kebingungan manusia juga akan semakin bertambah hingga akhirnya membawa kepada segala macam petaka dan bencana kepada agama tanpa disedarinya. Apakah petaka itu? Itulah perkara-perkara bidaah, kesesatan, jenayah dan penyakit sosial.

Manusia yang gelap hatinya ditambah pula dengan ‘Jumu-dul ain’ (mata yang pasif dan kaku) bagaikan si buta yang berjalan keseorangan di tengah kegelapan malam. Bahkan pernah disebutkan bahawa kegelapan hati akan menjadi semakin kuat dan menebal sehingga ia naik ke mata, kemudian menjalar ke muka, dan sehinggalah mukanya jelas kelihatan muram dan kusam pada pandangan orang lain.

Sama-sama kita renungkan kata-kata Ibnu Abbas r.a. berikut: “Kebaikan menyebabkan sinaran putih di wajah, cahaya di dalam hati, keluasan dan kelapangan di dalam rezeki, kekuatan pada badan dan kecintaan di dalam hati orang lain. Sementara kejahatan dan kederhakaan menyebabkan kehitaman pada wajah, kegelapan di dalam hati, kelemahan pada badan, kekurangan pada rezeki dan kebencian di dalam hati orang lain.”

No comments: