MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..

Monday, February 20, 2012

3 Tahun Berlalu..

20 Februari 2009 - 20 Februari 2012

3 tahun..
Dengan pantas ia berlalu
Antara sedar atau tidak
Yang pasti..
Mana mungkin masa yang berjalan itu
Bisa ku kutip kembali..

3 tahun..
Benar-benar menguji aku
Antara khianat atau setia
Antara paksa atau rela
Antara dosa dan pahala..

Kerna,
Sejak saat itu
Amanah yang tidak diduga buat hamba
Menerpa seiring jatuhnya butiran mutiara
Meski bahuku tidak terdaya menggalasnya..


~muhasabah~

Sifarkan Alasan, Mantapkan Hafazan.. :)

 ~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Sunday, February 5, 2012

Tiada Maaf Bagimu..?



Bismillah wal Hamdulillah.

Barusan tadi, ada seorang adik bertanya pada saya,

"Kalau kita dah minta maaf, tapi kita tak tahu orang tu dah maafkan kita ke belum, kira macam mana eh?"


Saya tidak ingin menjawab persoalannya di sini.

Cuma, apa yang ingin saya sampaikan dan kongsikan, hebat sangatkah kita tidak sudi memaafkan orang yang telah melakukan kesalahan terhadap kita? Biasa dengar, "Sedangkan Nabi pun sentiasa memaafkan umatnya, mengapa tidak kita?". Kita ni, siapa..?

Itu sifat manusia.

Bagaimana pula dengan dosa kita pada Al-Khaliq? Sebesar mana pun dosa yang kita lakukan, Allah tetap mengasihi malah mencintai orang-orang yang benar-benar bertaubat.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ ...

Dari sudut kita, si pelaku salah, buanglah sikap ego untuk mengaku kesalahan dan mengucapkan kata MAAF, I'M SORRY, MA'ALISY, dan sebagainya. Tidak kira kepada sesiapa sahaja - sesama manusia, lebih-lebih lagi pada Allah Taala.

Tak rugi pun, kan? :)

Beruntung dan bersyukurlah kerana kita seorang Muslim, dan kerana menjadi umat kepada Nabi yang menjadi kekasih Allah.

*Proud To Be A Muslim*


SALAM MAULIDUR RASUL :)

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Friday, February 3, 2012

Cerpen : Aku Kau Pinang.. (Akhir)

-- (I) ; (II) ; (III) --

“Aku terima nikahnya Nur Azyan binti Mohamad Khairi dengan mas kahwin dua ratus ringgit tunai.”

Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, aku kini menjadi isteri seorang pejuang bernama Muhammad Izzat bin Sulaiman. Aku segera mengucapkan hamdalah dan memeluk umi dengan erat. ‘Umi, terima kasih kerana menjaga dan mendidiku dengan baik selama ini..’

Lantas, aku mengirimkan mesej pesanan ringkas yang mengandungi sebuah puisi yang telah aku karang malam semalam kepada insan yang baru sahaja bergelar seorang suami kepadaku.

Aku tertanya-tanya
Mengapa awan mendung itu berlalu pergi
Baru ku mengerti sinaran mentari menguasai
Namun di suatu sudut
Tujuh warna indah pelangi menghiasi langit
Berlatarkan awan putih nan indah suci
Sesuci hatimu yang tulus murni

Aku tertanya-tanya
Mengapa bintang itu yang kau tatap
Sedang beribu-ribu bintang menghiasi langit di waktu malam
Aku tidak pasti adakah bintang yang sama yang ku lihat
Namun aku percaya
Bulan yang kita renung itu bulan yang sama
Meskipun tempat kita berbeza

Aku tertanya-tanya
Mengapa bunga tidak kembang mekar di waktu malam
Sedang angin malam lebih nyaman berbanding siang
Baru ku mengerti, bukan nyaman pilihan sang bunga
Sedang sinaran matahari dan air penyumbang utama
Barulah kelopak berani kembang mewangi
Dan tersenyum megah buat sang kumbang

Aku tertanya-tanya
Mengapa diriku yang kau pinang
Sedang aku tidaklah semulia Khadijah dan sefaqih Aisyah
Aku hanya insan biasa yang mendamba seorang suami
Yang luar biasa seperti insan yang menerima titipanku ini
Iaitu kamu, wahai suamiku

Terima kasih abang atas kepercayaan ini.. :)

Izzat sempat membuka dan membaca SMS yang ku kirimkan sebentar tadi. Dia berpaling ke arahku, dan menguntumkan senyuman bermakna buat pertama kali. Lantas dia membalas,

Segalanya kerana Allah, sayangku.. :)

Alhamdulillah.

Aku bahagia, lebih bahagia dari mereka yang berpasangan tanpa ikatan yang sah.

Yang pasti, kini, aku dapat merasakan keindahan bercinta selepas kahwin dengan seorang lelaki yang halal bagiku. Benarlah, untuk mendapat yang terbaik, kita perlulah menjadi yang terbaik terlebih dahulu. Sekalipun orang itu bukanlah dalam kalangan orang-orang yang baik dan beragama, kita kena yakin bahawasanya orang yang Allah titipkan itu adalah yang terbaik buat diri kita.

Dan juga, ikatan pertunangan bukanlah satu tiket untuk kita berdua-duaan, tempat kita bermadu kasih dan bertelefon sehingga ke lewat malam. Gunakan wasilah pertunangan ini dengan jalan yang suci dan diredhai olehNya, sebagai jalan untuk kita mengenali calon suami atau isteri kita akan perkara-perkara tertentu. 

Pilihan berada di tangan kita. Adakah dengan berpacaran benar-benar membahagiakan kita, atau memilih bernikah untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki. Jika yang mencantikkan lukisan adalah warna, maka yang mencantikkan kehidupan adalah iman dan taqwa. Cinta tidak perlu dipaksa, ia akan datang dengan sendirinya.. Yakinlah.


*** Tamat ***


Nota Kaki:
* Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu 'Alaihi Wasallam.
* Sebenarnya, ada sambungannya lagi. Tapi, rasa macam nak akhirkan cerita ni setakat ini sahaja. :)
* Ambil apa-apa yang baik. Buang segala yang buruk.
*Terima kasih kerana sudi membaca.

Thursday, February 2, 2012

Cerpen : Aku Kau Pinang.. (III)

-- Aku Kau Pinang (I) ; Aku Kau Pinang (II) -- 

“Erk. Ye ke? Yan tak perasan pula..”, aku memang tidak mengenali batang tubuh insan bernama Muhammad Izzat bin Sulaiman ini sebelum dari kami bertunang. Pertunangan kami dipersetujui oleh kedua ibu-bapa kami, sedang aku hanya menuruti keputusan umi dan abi, kerana aku percaya pilihan umi dan abi adalah yang terbaik dan tidak akan salah. 

“Umi tengok, Izzat tu seorang lelaki yang baik, beriman, rajin solat berjemaah di masjid, cepat mesra, dan baik dengan orang-orang tua. Umi rasa gembira dan lega kalau umi lepaskan kamu kepada dia, Yan.”, umi seolah suka dan yakin dengan lelaki bernama Izzat ini. 

“Umi..”

“Ya sayang..” 

“Umi rasa, Yan boleh jadi isteri yang baik dan solehah tak?”, tanyaku, sambil aku bermenung melihat aliran air sungai yang tenang dengan hembusan angin bersahaja yang menyapu wajahku.

Tiba-tiba kelopak mataku seakan ingin menakung air mata yang tidak dipinta untuk hadir. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Umi hanya tersenyum mendengar soalanku. Belum sempat umi menjawab, aku bertanya lagi, 

“Umi, Yan mampu ke jadi seorang ibu yang kuat dan tabah macam umi?”, air mataku tidak dapat ditahan lagi, akhirnya jatuh jua mengalir ke pipi. Dengan segera aku menyeka air mataku, takut-takut ada mata-mata lain yang memerhati. 

“Sudah la Yan. Umi faham apa yang berada di hati dan fikiran Yan sekarang. Umi dulu juga selalu tertanya-tanya soalan sebegini sebelum umi kahwin dengan abi dulu. Tapi umi percaya dengan Yan, yang Yan mampu menjadi isteri yang solehah, baik dan taat pada suami, serta menjadi ibu yang kuat dan tabah dari umi. Jiwa kamu kena kental, kata nak jadi isteri seorang pejuang!”, umi cuba memberikanku semangat.

Ya, sejak dua menjak ini, aku jadi lebih gementar di saat meniti tarikh pernikahanku yang sudah hampir. Sekalipun aku tidak bersedia, kata orang, selepas kahwin, baru kita akan tahu kita dah bersedia atau belum, sekali gus melatih kita supaya sentiasa bersedia.

Sesungguhnya aku tidak sesekali meragui keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Izzat. Aku turut berasa bertuah kerana bakal suamiku ini merupakan antara ahli jemaah yang turut berjuang mengembalikan sistem pemerintahan beridentitikan Islam dan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Justeru, aku berharap aku dapat menjadi sayap kiri yang sentiasa bersama-sama dengannya walau susah ataupun senang. 

“Yan, kalau kita cintakan seseorang berlandaskan nafsu semata, kelak kita akan hanyut bersama angan-angan dan cinta yang tidak akan ke mana. Namun seandainya kita mencintai seseorang kerana Allah, berkasih sayang kerana Allah, Allah akan memandu kita ke jalan yang diredhaiNya. Letakkan cinta Allah dan Rasul di tempat yang utama, insyaAllah rumahtangga akan disulami dengan keberkatan dan ketaqwaan kepadaNya.”

"Satu perkara lagi, perkahwinan juga bukanlah membuatkan kita tersekat dengan da'wah dan gerak kerja Islam kita terbantut. Malah, sepatutnya dengan peringkat ini, membuatkan kita lebih terkehadapan untuk membawa Islam sebagai agama yang tertinggi dan gerak kerja da'wah lebih teguh dan berkembang. Anak-anak yang bakal kamu lahirkan nanti juga perlulah kamu didik dan tarbiyah dengan ajaran Islam yang sebenar, bukanlah dengan cara membiarkan mereka berdikari lalu hanyut kerana beralasan kamu sibuk dengan gerak kerja jemaah. Ingat, anak-anak dan keluarga itu bukan sahaja sebagai anugerah dari Allah, ianya juga merupakan satu amanah. Barulah ianya dinamakan Baitul Muslim." 

Aku mengangguk, tanda mengiyakan kata-kata umi. Umi membuatkan aku lebih yakin dan tekad dengan tanggungjawab yang bakal aku galas nanti. 

“Dan, dengan fatrah kamu berdua dalam ikatan pertunangan, ingat pesan Imam Al-Ghazali, “Hendaklah si perempuan itu menyukai tunangnya kerana agamanya bukan hartanya, memilih kehidupannya bukan kemasyhurannya, merinduinya dengan berpada-pada, mentaatinya dengan rela, maka itulah yang mengeratkan kasih sayang dan mengukuhkan kemesraan”.” 

“InsyaAllah, terima kasih umi. Sayang umi…”, senyumanku kini lebih lebar dan manis aku hadiahkan buat umi. Aku menarik nafas lega, umiku memang seorang yang memahami aku.


~bersambung..

Cerpen : Aku Kau Pinang.. (II)

-- sambungan dari Aku Kau Pinang (I) --

Kalompang.

Ya, kami akhirnya tiba ke destinasi. Iliana sudah tertidur dek perjalanannya yang jauh juga mengambil masa yang agak lama. Aku juga tidak pasti mengapa tempat sejauh ini yang dipilih, sedangkan masih banyak tempat-tempat lain yang lebih dekat yang bisa kami jejaki. Namun, air terjun di kalompang ini bukan lagi asing bagi aku, kerana sebelum ini, aku juga kerap ke sini bersama teman-temanku sewaktu aku belajar di bumi Darul Quran, Kuala Kubu Bharu.

Tampaknya keluargaku sudah tiba lebih awal dari kami dan sudah siap menghampar tikar dan menyediakan sarapan. Aku menuju ke arah umi yang sedang sibuk menyapu jem ke atas roti. Lalu kami bersalaman dan berpelukan. Aku sangat rindu pada umi. Sudah dua bulan aku tidak berpeluang untuk pulang ke rumah menjenguk umi dan abi kerana assignment yang menimbun, sedangkan jarak dari kampus dan rumah tidaklah jauh.

Setelah bersarapan, abi dan adik-beradikku yang lain sudah tidak sabar untuk terjun ke sungai. Aku hanya memilih untuk bersama umi di pondok rehat, dapat meluangkan masa berborak-borak lebih lama bersama umi. Izzat juga tidak berganjak dari tempat kami berehat. 

“Iz, meh join sekali!”, jerit abi dari arah sungai. 

“Ye pakcik, kejap lagi saya sampai.”, balas Izzat sambil membuka ikatan tali di kasutnya.

Aku berasa tidak selesa dalam keadaan kami bertiga seperti itu. Umi seraya bersuara, 

“Iz, macam mana kerja? Umi minta maaf sebab dah lama tak tanya khabar kamu. Terima kasih sebab luangkan masa untuk makan malam bersama malam tadi.”, umi lebih gemar membahasakan dirinya ‘Umi’ meskipun Izzat belum lagi menjadi menantunya. 

“Allahu Akbar, tak mengapalah umi. Saya juga minta maaf sangat-sangat sebab tak dapat nak ziarah abi dan umi dengan lebih kerap. Erm, Alhamdulillah, kerja di hospital tu baik-baik saja. Biasalah, tiap-tiap hari menghadap ubat, pening juga dibuatnya.” Izzat dan umi ketawa akan kata-kata Izzat tadi. Aku hanya tersenyum mendengar luahannya. 

“Izzat, Azyan, tak lama lagi, Azyan akan menamatkan pelajarannya, setelah itu kamu berdua akan bernikah. Umi berharap sangat hubungan kamu akan kekal hingga ke syurga, dan umi juga merestui Iz sebagai bakal menantu umi. Ingat, segala cabaran dan dugaan sebelum berkahwin ni memang banyak, tapi selepas kahwin nanti lagi banyak. Jadi, dari sekarang, kamu berdua kena persiapkan segala apa kemungkinan yang bakal kamu hadapi berbekalkan iman dan taqwa, bukan dengan menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan.” 

Aku yang sedang menyusun pinggan dan cawan untuk santapan tengahari nanti, terkaku untuk mendengar nasihat dari umi. Begitu juga dengan Izzat, khusyuk mendengar butir-butir mutiara dari umi, dan mengangguk beberapa kali. Aku hanya tertunduk, rasa segan pula bila umi bercakap hal perkahwinan saat tunangku ada bersama. 

“InsyaAllah umi.”, ucap Izzat bersungguh. 

“Iz, dah, pergilah mandi sana, jenuh abi tunggu kamu tu. Karang, amaran kedua pula yang diberinya.”, gurau umi. Izzat turut tersenyum, lantas dia mengangguk kecil dan berlalu meninggalkan kami.

Tinggal aku berdua dengan umi. Umi menghadapkan muka dan badannya ke arahku. Aku memandang umi, menunggu bicara darinya. 

“Yan tahu kenapa Iz bawa kita kat sini?”, tanya umi. Aku hanya menggelengkan kepala. 

“Sebab dia bagitahu umi yang, tempat ini lah kali pertama dia bertembung dengan kamu.”


~bersambung..

Wednesday, February 1, 2012

Cerpen : Aku Kau Pinang.. (I)


Salam. Ana on the way ke UIA. Dah boleh get ready.

Seawal pagi jam 7.30, satu pesanan ringkas masuk ke inboxku. Aku membulatkan mata, tidak menyangka perancangan umi untuk kami sekeluarga berkelah bersama Izzat, adalah perkara serius.

Eh, takkan aku dengan dia je dalam kereta? Mesti dia ada bawa sesiapa juga ni..’, aku berteka-teki tanpa membalas mesejnya. Kami memang jarang bermesej, lagi-lagi jika ianya bukan perkara yang penting. Kami benar-benar diawasi oleh ibu bapa kami, namun peranan iman lebih penting di kala ini.

Jangan risau, Iliana ada sekali dalam kereta ni.

Mesej pesanan ringkas susulan darinya. Oh, dia seakan mengerti persoalan di fikiranku. Pantas aku membalas,

Ok.

Aku balas seadanya. Itu memang sikapku, tidak gemar menaip mesej dengan ayat-ayat yang panjang dan berbunga terhadap kaum Adam yang bukan mahramku. Iliana, adik perempuan kesayangannya, juga seorang yang sangat peramah dan lucu orangnya.

Lantas, aku segera bersiap sekadarnya. Aku menapak di pondok di hadapan bahagian dalam gate Mahallah. Sambil menunggu, aku membuka Al-Quran, membaca beberapa ayat-ayatNya sebagai muraja’ah. 

5 minit kemudian, kereta Izzat menyusur masuk ke pintu masuk Mahallah Sumayyah. Aku segera menghabiskan ayat yang sedang dibaca dan menutup Al-Quran, lalu kumasukkan ke dalam beg. Aku bingkas bangun, dan mataku mengekori jejak kereta Persona itu yang menghala ke arahku.

Iliana membuka pintu kereta dan meluru ke arahku, lalu menyambut tanganku, dan kami bersalaman. Sungguh ceria di wajahnya tatkala melihatku, manakan tidak, sudah 5 bulan kami tidak bertemu selepas majlis tunangku dengan abangnya. Aku turut menguntumkan senyuman yang manis buatnya.

“Wah, cantiknya baju akak ni, warna hijau.. Sama dengan warna baju Angah.”, usik Iliana.

Aku mencuit pinggang Iliana, dengan pantas dia mengelak. Lalu, aku tertunduk, menyembunyikan rasa seganku. Izzat merupakan anak kedua daripada lapan orang adik-beradik. Abangnya merupakan seorang businessman yang bekerja di Skudai, Johor. Adik-adiknya yang lain masih lagi belajar, ada di universiti, ada di bangku sekolah hingga ke adik bongsunya yang berumur 10 tahun. Sedang dia, baru sahaja grad dari UM dengan jurusan farmasi. Kini, sedang bekerja di Pusat Perubatan UM.

Izzat yang terdengar telatah adiknya itu terus memanggil kami untuk masuk ke dalam kereta supaya kami dapat bertolak dengan segera. Umi dan abi serta adik-beradikku yang lain juga dalam perjalanan ke sana. 

Dalam kereta, aku hanya membisu. Iliana bertindak menceriakan suasana di dalam kereta dengan cerita-ceritanya di kampus. Kini, dia baru sahaja memasuki tahun pertama di KUIS, Bangi.

“Macam mana belajar, enti? Exam semalam okey?”, tiba-tiba Izzat bersuara.

“Erm, Alhamdulillah..”, jawabku ringkas. Haisy, macam mana dia tahu aku ada exam semalam? Ni mesti umi yang bagitahu ni. Umi, oh umi..


~bersambung..