--
Aku Kau Pinang (I) ;
Aku Kau Pinang (II) --
“Erk. Ye ke? Yan tak perasan pula..”, aku memang tidak mengenali batang tubuh insan bernama Muhammad Izzat bin Sulaiman ini sebelum dari kami bertunang. Pertunangan kami dipersetujui oleh kedua ibu-bapa kami, sedang aku hanya menuruti keputusan umi dan abi, kerana aku percaya pilihan umi dan abi adalah yang terbaik dan tidak akan salah.
“Umi tengok, Izzat tu seorang lelaki yang baik, beriman, rajin solat berjemaah di masjid, cepat mesra, dan baik dengan orang-orang tua. Umi rasa gembira dan lega kalau umi lepaskan kamu kepada dia, Yan.”, umi seolah suka dan yakin dengan lelaki bernama Izzat ini.
“Umi..”
“Ya sayang..”
“Umi rasa, Yan boleh jadi isteri yang baik dan solehah tak?”, tanyaku, sambil aku bermenung melihat aliran air sungai yang tenang dengan hembusan angin bersahaja yang menyapu wajahku.
Tiba-tiba kelopak mataku seakan ingin menakung air mata yang tidak dipinta untuk hadir. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Umi hanya tersenyum mendengar soalanku. Belum sempat umi menjawab, aku bertanya lagi,
“Umi, Yan mampu ke jadi seorang ibu yang kuat dan tabah macam umi?”, air mataku tidak dapat ditahan lagi, akhirnya jatuh jua mengalir ke pipi. Dengan segera aku menyeka air mataku, takut-takut ada mata-mata lain yang memerhati.
“Sudah la Yan. Umi faham apa yang berada di hati dan fikiran Yan sekarang. Umi dulu juga selalu tertanya-tanya soalan sebegini sebelum umi kahwin dengan abi dulu. Tapi umi percaya dengan Yan, yang Yan mampu menjadi isteri yang solehah, baik dan taat pada suami, serta menjadi ibu yang kuat dan tabah dari umi. Jiwa kamu kena kental, kata nak jadi isteri seorang pejuang!”, umi cuba memberikanku semangat.
Ya, sejak dua menjak ini, aku jadi lebih gementar di saat meniti tarikh pernikahanku yang sudah hampir. Sekalipun aku tidak bersedia, kata orang, selepas kahwin, baru kita akan tahu kita dah bersedia atau belum, sekali gus melatih kita supaya sentiasa bersedia.
Sesungguhnya aku tidak sesekali meragui keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Izzat. Aku turut berasa bertuah kerana bakal suamiku ini merupakan antara ahli jemaah yang turut berjuang mengembalikan sistem pemerintahan beridentitikan Islam dan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Justeru, aku berharap aku dapat menjadi sayap kiri yang sentiasa bersama-sama dengannya walau susah ataupun senang.
“Yan, kalau kita cintakan seseorang berlandaskan nafsu semata, kelak kita akan hanyut bersama angan-angan dan cinta yang tidak akan ke mana. Namun seandainya kita mencintai seseorang kerana Allah, berkasih sayang kerana Allah, Allah akan memandu kita ke jalan yang diredhaiNya. Letakkan cinta Allah dan Rasul di tempat yang utama, insyaAllah rumahtangga akan disulami dengan keberkatan dan ketaqwaan kepadaNya.”
"Satu perkara lagi, perkahwinan juga bukanlah membuatkan kita tersekat dengan da'wah dan gerak kerja Islam kita terbantut. Malah, sepatutnya dengan peringkat ini, membuatkan kita lebih terkehadapan untuk membawa Islam sebagai agama yang tertinggi dan gerak kerja da'wah lebih teguh dan berkembang. Anak-anak yang bakal kamu lahirkan nanti juga perlulah kamu didik dan tarbiyah dengan ajaran Islam yang sebenar, bukanlah dengan cara membiarkan mereka berdikari lalu hanyut kerana beralasan kamu sibuk dengan gerak kerja jemaah. Ingat, anak-anak dan keluarga itu bukan sahaja sebagai anugerah dari Allah, ianya juga merupakan satu amanah. Barulah ianya dinamakan Baitul Muslim."
Aku mengangguk, tanda mengiyakan kata-kata umi. Umi membuatkan aku lebih yakin dan tekad dengan tanggungjawab yang bakal aku galas nanti.
“Dan, dengan fatrah kamu berdua dalam ikatan pertunangan, ingat pesan Imam Al-Ghazali, “Hendaklah si perempuan itu menyukai tunangnya kerana agamanya bukan hartanya, memilih kehidupannya bukan kemasyhurannya, merinduinya dengan berpada-pada, mentaatinya dengan rela, maka itulah yang mengeratkan kasih sayang dan mengukuhkan kemesraan”.”
“InsyaAllah, terima kasih umi. Sayang umi…”, senyumanku kini lebih lebar dan manis aku hadiahkan buat umi. Aku menarik nafas lega, umiku memang seorang yang memahami aku.
~bersambung..