Bismillah wal Hamdulillah.
Bertemu kembali, insyaAllah.
Btw, apa kena dengan tajuk ini sebenarnya? Sesungguhnya ia bukanlah bentuk belon yang sering dimainkan oleh anak-anak kecil (orang dewasa tidak terkecuali), ataupun plastesin yang diadun elok dan dibentuk menjadi bulat atau bujur, namun apa yang ingin dikongsikan pada kali ini adalah istilah tanda-tanda bacaan yang terdapat pada Mushaf Rasm 'Uthmani.
Yang dimaksudkan adalah Tanda Bulat Kecil dan juga Bulatan Bujur Meninggi.
Cuba untuk berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya ketahui dan fahami, buat pembaca-pembaca yang dirahmati Allah sekalian, yang sama-sama cuba untuk mengenali lebih lagi hukum-hukum tajwid dan tanda-tanda bacaan yang kadang-kala kita jadi keliru dan terlupa. Walaubagaimanapun, sebarang penambahbaikan dan pembetulan, amatlah dialu-alukan, kerana penulis juga merupakan seorang pelajar dalam belajar untuk mengajar. :)
1- Tanda Bulat Kecil ( ْ )
- Hanya terletak pada huruf 'illah (lemah) iaitu - alif ( اْ ), wau ( وْ ), dan ya' ( يْ ).
- Merupakan huruf tambahan.
- Tidak dibaca sebagai huruf mad ketika menyambung atau berhenti bacaan padanya
Contoh :
- مِاْئَةِ - di atas huruf ا terdapat tanda ْ, maka tidak dibaca panjang / mad.
- أُوْلَـٰئِكَ - terdapat tanda ْdi atas huruf و, maka tidak dibaca mad pada huruf و tersebut.
- Terdapat juga contoh-contoh yang lain, boleh lihat pada Surah Ali-'Imran ayat 144, dan Surah Al-An'am ayat 34.
2- Bulatan Bujur Meninggi [maaf, simbol tidak dapat dicari pada keyboard (^_^), walaubagaimanapun secara kasar simbolnya lebih bulat dan agar bujur. selepas ini kita lihat contoh-contoh yang terdapat di dalam Al-Quran.]
- Hanya terletak di atas huruf alif ( اْ ), sebagai huruf terakhir pada kalimah jika huruf yang berikutnya berbaris.
- Merupakan huruf tambahan yang dihazafkan dari bacaan.
- Tidak dibaca sebagai huruf mad, ketika bacaannya disambung.
- Dibaca sebagai huruf mad, ketika berhenti bacaan padanya.
Contoh :
- لَّـٰكِنَّاْ هُوَ اللَّـهُ رَبِّي (Surah Al-Kahfi, 38)
- فَأَضَلُّونَا السَّبِيلاْ ﴿٦٧﴾ رَبَّنَا آتِهِمْ (Surah Al-Ahzab, 67-68)
- كَانَتْ قَوَارِيرَاْ ﴿١٥﴾ قَوَارِيرَاْ مِن فِضَّةٍ (Surah Al-Insaan, 15-16)*
* Jika dilihat pada Mushaf, untuk قَوَارِيرَاْ yang pertama (pada akhir ayat 15), simbol di atas huruf ا merupakan tanda bulatan bujur meninggi, manakala قَوَارِيرَاْ yang kedua (pada awal ayat 16), simbol di atas huruf ا merupakan tanda bulat kecil.
Alhamdulillah, secara kasar dan serba ringkasnya begitulah perbezaan antara tanda bulat kecil dan bulatan bujur meninggi yang terdapat pada Mushaf Rasm 'Uthmani. Bukanlah niat untuk memeningkan kepala memikirkan bentuk dan simbolnya yang sukar untuk dibezakan, namun di sana terdapat teknik bacaan pada kedua-dua tanda, sama ada ketika bacaannya disambung atau ketika memberhentikan bacaan.
Setakat itu sahaja. Mohon pencerahan sekiranya ada.
Wallahu a'lam. InsyaAllah bertemu lagi pada sesi seterusnya :)
Sumber buku : Tajwid Al-Quran Rasm 'Uthmani oleh Haji Abdul Qader Leong
~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~