Bismillah wal Hamdulillah.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad, serta kaum kerabat dan para sahabat Rasulullah.
Sunyi sepi tidak bermakna tiada seri. Terima kasih atas kunjungan kalian ke teratak ini walau lagu sentiasa berbunyi serta menemani, namun tiada info terkini. (maaf, lagu sudah di'simpan' dengan baik)
Bukan niat untuk berpantun, namun gemar memulakan kalam bersopan santun. :)
Tinta kali ini ingin mengajak pembaca agar meluangkan sedikit masa untuk membaca, berfikir dan memberi pandangan yang membina dan bernas buat penulis dan pembaca selainnya.
Menulis, dan berkongsi, perlu kena pada niatnya. Kadang-kala, ia bisa memesongkan hati dari sifat keikhlasan semata-mata kerana Allah Taala. Justeru, mahu menulis bukan sebarang menulis. Jika penulisan mahu sampai ke hati pembaca, maka perlu menulis juga dari hati. Agar ia dicetus dari hati ke hati.
Segala perkara kita perlu sandarkan pada Allah. Bagaimana?
قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين
Solat kita, kerana apa..?
Ibadah kita, untuk siapa..?
Hidup kita, apa tujuannya..?
Matinya kita, menuju ke destinasi syurga atau neraka..?
"Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam."
(Surah Al-An'am, 6:162)
Cakap, bukan sebarang cakap. Tulis, bukan sebarang tulis. Cakap mudah, tulis senang.
Teori semata.
Praktikalnya?
Baik, kenali punca.
Solah
Mulakan dari wudhu' yang diambil. Sempurna atau tidak? Berwudhu' sambil gelak-gelak, atau bersembang-sembang sehingga tak perasan, rupanya dah ambil 'wudhu' sampai ke kaki? Atau berwudhu' sambil kepala ligat memikirkan "hari ni nak masak apa ye?", atau "sayangnya nak tanggalkan make-up kat muka ni. Basuh ala kadar sudah la.". Atau mungkin juga, terlalu was-was, "eh, sempurna tak wudhu' aku ni?" sehinggakan membasuh setiap anggota sebanyak 10 kali. Ini satu pembaziran dan mainan syaitan namanya. Atau, memulakan basuhan dengan nama Allah, "sahaja aku mengangkat wudhu' kerana Allah Taala", membasuh setiap anggota yang wajib dengan sunat 3 kali basuhan serta tertib, lalu disempurnakan dengan doa? Maka, secara tidak langsung ianya memberi effect kepada solat yang bakal kita tunaikan nanti. Solat merupakan penghubung bagi si hamba dengan Yang Maha Pencipta. Tunaikanlah setiap solat itu seolah-olah itulah solat dan pengabdian terakhir kita padaNya. Manalah tahu, selesai sahaja solat, roh sudah tiba masanya untuk dipisahkan dari jasad, buat selamanya. Allah..
Next~
Ibadah
Bisa dikategorikan kepada dua. Wajib dan Sunat. Sempurna sudah ibadah wajib kita sehari-hari? Atau terlalu mendahulukan yang sunnah, sehingga mangabaikan yang wajib? Cukupkah andai hanya memberi sadaqah kepada faqir miskin dan anak-anak yatim, namun solatnya tidak dijaga? Sekejap on, sekejap off. Atau berbangga dengan ibadah puasa di siang hari, namun solatnya tolak ke tepi? Penat, lapar dan dahaga menjadi alasan. Atau, sekadar berniat, "aku tidur kerana Allah Taala", lalu terbaring enak melayan mimpi selama 10 jam tanpa henti? Atau, pernahkah anda berniat "sahaja aku makan makanan rezeki yang dikurniakan oleh Allah, adalah semata-mata keranaNya, demi untuk menjaga hak badan untuk sihat dalam melaksanakan kerja-kerja harian dan gerak kerja Islam". Atau, pernahkah berniat, "aku meminta izin pada Allah Taala untuk mengalunkan bacaan suci kalamNya. Mudah-mudahan ada nilai tinggi di sisiNya."
|
Menulis juga jika ianya untuk agama Islam dan untuk mendapat redhaNya, bisa dikira sebagai ibadah. |
pic from deviantart.com
Next~
Hidup
"Waktu muda hanya sekali, jom enjoy habis-habisan!!" 'Enjoy' dalam erti kata apa bagi anda? Enjoy berfoya-foya, berhibur, bermaksiat dan berpacaran? Atau, 'enjoy' dalam beribadah, menuntut ilmu, menadah kitab, bersukan, dan menjalani ibadah seharian? Memetik sabda Rasulullah s.a.w, "Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir". Meskipun hidup di dunia ini lebih singkat berbanding kehidupan di akhirat, namun janganlah kita culas akan kepentingan mencari bekalan kerana ia adalah penentu kita bahagia atau celaka di akhirat nanti. Letakkan dunia ini di genggaman kita, bukan di hati kita. Warnai kehidupan di dunia dengan amal-amal kebaikan dan diredhaiNya. Sama-sama kita fikirkan, dunia adalah tempat menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Akan tetapi tanpa melalui kesusahan dan cabaran, kita sukar untuk menikmati kemanisan kesenangan.
Next~
Mati
Firman Allah Taala di dalam Surah an-Nazi'at ayat 40-41, yang bermaksud: "Dan orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan mencegah dirinya dari hawa nafsu, maka syurgalah tempat kediamannya." Bila tiba saat kematian, segala kemewahan harta benda, pangkat, keluarga dan kekayaan dunia terpaksa ditinggalkan. Hanya satu perkara yang akan mengiringi kita. Iaitu amalan. Fikirkanlah bersama, waktu tidur dan berehat-rehat telah berlalu, kerana bertambahnya umur kita bermakna kita telah terlalu hampir untuk bertemu dengan Allah Taala. Sanggupkah kita berhadapan dengan Allah s.w.t. kelak dengan membawa amalan tercatat yang terlampau sedikit sedangkan dosa pula melebihi daripada pahala yang kita miliki? Bermaknakah cinta kepada Allah yang kita sering ungkapkan, namun tiada pengamalan dan pelaksanaanya?
Cakap mudah, tulis senang. Praktikalnya?
Saya menulis, terutamanya untuk diri saya, untuk kaum keluarga, sahabat-sahabat, serta para pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Yang menulis bukan bermakna cukup sempurna. Namun, kita dan saya sendiri sebagai seorang hamba perlu ada rasa ingin berubah, dari semasa ke semasa, sedikit demi sedikit, ke arah yang lebih baik.
Moga ada manfaatnya.
Wallahu a'lam.
~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~