MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..

Saturday, November 27, 2010

Cita-cita..


Bismillah wal Hamdulillah.


Assalamu'alaikum warahmatullah.

Syukur pada Allah atas keberlangsungan akan nikmat Iman dan Islam.

Cita-cita. Pelbagai jawapan dan tafsiran bakal diberikan jika kita ditanya mengenai cita-cita.

"I prefer to be a doctor.."

"Saya akan cuba sedaya-upaya untuk belajar sehingga ke peringkat PhD."


"Saya nak bawa mak ayah saya menunaikan haji."


"Saya nak jadi seorang usahawan yang berjaya."

"I wanna be a millionaire.."


"Saya nak 8 orang anak.."


"Mak ayah saya suruh saya menjadi engineer.."


"Saya ingin mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun." (contoh...)




Setiap orang mempunyai cita-cita. Cita-cita, visi dan misi yang tersendiri.

Namun, yang pasti, cita-cita itu hanya impian buat kehidupan di dunia. Salah ke? Eh, tidak salah. Namun, kadang-kala kita terlupa matlamat sebenar kita adalah impian dan cita-cita kita di akhirat kelak.

Seimbangkan keperluan dunia dan akhirat.

"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia...."
(Surah Al-Qasas, 28 : 77)

Kita diwajibkan untuk menuntut ilmu akhirat, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan aqidah, tauhid, syari'ah, dsb. Namun di sana, kita juga diperlukan untuk mendalami ilmu dunia, seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, seni bina, sains kemanusiaan, dsb, sebagai tuntutan fardhu kifayah bagi sesebuah masyarakat.

Lebih menguntungkan bila mana kita menjadikan ilmu dunia sebagai saham kita di akhirat. Bukankah dunia ini sebagai jambatan ke akhirat. Belajar dan bekerja kerana Allah. Belajar dan bekerja kerana ingin menegakkan dan menaikkan maruah agama. Belajar dan bekerja untuk kemaslahatan dan kemudahan untuk saudara-saudara seagama dan bangsanya. Semuanya bergantung pada niat kita. Langkah kita. Amalan kita.

Paling utama adalah segala gerak kerja kita adalah semata-mata ingin mencapai dan mendapat keredhaan dari Allah. Mulai saat ini, perbaharui niat, mantapkan impian, teguhkan iman, menggapai cita-cita ke arah redhaNya. Bila mana ada cita-cita, pasti ada usaha. Usaha untuk mencapai cita-cita. Pinta pada Allah diluaskan jalan, dipermudahkan urusan. Kelak kemanisan akan dirasai sepanjang masa meski halangan, cabaran, mehnah dan tribulasi di sepanjang trek perjuangan.


Cita-Cita Saya?

Saya juga mempunyai cita-cita dan impian. Sewaktu di sekolah rendah, saya ingin menjadi seorang Saintis (kerana ketika itu saya meminati mata pelajaran sains). Namun, ianya bertukar bila mana saya melangkah ke alam sekolah menengah. Untuk menjadi seorang pensyarah, saya cuba melatihkan diri bercakap di hadapan orang ramai, orang yang lebih tua, lebih muda dan sebaya. Namun kini, saya masih memikirkan, apakah aku bisa menjadi apa yang aku citakan? Namu hakikatnya, saya menyedari bahawa, hati saya lebih terikat dengan al-Quran. Impian terdekat saya adalah ingin menjadi seorang 'Guru Tahfiz'. Mungkin sesetengah pihak memandang kerjaya ini adalah golongan yang tersisih. Namun bagi saya, itu bukanlah faktor yang bisa melemahkan cita-cita murni ini, kerana saya tahu ianya ada nilai yang tersendiri di sebalik nama itu.

Dan, saya juga berharap dan berdoa, agar Allah mengakhiri hidup saya dengan sebaik-sebaik pengakhiran. Saya juga berharap agar saya sempat melancarkan hafazan 30 juz sebelum Allah menarik nyawa yang dipinjamkan kepada saya. Saya bimbang, jika saya menginggalkan dunia dalam keadaan saya lupa akan ayat-ayatNya yang telah dihafaz. Saya ingin ada yang menemani saya di saat saya keseorangan di dalam tanah, di saat saya keseorangan berjuang dan bertempur dengan soalan-soalan dari malaikat Munkar dan Nakir. Saya malu, jika tiba saat saya berhadapan denganNya, saya dalam keadaan seorang yang berpenyakit kusta. Saya juga seperti kalian, ingin memasuki syurga Allah, walau diri ini tidak layak dan jauh untuk mendapat syurgaNya, namun saya gentar dari dimasukkan ke dalam neraka Allah, na'udzubillah.

Maka, di dunia merupakan usaha kita ke arah cita-cita di akhirat. Usaha ke arah itu. Namun, kita perlu senantiasa ingat, kita hanya merancang, namun perancangan Allah jualah yang terbaik. (ringkasan dari Surah ali-'Imran, ayat 54)

Sama-sama kita merenung dan berfikir. Sama-sama mendoakan.

Moga dapat manfaatnya bersama.


Wallahu a'lam.


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Friday, November 26, 2010

Be Strong..



Mengapa bermenung panjang
dan terus bermonolog sendiri
mengenangkan nasib tanpa diminta
realitinya diri tidak akan lari
dari terus dan terus diuji.

Bukan kuasa kita
untuk menolak
namun kita berdaya
untuk menahan.
Justeru
usah berputus asa
kerana kita punya prinsip
yang tidak ada pada sesiapa.

Pinta pada Yang Setia
seluas lautan
seteguh langit
seterang matahari
seindah pelangi
akan segala yang dikatakan
KEKUATAN.

Look forward.
Be Strong..ya!





-SAJS-
Kg Sg Tangkas,
Kajang, Selangor.
26 November 2010
11.00 am

Chaiyok2!!


**********************************

~ Aslih Nafsak Wad' Ghairak ~


Wednesday, November 24, 2010

...الله...



Marilah kita sama-sama mengalunkan NamaNya nan indah..


الله ... الله ... الله
يـــــالله

الله الله الله الله الله
يـــــ
الله

الله ... الله ... الله
يـــــالله

ا
لله ... الله ... الله
يـــــالله

الله الله الله
يـــــالله

الله الله الله الله الله
يـــــ
الله

الله ... الله ... الله
يـــــالله

الله ... الله ... الله
يـــــالله



-Syamil-


***********************************************

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Monday, November 22, 2010

Suria..



Dingin angin sesuai masa,
Langit gelap mengakhiri cerita,
Kelopak layu mendamba bahagia,
Menunggu tiba kasih sang cahaya,
Apakah masih ada waktu baginya,
Menabur bakti buat Pemilik Semesta..?






Tubuh dilitup kain berkuasa,
Kelak disisih musuh terkesima,
Mendengus tanda kudrat manusia,
Suria menjengah tenggelamnya gelita,
Senyuman di bibir bertambah ceria,
Amanah jua digalas sehala.


-SAJS-
Kg Sg Tangkas,
Kajang, Selangor.
22 November 2010
6.06 am


*****************************************

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Wednesday, November 10, 2010

Takdir & Cerminan Diri..



Salim : "Hei..kau siapa nak tegur-tegur aku?? Kau cermin diri kau dulu!"

Ali : "Aku kawan kau la, tak kan musuh kot. Errkk..aku tiap-tiap hari pandang cermin. Biasa je tengok. Kenapa, ada apa-apa masalah ke?"

Salim : "Hahaha...kau nak buat loya buruk ye??"

Ali : "Eh, tak lah. Aku tak loya pun sekarang. Aku baru je lepas makan tom yam tadi."

Salim : "Wei...ada je yang kena penangan aku nanti. Aku selama ni hisap rokok tak ada siapa-siapa lagi yang berani tegur tau! Kau ingat kau selalu pergi masjid, dah dikira baik sangat la??"

Ali : "Kalau tiada orang yang berani tegur kau, aku dah cuba untuk memecahkan tradis tu. Boleh kan?"

Salim : "Arghh! Malas la layan kau. Tapi aku nak ingatkan kau, sebelum kau nak tegur aku, lebih baik kau check diri kau tu dulu. Diri sendiri pun tak elok mana, ada hati nak tegur orang lain. Sedar la diri tu sikit."

Salim berlalu meninggalkan Ali dengan muka yang merah padam.

'Aku tegur sebab aku sayangkan kau Lim..' getus hatinya.


*************************************

Salmi : "Hello..suka hati aku la nak buat apa pun. Yang kau sibuk-sibuk ni kenapa? Aku tahu la, kau jelous kan sebenarnya?

Fatimah : "Astaghfirullah. Bukan begitu la Sal.. Kan kurang manis jika seorang wanita mempamerkan gambarnya pada tontonan umum. Kita ni wanita Sal.. Fitnah dunia."

Salmi : "Alah kau ni.. Ada-ada aja. Kau bukannya tahu apa niat aku. Asalkan niat baik, bukannya jadi masalah apa-apa pun."

Fatimah : "Niat yang baik, namun jika ianya memudaratkan kita, elok dielakkan. Lebih baik kita berwaspada sebelum terjadi apa-apa."

Salmi : "Kau ni macam ustazah pulak. Sudah la. Jangan nak jaga tepi kain orang la. Ok!"

Salmi lantas menukar status YM kepada 'offline'.

'Aku memberitahumu kerana aku sayangkan kamu..' hatinya berkata dengan nada sayu.



*************************************



Bismillah wal Hamdulillah.

Sebaik-baik kejadian yang Allah ciptakan adalah manusia. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah at-Tiin, ayat ke-4:


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."


Maka, di sana Allah telah sediakan syurga dan neraka untuk seluruh makhluknya. Mereka yang beriman, Allah janjikan bagi mereka syurga, manakala neraka disediakan buat mereka yang ingkar dengan perintah Allah, bermaksiat dan kufur padaNya.

Memang benar kita perlu percaya kepada adanya Qada' dan Qadar. Akan tetapi ramai dalam kalangan kita yang menyalahtafsirkan erti 'TAKDIR'.

"Dah Allah tetapkan aku jadi macam ni, nak buat macam mana. Dah takdir.." seorang penagih dadah cuba memberikan alasan.

"Alahai..dah aku memang tak pandai, apa boleh buat. Aku terima la sebagai takdir. Usaha macam mana pun tak pandai juga.." seorang pelajar akur bersahaja akan dirinya.

Bukankah Allah telah mengingatkan kita seperti yang tercatat di dalam Kitab suci, pada Surah Ar-Ra'd, ayat 11, yang bermaksud:


"Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENGUBAH KEADAAN SESUATU KAUM SEBELUM MEREKA MENGUBAH KEADAAN DIRI MEREKA SENDIRI. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia."


Lalu, sentiasalah berdoa padaNya agar ditetapkan hati, diteguhkan iman dalam menjaga maruah diri dan agamaNya. Meski kita sering melupaiNya, namun Dia sentiasa mengingati kita. Kerana, kasih sayangNya mendahului kasih sayang kita (sebagai hamba) kepadaNya.


"..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan..."
(Surah al-Ma'idah, 5 : 2)


"Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, serta saling menasihati kepada kebenaran dan saling menasihati pada kesabaran."
(Surah al-'Asr, 103 : 2-3)


Kadang-kala Allah menegur kita melalui wasilah dari kalangan hamba-hambaNya. Tanpa diduga, ada insan yang hadir memberi peringatan kepada kita. Mungkin tanpa kita sedar maksiat dan dosa yang telah kita lakukan itu, Allah telah memberikan kita 'jentikan' amaran agar kita tidak melakukannya lagi.

Terimalah sesiapa sahaja yang datang lalu sudi untuk menegur kekhilafan diri kita. Mungkin di sana tersimpul hikmah yang besar akan teguran dan cebisan kasih yang diberikan mereka. Sesungguhnya mereka telah menjadikan diri mereka sebagai cermin buat diri kita. Teman yang baik adalah ibarat cermin. Mereka segera menegur kita tatkala ada makanan tersisa di tepi bibir kita, menegur kita tatkala kopiah di kepala tidak sempurna tempatnya, menegur tudung yang dipakai 'senget' agar menjadi indah di pandangan mata.




Tegur kerana sayang. Jarang sekali kita dengar tegur kerana kita benci. Ucapkanlah alhamdulillah kerana ada juga insan yang sudi mengingatkan kita kepada Allah.

Cermin Hati - Ikhlas dan Sabar~


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Tuesday, November 9, 2010

Esok sedia menanti..



Bismillah wal Hamdulillah.


Dengan namaMu ya Tuhan aku mulakan,
memetik KalamMu yang indah jadi pedoman,
tatkala diri lemah dan hilang panduan,
Kau senantiasa di sisi mengingatkan,
takut jangan bersedih jangan,
di sana akan adanya pelangi selepas hujan,
syukur padaMu ku tadahkan tangan..

Suara itu bergema lagi,
memecah kesunyian malam yang sunyi sepi,
ku bangkit menyahut seruan Ilahi,
redhaMu jua ku dambakan selari,
sujudku menambah keakraban yang kian suri,
tanda kasihMu mendahului kasih kami..

Timbunan pasir bertebaran ditiup angin,
Dikutip sukar ditangkap bukan,
hari kelmarin mustahil akan berulang kembali,
hanya hari esok yang sedia menanti..




-SAJS-
D1.5 Sumayyah,
UIA Gombak.
9 November 2010
10.40 pm



~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Wednesday, November 3, 2010

Kini, baru ku tahu sebab dan hikmahnya..


Bismillah wal Hamdulillah.

Assalamu'alaikum warahmatullah.

Bertemu kembali, alhamdulillah.

Kali ini, saya cuma ingin meminta keizinan dari pemilik tangan, mata dan hati untuk meluangkan masa mencoret satu, dua perkara yang tiba-tiba terdetik di hati yang dirasakan perlu untuk dikongsikan buat para pembaca dan semestinya sebagai al-inzar buat diri yang menaip ini.

Sekarang, masih lagi dalam fatrah atau suasana exam. Bagi pelajar-pelajar di Main Campus IIUM, kehangatan musim yang bisa membuatkan siswa siswi membuat pelbagai ragam, masih lagi terasa walau ada yang sudah menamatkan paper terakhir pada hari ini. Tidak kurang juga ada sebilangan kampus di IPT yang lain, baru bermulanya study week. Untuk adik-adik di bangku sekolah pula, kalian juga di ambang peperiksaan akhir tahun juga, kan? ^_^

Baiklah, kembali kepada point yang asal. Sebenarnya, saya cuba untuk mengetengahkan, bahawa selain daripada perisai untuk menghadapi exam seperti mohon keberkatan ilmu dari pensyarah, guru-guru, solat hajat dan memanjatkan doa kepada Allah, yang perlu dititikberatkan juga, restu dan doa dari MAK dan BAPAK (maaf, saya menggunakan gelaran bagi kedua ibu-bapa saya..) ataupun AYAH, ABAH, PAPA, WALID, PAK TIRI, IBU, MA, MAMA, UMMI, MAK TIRI mahupun penjaga kita.


Bapa, pemangkin semangatku.. Surtahman Kastin.


Mak, peneman setia suka dan lara.. Romalia Zainol.


Mengapa saya berkata hal yang sedia maklum. Maaf, saya cuma ingin berkongsi dan mengingatkan. Kadang-kala kita terlupa kehadiran mereka meski kita berjuang di asrama dan kampus sehingga tidak berpeluang atau berkesempatan untuk pulang ke rumah dalam dua, tiga bulan.

Siapakah mereka sehingga golongan ini disebut oleh Allah Taala dalam al-Quran, pada Surah al-Isra' ayat 23 dan 24? [boleh check maksudnya dalam tafsir al-Quran]. Mungkin saya tidaklah sehebat sahabat-sahabiah dalam melahirkan rasa kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa. Akan tetapi sebagai seorang anak, zahirkan rasa tersebut semaksima mungkin, walau mereka telah pun tiada.

Bagaimana caranya? Terserah. Saya bawakan contoh apa yang saya lazim lakukan. Setiap kali hendak menghadapi kuiz, saya akan menelefon mak, minta mak doakan yang terbaik. Nampak simple bukan? Tapi berkat doa seorang ibu tiada siapa yang tahu, juga semangat yang dia salurkan amatlah bermakna. Gunakanlah kemudahan yang ada dengan sebaiknya.

Paper pertama saya pada sem ini bermula pada 1 November yang lepas. Malam exam, saya stay up hingga ke pagi. Jam 3 pagi, saya hantar sms pada bapa, "Bapak, tolong doakan ct, pukul 2.30 petang ada exam Statistics..". Kerana saya tahu, bapa saya akan membacanya tatkala bangun dari tidur. Jam 4.30 pagi, bapa membalas, "InsyaAllah." Ringkas. Jam 1.30 petang setelah solat Zuhur, saya menelefon mak. Mak kata selawat banyak-banyak. Jangan lupa sentiasa berdoa. Ingat Allah selalu. Kata-kata keramat buat diri.


Handphone Sony Ericsson W508.
Sudah setahun juga umurnya, ku miliki dengan tukaran wang milikku sendiri yang dipinjamkanNya~


Malam semalam saya menghantar sms lagi lebih kurang jam 1 pagi. "Bapak, tolong doakan ct, pukul 9 pagi exam Accounting..", "Mak, tolong doakan ct, pukul 9 pagi exam Accounting..". Terharu bila mana bapa saya membalas, "Salam. Bapak dah solat dan doakan..". Ditambah pula dengan balasan dari mak, "InsyaAllah. Nabeela semalam exam, dia baca 2 kali Surah al-Fatihah, doa untuk Nabi, Para Sahabat, Ibu Bapa dan untuk diri sendiri. Katanya ok...". See.. The power of it.

Cumanya, saya cukup terkilan sekiranya, ada kalangan kita yang melebih-lebihkan 'bf' or 'gf' untuk mendoakannya. Malah, setiap hari, pagi, petang siang malam, menelefon bertanya khabar dan respon setelah selesai exam. Tidak salah meminta orang lain untuk mendoakan kejayaan kita, akan tetapi jangan melanggar apa yang Allah larang. Ibu bapa pula, hanya telefon sekali sekala, malah ada yang tidak menelefon mereka langsung. Dahsyat sungguh 'kuasa' kekasih hati rupanya! Sudah lah berdosa kerana berpacaran, malah mohon semohon-mohonnya doa dan maaf dari orang yang bukan mahram kita. [maaf, saya tidak menuju kepada mana-mana pihak atau individu, saya cuma mengingatkan..]

Dulu, saya pernah terdetik, kenapa mak bapak suka suruh aku buat tu, buat ni, pergi belajar kat situ, belajar kat sini. Melangkah ke alam sekolah menengah, saya cuba untuk mengelak dan berhenti dari meneruskan pengajian di KOSTAQ, tapi mak dan bapa biarkan saya di sana, walau jauh jarak perjalanannya dari rumah kediaman, namun akhirnya ku kekal di sana [kini : IMTIAZ Dungun] sehingga tamat Tingkatan 5. Kini, baru ku tahu sebab dan hikmahnya.


Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ) YT-Besut, tersimpul sejuta kenangan~



SM Imtiaz Dungun, mengajarku erti kepimpinan dan hidup berdikari..


Kemudian, permohonan saya untuk memasuki Program Persijilan DQ-UIAM pada awalnya tidak diterima. Saat itu, saya betul-betul pasrah. Namun, bapa bersungguh-sungguh untuk membuat rayuan sehingga sanggup menghantar surat rayuan ke bahagian pentadbiran. (ketika itu saya cuba menghalang bapa dari membuat demikian kerana hati saya sudah tawar untuk masuk DQ). Akan tetapi, natijahnya, saya sudah pun grad dari Darul Quran pada tahun lepas. Bila terfikir kembali, tak sangka aku belajar juga di DQ. Kini, baru ku tahu sebab dan hikmahnya.


Pahit getir ku lalui membawa erti kemanisan dalam hidupku..


Sehingga ke hari ini, saya masih keliru, kenapa saya berada di UIA, sedangkan saya tidak pernah termimpi untuk berada di sini. Kalau nak diikutkan, saya hampir sahaja berlepas ke Jordan bersama rakan-rakan DQ yang lain pada bulan 9 yang lepas. Namun, atas alasan bapa saya agar meneruskan pengajian di UIA, saya akur. Walau ini bukan pilihan saya. Kerana, akan datang, ku akan tahu sebab dan hikmahnya.


Masih meneruskan perjuangan di bumi ini..


Pilihan ibu bapa adalah yang terbaik untuk diri kita. Hatta bila bercakap soal jodoh sekalipun, saya lebih prefer untuk menerima pilihan dari mak dan bapa saya. Kerana saya tahu itu adalah yang terbaik buat diri saya.

Erm, saya merancang hanya untuk menulis sepatah dua saja. Dah panjang pula jadinya. Maaf atas segala keterlanjuran bicara, kesalahan bahasa dan kesilapan kata. Saya juga hanyalah manusia biasa. Tidak lari dari melakukan dosa dan noda.

Mohon doa dari semua. Saya masih lagi ada 3 paper, imtihan dunia.

7 November 2010 : Principles of Microeconomics.

9 November 2010 : Principles and Practice of Management.

13 November 2010 : Information Technology.


Terima kasih semua. Moga dalam rahmat dan redha Allah selalu.

Barokallah~


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~