MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Wednesday, November 10, 2010

Takdir & Cerminan Diri..



Salim : "Hei..kau siapa nak tegur-tegur aku?? Kau cermin diri kau dulu!"

Ali : "Aku kawan kau la, tak kan musuh kot. Errkk..aku tiap-tiap hari pandang cermin. Biasa je tengok. Kenapa, ada apa-apa masalah ke?"

Salim : "Hahaha...kau nak buat loya buruk ye??"

Ali : "Eh, tak lah. Aku tak loya pun sekarang. Aku baru je lepas makan tom yam tadi."

Salim : "Wei...ada je yang kena penangan aku nanti. Aku selama ni hisap rokok tak ada siapa-siapa lagi yang berani tegur tau! Kau ingat kau selalu pergi masjid, dah dikira baik sangat la??"

Ali : "Kalau tiada orang yang berani tegur kau, aku dah cuba untuk memecahkan tradis tu. Boleh kan?"

Salim : "Arghh! Malas la layan kau. Tapi aku nak ingatkan kau, sebelum kau nak tegur aku, lebih baik kau check diri kau tu dulu. Diri sendiri pun tak elok mana, ada hati nak tegur orang lain. Sedar la diri tu sikit."

Salim berlalu meninggalkan Ali dengan muka yang merah padam.

'Aku tegur sebab aku sayangkan kau Lim..' getus hatinya.


*************************************

Salmi : "Hello..suka hati aku la nak buat apa pun. Yang kau sibuk-sibuk ni kenapa? Aku tahu la, kau jelous kan sebenarnya?

Fatimah : "Astaghfirullah. Bukan begitu la Sal.. Kan kurang manis jika seorang wanita mempamerkan gambarnya pada tontonan umum. Kita ni wanita Sal.. Fitnah dunia."

Salmi : "Alah kau ni.. Ada-ada aja. Kau bukannya tahu apa niat aku. Asalkan niat baik, bukannya jadi masalah apa-apa pun."

Fatimah : "Niat yang baik, namun jika ianya memudaratkan kita, elok dielakkan. Lebih baik kita berwaspada sebelum terjadi apa-apa."

Salmi : "Kau ni macam ustazah pulak. Sudah la. Jangan nak jaga tepi kain orang la. Ok!"

Salmi lantas menukar status YM kepada 'offline'.

'Aku memberitahumu kerana aku sayangkan kamu..' hatinya berkata dengan nada sayu.



*************************************



Bismillah wal Hamdulillah.

Sebaik-baik kejadian yang Allah ciptakan adalah manusia. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah at-Tiin, ayat ke-4:


"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."


Maka, di sana Allah telah sediakan syurga dan neraka untuk seluruh makhluknya. Mereka yang beriman, Allah janjikan bagi mereka syurga, manakala neraka disediakan buat mereka yang ingkar dengan perintah Allah, bermaksiat dan kufur padaNya.

Memang benar kita perlu percaya kepada adanya Qada' dan Qadar. Akan tetapi ramai dalam kalangan kita yang menyalahtafsirkan erti 'TAKDIR'.

"Dah Allah tetapkan aku jadi macam ni, nak buat macam mana. Dah takdir.." seorang penagih dadah cuba memberikan alasan.

"Alahai..dah aku memang tak pandai, apa boleh buat. Aku terima la sebagai takdir. Usaha macam mana pun tak pandai juga.." seorang pelajar akur bersahaja akan dirinya.

Bukankah Allah telah mengingatkan kita seperti yang tercatat di dalam Kitab suci, pada Surah Ar-Ra'd, ayat 11, yang bermaksud:


"Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENGUBAH KEADAAN SESUATU KAUM SEBELUM MEREKA MENGUBAH KEADAAN DIRI MEREKA SENDIRI. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia."


Lalu, sentiasalah berdoa padaNya agar ditetapkan hati, diteguhkan iman dalam menjaga maruah diri dan agamaNya. Meski kita sering melupaiNya, namun Dia sentiasa mengingati kita. Kerana, kasih sayangNya mendahului kasih sayang kita (sebagai hamba) kepadaNya.


"..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan..."
(Surah al-Ma'idah, 5 : 2)


"Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, serta saling menasihati kepada kebenaran dan saling menasihati pada kesabaran."
(Surah al-'Asr, 103 : 2-3)


Kadang-kala Allah menegur kita melalui wasilah dari kalangan hamba-hambaNya. Tanpa diduga, ada insan yang hadir memberi peringatan kepada kita. Mungkin tanpa kita sedar maksiat dan dosa yang telah kita lakukan itu, Allah telah memberikan kita 'jentikan' amaran agar kita tidak melakukannya lagi.

Terimalah sesiapa sahaja yang datang lalu sudi untuk menegur kekhilafan diri kita. Mungkin di sana tersimpul hikmah yang besar akan teguran dan cebisan kasih yang diberikan mereka. Sesungguhnya mereka telah menjadikan diri mereka sebagai cermin buat diri kita. Teman yang baik adalah ibarat cermin. Mereka segera menegur kita tatkala ada makanan tersisa di tepi bibir kita, menegur kita tatkala kopiah di kepala tidak sempurna tempatnya, menegur tudung yang dipakai 'senget' agar menjadi indah di pandangan mata.




Tegur kerana sayang. Jarang sekali kita dengar tegur kerana kita benci. Ucapkanlah alhamdulillah kerana ada juga insan yang sudi mengingatkan kita kepada Allah.

Cermin Hati - Ikhlas dan Sabar~


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


1 comment:

Anonymous said...

MasyaAllah.. Qur pun sejak beberapa hari ni ada tefikir nak tulis tentang ni..tapi kurang bahan. Jazaakillah kheir Aishah.

tp Aishah mcm tkde nak tegur Qur je.. tk sayang ke?hehehe :P