Bismillah wal Hamdulillah.
Assalamu'alaikum warahmatullah.
Syukur pada Allah atas keberlangsungan akan nikmat Iman dan Islam.
Cita-cita. Pelbagai jawapan dan tafsiran bakal diberikan jika kita ditanya mengenai cita-cita.
"I prefer to be a doctor.."
"Saya akan cuba sedaya-upaya untuk belajar sehingga ke peringkat PhD."
"Saya nak bawa mak ayah saya menunaikan haji."
"Saya nak jadi seorang usahawan yang berjaya."
"I wanna be a millionaire.."
"Saya nak 8 orang anak.."
"Mak ayah saya suruh saya menjadi engineer.."
"Saya ingin mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun." (contoh...)
Setiap orang mempunyai cita-cita. Cita-cita, visi dan misi yang tersendiri.
Namun, yang pasti, cita-cita itu hanya impian buat kehidupan di dunia. Salah ke? Eh, tidak salah. Namun, kadang-kala kita terlupa matlamat sebenar kita adalah impian dan cita-cita kita di akhirat kelak.
Seimbangkan keperluan dunia dan akhirat.
"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia...."
(Surah Al-Qasas, 28 : 77)
Kita diwajibkan untuk menuntut ilmu akhirat, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan aqidah, tauhid, syari'ah, dsb. Namun di sana, kita juga diperlukan untuk mendalami ilmu dunia, seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, seni bina, sains kemanusiaan, dsb, sebagai tuntutan fardhu kifayah bagi sesebuah masyarakat.Lebih menguntungkan bila mana kita menjadikan ilmu dunia sebagai saham kita di akhirat. Bukankah dunia ini sebagai jambatan ke akhirat. Belajar dan bekerja kerana Allah. Belajar dan bekerja kerana ingin menegakkan dan menaikkan maruah agama. Belajar dan bekerja untuk kemaslahatan dan kemudahan untuk saudara-saudara seagama dan bangsanya. Semuanya bergantung pada niat kita. Langkah kita. Amalan kita.
Paling utama adalah segala gerak kerja kita adalah semata-mata ingin mencapai dan mendapat keredhaan dari Allah. Mulai saat ini, perbaharui niat, mantapkan impian, teguhkan iman, menggapai cita-cita ke arah redhaNya. Bila mana ada cita-cita, pasti ada usaha. Usaha untuk mencapai cita-cita. Pinta pada Allah diluaskan jalan, dipermudahkan urusan. Kelak kemanisan akan dirasai sepanjang masa meski halangan, cabaran, mehnah dan tribulasi di sepanjang trek perjuangan.
Cita-Cita Saya?
Saya juga mempunyai cita-cita dan impian. Sewaktu di sekolah rendah, saya ingin menjadi seorang Saintis (kerana ketika itu saya meminati mata pelajaran sains). Namun, ianya bertukar bila mana saya melangkah ke alam sekolah menengah. Untuk menjadi seorang pensyarah, saya cuba melatihkan diri bercakap di hadapan orang ramai, orang yang lebih tua, lebih muda dan sebaya. Namun kini, saya masih memikirkan, apakah aku bisa menjadi apa yang aku citakan? Namu hakikatnya, saya menyedari bahawa, hati saya lebih terikat dengan al-Quran. Impian terdekat saya adalah ingin menjadi seorang 'Guru Tahfiz'. Mungkin sesetengah pihak memandang kerjaya ini adalah golongan yang tersisih. Namun bagi saya, itu bukanlah faktor yang bisa melemahkan cita-cita murni ini, kerana saya tahu ianya ada nilai yang tersendiri di sebalik nama itu.
Dan, saya juga berharap dan berdoa, agar Allah mengakhiri hidup saya dengan sebaik-sebaik pengakhiran. Saya juga berharap agar saya sempat melancarkan hafazan 30 juz sebelum Allah menarik nyawa yang dipinjamkan kepada saya. Saya bimbang, jika saya menginggalkan dunia dalam keadaan saya lupa akan ayat-ayatNya yang telah dihafaz. Saya ingin ada yang menemani saya di saat saya keseorangan di dalam tanah, di saat saya keseorangan berjuang dan bertempur dengan soalan-soalan dari malaikat Munkar dan Nakir. Saya malu, jika tiba saat saya berhadapan denganNya, saya dalam keadaan seorang yang berpenyakit kusta. Saya juga seperti kalian, ingin memasuki syurga Allah, walau diri ini tidak layak dan jauh untuk mendapat syurgaNya, namun saya gentar dari dimasukkan ke dalam neraka Allah, na'udzubillah.
Maka, di dunia merupakan usaha kita ke arah cita-cita di akhirat. Usaha ke arah itu. Namun, kita perlu senantiasa ingat, kita hanya merancang, namun perancangan Allah jualah yang terbaik. (ringkasan dari Surah ali-'Imran, ayat 54)
Sama-sama kita merenung dan berfikir. Sama-sama mendoakan.
Moga dapat manfaatnya bersama.
Wallahu a'lam.
~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~
2 comments:
Semoga tercapai apa yg dicita-citakan. Ingatlah, hidup seorang pejuang Islam, setiap perkara yg dilakukan adalah ibadah dan jihad fisabilillah bilamana semua yg dilakukan adalah kerana Allah s.w.t. dan utk menegakkan Syiar Islam.
Jazakallahu kher.
Terima kasih atas peringatan. InsyaAllah, ana akan ingat, dan berharap sentiasa diingatkan oleh Allah. Benar, niatkan segala amalan sebagai ibadah. Moga secebis tinta ini turut mendapat habuan di sisiNya. Terima kasih sekali lagi.
Mohon doanya.
Post a Comment