MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Friday, December 24, 2010

Tidak Akan Pernah Rasa Cukup..


Bismillah wal Hamdulillah.

Firman Allah Taala, yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat."
(Surah Ibrahim, 14 : 7)


Situasi 1


Kuew Tiau Kungfu - 1
(makan)

Tulisan itu dicatit di atas sehelai kertas putih bersaiz kecil. Diorder di cafe mahallah. Dinner.

7 minit kemudian.

"Kak, air bandung satu, bungkus."

"OK."


Tiba-tiba, datang seorang pekerja cafe, barangkali pembantu tukang masak datang ke kaunter sambil membawa satu bungkusan makanan yang sudah diletakkan di dalam plastik, sebelah tangan lagi membawa sebiji mangkuk.

'Macam aku punya je tu. Bukan kot..sebab nampak macam kuew tiau sup je...(ada ke kuew tiau sup?)', bermonolog sendirian sambil mata menurut pergerakan makanan-makanan yang dibawa oleh pekerja itu.

"Nasi Goreng Paprik, bungkus.. Kuew Tiau Kungfu, makan...", jerit pekerja tersebut.

Hampir sahaja gegendang telinga tercabut.

'Eh, aku punya ke ni? Lain macam je ghupenye..tapi tulisan aku dah ni..haish..', Siti mengerutkan keningnya.

Tanpa banyak berkata, makanan itu terus diambilnya.

Sampai sahaja di meja makan,

"Min, tengok la kuew tiau kungfu dia ni.. Lain.. Patutnya kuew tiau tu disalut dengan telur.. Ni rupa telur pun tak nampak..", cuba untuk mengadu pada temannya.

Sambil dibelek-belek makanan itu dengan garfu.

"Orang lain kot yang masak ni..", temannya cuba untuk menyedapkan hati.

Tidak mahu meng'complaint' makanan yang tidak memuaskan hatinya. Bimbang lagi lama dia perlu menunggu makanan. Semakin lama semakin ramai orang membuat tempahan.

Tiada pilihan.

Sambil makan,

"Hilang sudah kepercayaanku pada cafe ini..", nada merajuk.

Persoalannya, Masih Tidak Puas-kah?


Situasi 2

"Apasal elaun bulan ni tak masuk lagi ni?", merungut si Saya.

"Bulan lepas awal bulan dah masuk dah. Ni nak dekat akhir bulan, tak masuk-masuk lagi nih!", sambungnya.

"Eh, tadi aku dah check la, dah masuk dah pun. Baru je kot.", jawab rakan sebiliknya, Anda.

"Berapa masuk?", berminat agaknya.

"Adalah, RM90 kalau tak silap.", jawab Anda sambil bebola mata memandang ke atas, cuba mengingat dan mencongak baki duit dalam akaun.

"RM90 je?? Biasanya kan RM150. Apahal pulak turun ni. Miskin apa??", Saya menunjukkan nada protes.


Persoalannya, Masih Tidak Cukup-kah?


Situasi 3

"Mak aii..cun gila handphone kau!!", Didi menekan-nekan butang sambil tersenyum menampakkan gigi.

"Hah? Gila pun tak cun macam tu kan? Hmm.. Mak aku yang hadiahkan, sempena graduation day aku baru-baru ni.", Mimi menjawab dengan rendah diri.

"Aku nak beli jugak la. Berapa harganya?", soalnya bersungguh.

"Emm..i'm not sure..but maybe around RM2,500.", keningnya terangkat.

"Cayalah.."

"Eh, kau nak beli handphone baru lagi ke? Bulan lepas kau beli Blackberry. iPhone kau yang sekarang ni pun kau baru beli minggu lepas kan? Buat apa banyak-banyak? Sim card ada satu je pun.", Mimi pelik dengan perangai rakannya.

"Membazir la..", sambungnya.

"Alah..kau apa tahu..?", malas nak melayan leteran orang.



Persoalannya, Mengapa Beli Lebih? [macam slogan 'Mengapa Bayar Lebih' je..^^]


Ucapan Syukur

Kembali kepada ayat al-Quran yang dinyatakan pada permulaan entry ini, menunjukkan bahawa orang yang bersyukur adalah seorang yang hebat kerana mereka cepat berterima kasih dan redha dengan pemberian Allah, mereka dibantu oleh Allah, dan jika mereka menderita, mereka bersabar.

Apabila kita bersyukur dan berterima kasih, kita akan sentiasa bersangka baik pada sesiapa sahaja, pada apa sahaja perkara atau insiden yang berlaku. Malah, secara tidak langsung, kita akan mendapat kekuatan dalaman dan luaran.

Justeru, adalah dicadangkan supaya melazimkan lidah dan hati menyebut 'ALHAMDULILLAH', dan perlulah dimanifestikan dalam amal ibadah. InsyaAllah kejayaan sebenar pasti menanti di akhirat kelak.

Dalam Firman Allah SWT yang lain:

"Barangsiapa yang bersyukur, maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia."
(Surah an-Naml, 27 :40)




Tiga Cara Bersyukur

Para ulama mengemukakan tiga cara bersyukur kepada Allah.

Pertama, bersyukur dengan hati nurani. Kata hati atau nurani selalu benar dan jujur. Untuk itu, orang yang bersyukur dengan hati nuraninya sebenarnya tidak akan pernah mengingkari banyaknya nikmat Allah. Dengan detak hati yang paling dalam, kita sebenarnya mampu menyedari seluruh nikmat yang kita peroleh, setiap detik hidup kita tidak lain berasal dari Allah. Hanya Allahlah yang mampu menganugerahkan nikmatNya.

Kedua, bersyukur dengan ucapan. Lidahlah yang biasa melafazkan kata-kata. Ungkapan yang paling baik untuk menyatakan syukur kita kepada Allah adalah hamdalah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda,

"Barangsiapa mengucapkan subhanAllah, maka baginya 10 kebaikan. Barangsiapa membaca La ilaha illAllah, maka baginya 20 kebaikan. Dan, barangsiapa membaca alhamdulillah, maka baginya 30 kebaikan."

Ketiga, bersyukur dengan perbuatan, yang biasanya dilakukan anggota tubuh. Tubuh yang diberikan Allah kepada manusia sebaiknya dipergunakan untuk hal-hal yang positif. Menurut Imam al-Ghazali, ada tujuh anggota tubuh yang harus dimaksimakan untuk bersyukur. Antara lain, mata, telinga, lidah, tangan, perut, kemaluan, dan kaki. Seluruh anggota ini diciptakan Allah sebagai nikmatNya untuk kita. Lidah, misalnya, hanya untuk mengeluarkan kata-kata yang baik, berzikir, dan mengungkapkan nikmat yang kita rasakan. Allah berfirman di dalam Surah ad-Dhuha, ayat ke 11:

"Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)."


3 Situasi Di Atas

Saya cuba membawa tiga contoh situasi yang rata-ratanya berlaku dalam kalangan kita, sebagai seorang manusia biasa. Hal ini mungkin berlaku pada diri saya, dan mungkin juga berlaku pada diri anda.

Situasi 1 - Meskipun Siti berhak untuk membuat laporan dan meminta agar makananya ditukar sesuai dengan tempahan yang dilakukannya, namun di sana barangkali Allah telah mengaturkan rezeki yang sepatutnya diterima pada waktu itu. Seperti juga, jika kita membeli makanan bungkus buat sarapan di pagi hari, tiba-tiba makanan tersebut jatuh terburai tanpa sempat kita menjamahnya lagi. Maka, perlu kita terima dengan redha bahawa makanan tersebut bukanlah rezeki kita.

Situasi 2 - Pertama sekali, bersyukurlah kerana tidak semua orang yang diberikan peluang atau rezeki untuk mendapatkan elaun bulanan, biasiswa dan sebagainya, justeru mengapa dipersoalkan seandainya jumlah elaun tersebut tidak seperti biasa, kurang, lambat, dan sebagainya. Pupuklah rasa beruntung dan berterima kasih kerana kita sentiasa lupa kadang-kadang ke manakah hala tuju wang yang diberikan kepada kita itu. Adakah ke arah kebaikan atau sebaliknya?

Situasi 3 - Ramai orang ada harta, kaya-raya, tapi miskin jiwa. Bila ada duit, sentiasa tidak cukup. Makin bertambah harta, makin banyak yang ingin dibelinya. Makin banyak duit, makin banyak dibelanja. Kadang-kala kehendak melampaui keperluan. Mengapa jadi begitu?


Orang Paling Kaya


Saya teringat sebuah hadith bertaraf Hasan Li Ghairih. Hadith ini pada asalnya bertaraf dhaif, namun setelah ia diperkuatkan hadith lain yang lebih baik, maka diangkat martabatnya menjadi Hasan Li Ghairih.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Allah berfirman, 'Wahai hambaku, buat apa yang Aku fardhukan, kamu akan menjadi orang paling beribadah kepada Allah. Kamu tinggalkan apa yang Aku larang, kamu akan menjadi orang paling warak. Dan hendaklah kamu berasa cukup dengan apa yang Aku rezekikan, dan kamu akan menjadi orang paling kaya."

Seorang ulama cendekiawan berkata,
"Cerita tentang dunia ini semuanya hebat, tapi aku hairan pada anak Adam yang sombong pada tiga perkara:
1- Aku berasa hairan orang yang mengejar dunia sedangkan di akhirat nanti muflis.

2- Aku berasa hairan orang yang menggunakan lidah dengan fasih tetapi tidak digunakan untuk membaca al-Quran dan berzikir.

3- Aku berasa hairan orang makan setiap hari tetapi tidak pernah berpuasa."



Alangkah Bahagianya

Alangkah bahagianya, jika kita sentiasa melafazkan syukur pada Allah, Tuhan yang mengurniakan nikmat dan rezeki kadang tanpa diminta.

Alangkah bahagianya, jika kita dengan mudah mengucapkan terima kasih pada insan sekeliling yang sentiasa mendoakan kita, di kala waktu susah dan senang.

Alangkah bahagianya, jika kita tidak pernah rasa cukup dalam beribadah, berzikir, bersedekah, menuntut ilmu, dan berukhuwwah.

Alangkah bahagianya, jika kita hidup di dunia, hanyalah semata-mata untuk mencapai redha Allah.

Alangkah bahagianya, jika kita sentiasa menyedari dan melakukan apa yang kita sedia tahu.


*Bersyukur mencegah tumbuhnya perasaan takabur.

Wallahu a'lam.

Moga bermanfaat.


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

2 comments:

baincardin said...

lepas baca ni, terus aja rasa lapar. ^_^

'Aishah Jauhara said...

nasib baik tak letak gambar makanan sekali.. ^^