MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Thursday, December 30, 2010

Sayang & Benci..


Jika kita sayang, sayanglah seadanya.

Jika kita benci, bencilah seadanya.

Jika kita sayang, sayanglah keranaNya.
Jika kita benci, bencilah keranaNya.




Jika kita sayang, ungkapkanlah padanya.
Jika kita benci, jangan turuti emosi kita.

Jika kita sayang, tegurlah kesilapannya.
Jika kita benci, usah menghambur kata-kata nista.

Jika kita sayang, rindu itu fitrah manusia.
Jika kita benci, lama-kelamaan akan sayang juga.




Jika kita sayang, doakanlah untuk kebaikannya.
Jika kita benci, peluklah dirinya, kerna pada hakikatnya, kita menyayangi dia.

ANA UHIBBUKUM FILLAH..~


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Friday, December 24, 2010

Tidak Akan Pernah Rasa Cukup..


Bismillah wal Hamdulillah.

Firman Allah Taala, yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat."
(Surah Ibrahim, 14 : 7)


Situasi 1


Kuew Tiau Kungfu - 1
(makan)

Tulisan itu dicatit di atas sehelai kertas putih bersaiz kecil. Diorder di cafe mahallah. Dinner.

7 minit kemudian.

"Kak, air bandung satu, bungkus."

"OK."


Tiba-tiba, datang seorang pekerja cafe, barangkali pembantu tukang masak datang ke kaunter sambil membawa satu bungkusan makanan yang sudah diletakkan di dalam plastik, sebelah tangan lagi membawa sebiji mangkuk.

'Macam aku punya je tu. Bukan kot..sebab nampak macam kuew tiau sup je...(ada ke kuew tiau sup?)', bermonolog sendirian sambil mata menurut pergerakan makanan-makanan yang dibawa oleh pekerja itu.

"Nasi Goreng Paprik, bungkus.. Kuew Tiau Kungfu, makan...", jerit pekerja tersebut.

Hampir sahaja gegendang telinga tercabut.

'Eh, aku punya ke ni? Lain macam je ghupenye..tapi tulisan aku dah ni..haish..', Siti mengerutkan keningnya.

Tanpa banyak berkata, makanan itu terus diambilnya.

Sampai sahaja di meja makan,

"Min, tengok la kuew tiau kungfu dia ni.. Lain.. Patutnya kuew tiau tu disalut dengan telur.. Ni rupa telur pun tak nampak..", cuba untuk mengadu pada temannya.

Sambil dibelek-belek makanan itu dengan garfu.

"Orang lain kot yang masak ni..", temannya cuba untuk menyedapkan hati.

Tidak mahu meng'complaint' makanan yang tidak memuaskan hatinya. Bimbang lagi lama dia perlu menunggu makanan. Semakin lama semakin ramai orang membuat tempahan.

Tiada pilihan.

Sambil makan,

"Hilang sudah kepercayaanku pada cafe ini..", nada merajuk.

Persoalannya, Masih Tidak Puas-kah?


Situasi 2

"Apasal elaun bulan ni tak masuk lagi ni?", merungut si Saya.

"Bulan lepas awal bulan dah masuk dah. Ni nak dekat akhir bulan, tak masuk-masuk lagi nih!", sambungnya.

"Eh, tadi aku dah check la, dah masuk dah pun. Baru je kot.", jawab rakan sebiliknya, Anda.

"Berapa masuk?", berminat agaknya.

"Adalah, RM90 kalau tak silap.", jawab Anda sambil bebola mata memandang ke atas, cuba mengingat dan mencongak baki duit dalam akaun.

"RM90 je?? Biasanya kan RM150. Apahal pulak turun ni. Miskin apa??", Saya menunjukkan nada protes.


Persoalannya, Masih Tidak Cukup-kah?


Situasi 3

"Mak aii..cun gila handphone kau!!", Didi menekan-nekan butang sambil tersenyum menampakkan gigi.

"Hah? Gila pun tak cun macam tu kan? Hmm.. Mak aku yang hadiahkan, sempena graduation day aku baru-baru ni.", Mimi menjawab dengan rendah diri.

"Aku nak beli jugak la. Berapa harganya?", soalnya bersungguh.

"Emm..i'm not sure..but maybe around RM2,500.", keningnya terangkat.

"Cayalah.."

"Eh, kau nak beli handphone baru lagi ke? Bulan lepas kau beli Blackberry. iPhone kau yang sekarang ni pun kau baru beli minggu lepas kan? Buat apa banyak-banyak? Sim card ada satu je pun.", Mimi pelik dengan perangai rakannya.

"Membazir la..", sambungnya.

"Alah..kau apa tahu..?", malas nak melayan leteran orang.



Persoalannya, Mengapa Beli Lebih? [macam slogan 'Mengapa Bayar Lebih' je..^^]


Ucapan Syukur

Kembali kepada ayat al-Quran yang dinyatakan pada permulaan entry ini, menunjukkan bahawa orang yang bersyukur adalah seorang yang hebat kerana mereka cepat berterima kasih dan redha dengan pemberian Allah, mereka dibantu oleh Allah, dan jika mereka menderita, mereka bersabar.

Apabila kita bersyukur dan berterima kasih, kita akan sentiasa bersangka baik pada sesiapa sahaja, pada apa sahaja perkara atau insiden yang berlaku. Malah, secara tidak langsung, kita akan mendapat kekuatan dalaman dan luaran.

Justeru, adalah dicadangkan supaya melazimkan lidah dan hati menyebut 'ALHAMDULILLAH', dan perlulah dimanifestikan dalam amal ibadah. InsyaAllah kejayaan sebenar pasti menanti di akhirat kelak.

Dalam Firman Allah SWT yang lain:

"Barangsiapa yang bersyukur, maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia."
(Surah an-Naml, 27 :40)




Tiga Cara Bersyukur

Para ulama mengemukakan tiga cara bersyukur kepada Allah.

Pertama, bersyukur dengan hati nurani. Kata hati atau nurani selalu benar dan jujur. Untuk itu, orang yang bersyukur dengan hati nuraninya sebenarnya tidak akan pernah mengingkari banyaknya nikmat Allah. Dengan detak hati yang paling dalam, kita sebenarnya mampu menyedari seluruh nikmat yang kita peroleh, setiap detik hidup kita tidak lain berasal dari Allah. Hanya Allahlah yang mampu menganugerahkan nikmatNya.

Kedua, bersyukur dengan ucapan. Lidahlah yang biasa melafazkan kata-kata. Ungkapan yang paling baik untuk menyatakan syukur kita kepada Allah adalah hamdalah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda,

"Barangsiapa mengucapkan subhanAllah, maka baginya 10 kebaikan. Barangsiapa membaca La ilaha illAllah, maka baginya 20 kebaikan. Dan, barangsiapa membaca alhamdulillah, maka baginya 30 kebaikan."

Ketiga, bersyukur dengan perbuatan, yang biasanya dilakukan anggota tubuh. Tubuh yang diberikan Allah kepada manusia sebaiknya dipergunakan untuk hal-hal yang positif. Menurut Imam al-Ghazali, ada tujuh anggota tubuh yang harus dimaksimakan untuk bersyukur. Antara lain, mata, telinga, lidah, tangan, perut, kemaluan, dan kaki. Seluruh anggota ini diciptakan Allah sebagai nikmatNya untuk kita. Lidah, misalnya, hanya untuk mengeluarkan kata-kata yang baik, berzikir, dan mengungkapkan nikmat yang kita rasakan. Allah berfirman di dalam Surah ad-Dhuha, ayat ke 11:

"Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)."


3 Situasi Di Atas

Saya cuba membawa tiga contoh situasi yang rata-ratanya berlaku dalam kalangan kita, sebagai seorang manusia biasa. Hal ini mungkin berlaku pada diri saya, dan mungkin juga berlaku pada diri anda.

Situasi 1 - Meskipun Siti berhak untuk membuat laporan dan meminta agar makananya ditukar sesuai dengan tempahan yang dilakukannya, namun di sana barangkali Allah telah mengaturkan rezeki yang sepatutnya diterima pada waktu itu. Seperti juga, jika kita membeli makanan bungkus buat sarapan di pagi hari, tiba-tiba makanan tersebut jatuh terburai tanpa sempat kita menjamahnya lagi. Maka, perlu kita terima dengan redha bahawa makanan tersebut bukanlah rezeki kita.

Situasi 2 - Pertama sekali, bersyukurlah kerana tidak semua orang yang diberikan peluang atau rezeki untuk mendapatkan elaun bulanan, biasiswa dan sebagainya, justeru mengapa dipersoalkan seandainya jumlah elaun tersebut tidak seperti biasa, kurang, lambat, dan sebagainya. Pupuklah rasa beruntung dan berterima kasih kerana kita sentiasa lupa kadang-kadang ke manakah hala tuju wang yang diberikan kepada kita itu. Adakah ke arah kebaikan atau sebaliknya?

Situasi 3 - Ramai orang ada harta, kaya-raya, tapi miskin jiwa. Bila ada duit, sentiasa tidak cukup. Makin bertambah harta, makin banyak yang ingin dibelinya. Makin banyak duit, makin banyak dibelanja. Kadang-kala kehendak melampaui keperluan. Mengapa jadi begitu?


Orang Paling Kaya


Saya teringat sebuah hadith bertaraf Hasan Li Ghairih. Hadith ini pada asalnya bertaraf dhaif, namun setelah ia diperkuatkan hadith lain yang lebih baik, maka diangkat martabatnya menjadi Hasan Li Ghairih.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Allah berfirman, 'Wahai hambaku, buat apa yang Aku fardhukan, kamu akan menjadi orang paling beribadah kepada Allah. Kamu tinggalkan apa yang Aku larang, kamu akan menjadi orang paling warak. Dan hendaklah kamu berasa cukup dengan apa yang Aku rezekikan, dan kamu akan menjadi orang paling kaya."

Seorang ulama cendekiawan berkata,
"Cerita tentang dunia ini semuanya hebat, tapi aku hairan pada anak Adam yang sombong pada tiga perkara:
1- Aku berasa hairan orang yang mengejar dunia sedangkan di akhirat nanti muflis.

2- Aku berasa hairan orang yang menggunakan lidah dengan fasih tetapi tidak digunakan untuk membaca al-Quran dan berzikir.

3- Aku berasa hairan orang makan setiap hari tetapi tidak pernah berpuasa."



Alangkah Bahagianya

Alangkah bahagianya, jika kita sentiasa melafazkan syukur pada Allah, Tuhan yang mengurniakan nikmat dan rezeki kadang tanpa diminta.

Alangkah bahagianya, jika kita dengan mudah mengucapkan terima kasih pada insan sekeliling yang sentiasa mendoakan kita, di kala waktu susah dan senang.

Alangkah bahagianya, jika kita tidak pernah rasa cukup dalam beribadah, berzikir, bersedekah, menuntut ilmu, dan berukhuwwah.

Alangkah bahagianya, jika kita hidup di dunia, hanyalah semata-mata untuk mencapai redha Allah.

Alangkah bahagianya, jika kita sentiasa menyedari dan melakukan apa yang kita sedia tahu.


*Bersyukur mencegah tumbuhnya perasaan takabur.

Wallahu a'lam.

Moga bermanfaat.


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Friday, December 17, 2010

Sepanjang Perjalanan..


Bismillah wal Hamdulillah.


Syukur pada Allah kerana masih memberi hambaNya yang hina ini terus menerus menikmati nikmat dan kurniaanNya.

Sekadar selingan, APA KHABAR IMAN KITA HARI INI?

Moga sama-sama mendapat perlindungan dari Allah Taala.

Hari ini, berjalan seorang diri bermula dari pagi hingga ke petang.

Cuba berfikir dan mengambil iktibar.

Di sepanjang perjalanan.



Anak Kecil

Hari ini, lebih kurang pada jam 10.30 pagi, saya melangkah keluar dari UIA dengan bantuan bas T231 Rapid KL, untuk pulang ke rumah halaman.

LRT.

Situasi bermula di sini. Saya duduk di satu kerusi, manakala ada 3 orang sisters lagi berada selari dengan saya. Masing-masing pakaian menutup aurat. Alhamdulillah.

Bertentangan dengan kami ada 4 kerusi juga. Diisi oleh seorang ibu bersama seorang anaknya yang kecil. Anak perempuan, umurnya mungkin sekitar 3 tahun. Dan 2 orang perempuan yang lain.

Comel. Ungkapan pertama yang keluar dari hati. Gelagatnya menunjukkan seorang yang agak pandai berkata-kata.

Saya merenung anak kecil itu. Terdetik di hati, 'Alangkah bahagianya kamu wahai adik. Masih suci dari dosa.' Tergalas di belakangnya sebuah beg kecil. Padan dengan saiz tubuhnya.

Comel. Keluar buat kali kedua. Kalau dalam bahasa Jepun, 'Kawaii'. Dengan rambutnya yang panjang dan lurus, bentuk muka yang bulat, mata yang cantik. Terdetik pula dalam hati, 'Budak ni bila dah besar mesti cantik ni..'

Merenung lagi adik itu. Usianya saya anggarkan sebaya dengan anak saudara saya. Ingin sahaja gelarkan diri ini 'makcik'. Tapi bunyinya seolah terlalu tua pula. Abaikan~

Walaupun kepala sedikit kepeningan dek perjalanan yang sedikit berombak, mata masih memandang tepat pada si anak kecil itu. Sesekali mata mengerling ke kiri dan ke kanan, kalau-kalau ada makcik-makcik atau pakcik-pakcik yang sudah berumur dalam keadaan berdiri. Jika ada, pasti sahaja ingin memberikan tempat duduk pada mereka.

Pandangan beralih kepada insan di sisinya, sisi kanan, yang sering memegang tangannya agar tidak lari ke mana-mana. Andaian sahaja. Ibunya, seperti seorang yang amat kasih dan sayang terhadap anaknya itu. Itu sudah tentu, bukan?

Namun, si ibu itu seakan anaknya, membiarkan kepala dan rambut terdedah buat tatapan umum. Berwarna perang. Bukan perang asli.

Di hadapan adik kecil itu, berdirinya seorang amoi cina, berskirt pendek atas lutut. Di sebelah kanan si ibu, berdirinya seorang perempuan melayu berbaju kurung, namun rambutnya juga terdedah. Tidak lama kemudian, tempat duduk sebelah kiri si adik itu bertukar orang. Kini seorang perempuan, yang mendedahkan rambutnya juga.

Terdetik pula, 'Adik ni dikelilingi dan didedahkan dengan persekitaran golongan perempuan yang tidak memakai tudung. Bahaya. Kasihan si adik ni.'

Saya bermonolog lagi, 'Moga kelak dirimu wahai adik, dapat membawa perubahan yang lebih baik terhadap ibu dan dirimu. Serulah si ibu untuk menyempurnakan penampilan seiring dengan kecantikan. Moga dirimu dan keluargamu ini akan menjadi insan yang lebih baik dan mendapat petunjuk dari Allah serta bahagia di dunia dan di akhirat.'

Si ibu dan si anak tiba di destinasi. Sekuntum senyuman ku hulurkan buat si anak, kebetulan dia memandangku. 'Moga-moga.' Saya berseloroh sendirian.



'Jemputan' on the spot

Tiba di KL Sentral, saya terus meluru ke kaunter tiket komuter.

"Kuala Lumpur, 1."

"RM1"

"Terima kasih."

Tanpa berlengah terus menuju ke bahagian platform di bawah.

Laluan menuju ke Rawang.

Langkah semakin kencang bila mana train ke Rawang hampir tiba. Mengorak langkah ke bahagian tengah gerabak. Koc Wanita.

Saat menunggu train berhenti, tiba-tiba terdengar seseorang bercakap dengan seorang perempuan, bertudung labuh.

"Tu kawan ke?"

Saya berpaling ke arahnya. Perempuan itu senyap sahaja. Angguk tidak, geleng tidak.

Menunggu pula pintu train dibuka, tiba-tiba disapa dari belakang oleh seorang wanita.

"Assalamu'alaikum. Kami dari TV9."

"Eh??" (buat muka blurr)

"Nak minta tolong adik temankan Ustazah R (bukan nama sebenar) di sana. Kita nak rakam sikit."

Terus ditariknya tangan saya. Perempuan bertudung labuh tadi itu juga mengekori saya di belakang.

Mereka meminta kami berdua bersama-sama dengan Ustazah R untuk memasuki train tersebut, di bahagian koc wanita juga.

Untung juga, diberi ruang yang luas. Tiada himpitan. Tempat duduk disediakan. Kosong.

Di dalam train, ada lagi sesi rakaman mereka. Kedudukan Ustazah R selang 3/4 kerusi dari tempat duduk saya. Kali ini, Ustazah R memegang sebuah buku. Dibukanya buku itu.

Ada rakaman apa saya tidak pasti. Malas nak ambil tahu.

Saya berfikir.

Begitu rupanya.

'Ceh, masa ni la nak cari orang pakai tudung labuh.' Bersangka buruk sebentar.

Tapi dah istighfar balik dah. Moga Allah ampunkan.



JAWI

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Dalam perjalanan menuju ke UKM, saya telah berniat sejak semalam untuk singgah ke JAWI [Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan]. Niat untuk memanjangkan ukhuwwah.

Sengaja untuk berziarah. Tambahan, kebanyakan staf di bahagian Dakwah mengenali saya.

11.50 pagi.

"Ustazah, saya dah sampai. Saya tunggu di surau ye."

"Ok."

Ustazah Maznah, orang yang banyak menguruskan pertandingan hafazan peringkat Wilayah Persekutuan, dan mengawal peserta-peserta musabaqah dengan rapi. Mula mengenali beliau sejak saya berkecimpung di arena ini. 2008. Penuh nostalgia.

Beliau sedang menjalani program mingguan, setiap hari Jumaat. Saya kurang arif program apa yang dijalankan. Namun, yang pasti ianya sebagai aktiviti berkala buat staf-staf di situ.

Rezeki saya hari ni. Lunch disediakan. Layan~

Banyak perkara yang kami bualkan. Saya juga sempat bertemu dengan beberapa orang staf yang saya kenali dan tidak kenali. Antaranya Kak Rozilawati (pengiring 2010), Abang Jasni (pengiring 2009), dan beberapa krew yang turut menjayakan Majlis Menghafaz Al-Quran pada setiap tahun.

Ada pula cenderahati untuk saya bawa pulang.

Hadiah dari Kak Niza (LO Wilayah). Melaka marii.. Lama terperap kat ofis ustazah.

Dan Kalendar 2011.

Jazakumullahu kher.

3.30 petang.

Saya meminta izin mengundur diri.



Koc Wanita

Seperti yang kita sudah maklum, nama pun 'Koc Wanita', maka hanya wanita sahajalah yang layak berada di dalamnya.

Namun, ada juga insan yang ber-gen XY yang berminat memasuki kawasan ini.

Tanpa segan silu. Dikelilingi wanita.

Meski ada mata-mata yang tajam dan sinis sudah dilemparkan kepada mereka.

Mungkin dek terdapat ruang yang kosong di dalam koc khas ini. Lalu, dapatlah mereka mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi bila mana tanpa pengawasan pihak komuter.

Macam-macam le~


************************


"Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya."
(Surah al-An'am : 32)


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Rentak kian beralun..


Assalamu'alaikum warahmatullah.


Bismillah wal Hamdulillah.

Bertemu kembali.

Sudah lama tidak meng'update' laman ini.

Busy? Not really.

Acapkali menekan tab 'New Post', namun hanya dibiarkan kosong. Putih.

Idea mencurah-curah, namun tangan tidak bermain selari dengan apa yang terbuku.

Ingin juga cuba untuk berkongsi setelah sekian lama, namun tangan tidak semena-mena kaku.

Kerana apa?

Tidak perlu bertanya kenapa. Jika mahu berdakwah, tidak perlukan sebarang alasan. Betul?

Lantas, rentak kian beralun kembali.




Maka, dengan ini saya memohon kemaafan atas kekhilafan diri saya sendiri.



Sem Baru

4 hari sudah berlalu. Sem baru, azam baru.

Disambut dengan angin yang dingin dan hujan kadang renyai kadang lebat.

Subhanallah. Indah sungguh ciptaan Allah.

Sem baru. Alhamdulillah sudah memasuki sem 2 sesi 2010/2011.

Perlukan lebih anjakan paradigma, kekuatan dalaman, dan pengisian rohani.

Credit hours kali ini lebih sedikit dari sem lepas.

15.5 ---> 18.5

Moga dapat manage dengan baik.

* Business Mathematics
* Principles of Macroeconomics
* Foundation of Islamic Economics
* Fiqh for Economists 1
* Management Accounting Fundamentals
* The Islamic Worldview

Mohon doa.



Perkongsian

First class of MAF, Dr. Akhyar Adnan banyak menekankan konsep khalifatullah. Apa peranan sebagai seorang khalifah. Apa tujuan kita hidup. Apa goal yang ingin dicapai. Jika tiada goal, visi dan misi, apakah yang kita ingin capai sebenarnya. Seolah-olah hidup di awangan.

Mardhatillah.

Bila Allah redha dengan kita, apa yang diminta, mudah untuk ditunaikan. Either cepat atau lambat. Sebab Allah sayangkan kita. Hanya kita yang tidak menyedarinya, cuai dan bersahaja.

Bagaimana? Step pertama mudah sahaja, laksanakan apa yang diperintah, dan jauhi apa yang dilarang. Susah? Ya, memang susah. Namun di sana akan terselit kesenangan. Kan?


"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan."

(Surah Asy-Syarh, 94 : 5-6)


Ada seorang sahabat berkata (ada yang mengatakan ucapan dari Abdullah bin Umar bin Al-Khatab, ada pula yang mengatakan ianya ucapan dari Abdullah bin 'Amru bin Al-As):


اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا ، و اعمل لآخرتك كأنك تموت غدا

"Bekerjalah kamu untuk dunia, seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah kamu untuk akhirat, seolah-olah kamu akan mati esok hari."






InsyaAllah, kita sama-sama tekadkan azam, berlumba-lumba ke arah kebaikan. Fastabiqul khairat.

Sama-sama mendoakan. InsyaAllah terbaik!

Wallahu a'lam.


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~


Monday, December 6, 2010

Lembaran Baru..


Teguh berdiri tiang bendera,
Teguh lagi tiang agama,
Andai diri tidak cuba berdusta,
Pada jalan yang tercinta.

Lembaran baru kini bermula,
Usah diulang kesalahan yang sama,
Yang dihadapan menunggu sedia,
Untuk hamba mencorakkan cerita.

Lembaran baru dititip meriah,
Mengikis dosa hati merekah,
Awasi diri dari bermegah,
Kelak hidup mendatang tidaklak susah.

Lembaran baru tersenyum indah,
Sebagai ingatan bermulalah hijrah,
Koreksi diri tangah ditadah,
Kesilapan lalu segera diubah.

Lembaran baru diselak sedaya,
Tanda usia semakin dekat akhirnya,
Pasakkan azam dan juga doa,
Agar diri lebih dekat pada Yang Esa.


SALAM MA'AL HIJRAH 1432H.


-SAJS-
Kg Sg Tangkas,
Kajang, Selangor.
6 Disember 2010
8.02 pm


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~