MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Monday, November 24, 2014

Hanya Ibu Yang Mengerti..


Bismillah wal Hamdulillah..

Malam semalam, ada buat jamuan makan-makan sesama kami adik-beradik. Kebetulan anak dan saya baru boleh discaj dari NICU Hospital Serdang petang semalam. Sambutan hari lahir kecil-kecilan tanpa tentatif, hanya makan-makan meraikan 4 orang yang lahir pada bulan November dalam keluarga kami. 19hb Asiah, 22hb Sayyidah, 24hb Nabeela, dan ahli baru 18hb Hanzalah.


Juadah utama adalah pizza. Ada domino's pizza, ada pizza arab. Selain tu, cucur udang, ayam bbq, dsb. Saya hanya menelan air liur. Cuba melihat tanpa nafsu. Lantas saya mengambil pinggan, cedok nasi kosong dan lauk ikan masak halia dan kunyit. Yang lain gembira mengenakan juadah yang pelbagai itu. Sedang saya, menelan makanan orang pantang itu di satu sudut sendirian.

Mata saya tertumpu pada nasi tersebut. Seakan robot saya makan dan menelan dengan penuh kesyukuran. Dalam masa yang sama mata saya mula bertakung. Tiada siapa yang perasan. Itulah kelebihan saya. Mampu mengalirkan air mata sembunyi tanpa disedari orang. Sesekali saya menyeka air mata tersebut seakan menggosok mata yang gatal. Perlahan-lahan mengelap air dingin itu ke lengan baju secara professional.

Usai makan, saya segera masuk ke bilik, kononnya menemani anak saya yang tidur. Padahal dalam masa yang sama, saya memujuk diri sendiri. Tidak lama kemudian, mak masuk ke kamar saya membawa sepotong pizza. Kata mak, "takpe..pizza ni boleh makan..ada daging dan buah zaitun je..". Kata saya, dah kenyang. Mak memaksa saya mengambilnya, kerana mak tahu saya sedang berbohong ketika itu.

Mak datang lagi kali kedua membawa sepotong pizza yang lain. Begitu juga untuk potongan ketiga yang membuatkan saya betul-betul kenyang. Hati saya sudah tidak sedih dan hiba lagi seperti awalnya. Rasa puas dapat makan juadah lain dari lain sepanjang 6 hari selepas saya bersalin. Dan paling penting tidak rasa tersisih hanya kerana saya dalam keadaan berpantang.

Masakan mak tidak memahami anaknya ini. Kerana anak ini juga yang dikandungnya selama hampir 40 minggu, dilahirkannya dengan penuh kesakitan, dibesarkannya dengan penuh kasih sayang. Saya juga berharap saya dapat memahami anak yang saya kandungkan, lahirkan dan besarkan dengan ajaran agama dan perjuangan Islam. Sayangi ibu hingga kita ke liang lahad sebagaimana ibu menyayangi kita tanpa syarat.

Benarlah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Saya pasti, anda sedang merindui ibu anda saat ini. Call and ‪#‎saythanks‬ to them, atau kirimkan doa buat mereka..


~Aslih Nafsak Wad'u Ghairak~

No comments: