MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Wednesday, December 10, 2014

Solat Berjemaah Pengikat Qaseh..


Bismillah wal Hamdulillah..

Saya masih ingat lagi, tanggal 17 November yang lalu, masuk sahaja waktu Solat Isya', saya berkata kepada suami, "Abg, jom solat sekali. Nanti abg rindu nak solat dengan kita", seloroh saya. Meskipun dalam keadaan sakit contraction yang semakin kerap, Allah hadirkan kudrat kepada saya untuk solat berjemaah walaupun saya hanya mampu solat dalam keadaan duduk ketika itu.

Malam itu juga, sakit semakin kuat. Sehingga jam 1 pagi, saya cuba mengejut emak yang sedang tidur. "Mak, macam mana ni, sakit sangat dah ni." Tiba-tiba sakit contraction datang, saya pegang lutut mak saya dalam keadaan terketar-ketar. Mak terus kata, "Ni sakit nak bersalin dah ni!". Saya terus ke bilik, kejutkan suami yang baru setengah jam tidur.

"Abg, jom ke hospital..". Suami pun bangun, kami bersiap-siap. Dalam perjalanan ke Hospital Serdang, sakit semakin kerap. Kurang dari 5 minit sekali, dan sakitnya semakin sakit. Suami ingatkan untuk zikir La ilaha illa Anta Subhanaka inni kuntu minaz-dzolimin, dan istighfar sebanyak yang boleh. Mak pun pernah pesan, tengah sakit tu, minta Allah ampunkan dosa-dosa kita. Saya hanya mampu turuti. Sambil saya minta pinjam tangan suami untuk 'kurangkan rasa sakit'.

Sampai di hospital bahagian Dewan Bersalin, seperti biasa ikut prosedur. Mula-mula daftar, tunggu nama dipanggil, check tekanan darah, test air kencing, check carta jantung baby, then saya diminta duduk dulu. Tengah menunggu, saya terlelap dan terjaga bilamana datang sakit tersebut, secara berulang kali. Sehinggalah nama saya dipanggil.

Doktor nak check jalan. Eh jap, awat doktor lelaki? Kebetulan takda sorang pun doktor perempuan kat situ. Ya Allah, ampuni aku. "Berita baik, dah 7 cm." Doktor terus tanya bahagian tempat bilik bersalin, ada kosong tak. Alhamdulillah ada rezeki saya. Doktor terus pecahkan air ketuban. Saya bakal ditolak ke labor room. Saya sempat tengok henset, baca sms dari suami. "Syg, macam mana? Mak tanya ni..". "Jalan dah bukak 7 cm. Nak ke labor room ni..", sempat saya membalas.

Dalam perjalanan ke LR, saya dengar nama suami saya dipanggil. Alhamdulillah ada suami di sisi untuk ingatkan saya tentang Allah bila saya sakit. Itu pesan saya pada suami. Saya kata, "Nanti abg tolong ingatkan kita untuk zikir, istighfar, dsb ye bila nak dekat bersalin.." Dan saya ambil kesempatan minta maaf dengan suami atas dosa-dosa saya terhadapnya. Saya ingat pesan mak mertua, adanya redha suami buat kita mudah untuk bersalin, insyaAllah.

4.30 pagi. Saya ditinggalkan berdua dengan suami di dalam LR. Seperti biasa tangan suami menjadi mangsa untuk saya menahan sakit. Berpeluh-peluh dan sakitnya hanya Allah Yang Tahu. Dengan semangat solat berjemaah tadi, Allah izinkan saya untuk sentiasa berzikir, baca surah al-Insyirah, lafaz Ya Fattah sepanjang menanti waktu bersalin walaupun saya sudah dalam keadaan separa sedar. Sehinggalah satu masa, nurse datang, check jalan dan kata, "Okay, dah boleh start bersalin."

Saya tengok jam di dinding waktu tu, 7 pagi! Allah, terlepas subuh! Dalam hati, kena ganti nanti ni, setelkan dulu bersalin. Dalam 10 minit, lahirlah mujahid sulung kami seberat 3.6kg (tak boleh lawan ummi 4.2kg & abi 4.5kg dia.heh). Terima kasih suami, sebab sanggup tengok sepanjang proses bersalin. Walaupun lepas tu suami terduduk, pegang kepala, sebab pitam. Bila nurse keluar je, dia terus muntah dalam tong sampah. Saya yang dalam kelaparan dan dahaga, suami saya yang dapat air milo dulu. Sabar je lah. Haha.

Keesokan harinya, saya bertanya pada mak, saya kena ganti solat subuh tak. Mak kata, kena. Dan sehingga kini, saya yakin suami saya rindu untuk solat berjemaah dengan saya lagi. Hehe. Kebetulan, dan saya pun tidak menjangka, itulah solat berjemaah terakhir sebelum saya bersalin. Sebab saya percaya, dengan solat berjemaah sesama suami isteri, ianya mampu menjadi penguat qaseh dan sayang sesama mereka.

Kebanyakan rumahtangga yang goyah adalah kerana kurangnya elemen penguat ibadah seperti ini. Tapi seeloknya minta suami untuk solat berjemaah di masjid atau surau. Itu pesan mak saya waktu saya bujang dulu. Dekatkan hati suami dengan masjid dan surau. Berjemaah di rumah itu biar sekali sekala. Maka, berdoalah selalu agar suami / bakal suami kita dilembutkan hati dan meletakkan Allah di hadapannya. Dan moga Allah pelihara bahtera cinta kita..

~Aslih Nafsak Wad'u Ghairak~

Monday, November 24, 2014

Hanya Ibu Yang Mengerti..


Bismillah wal Hamdulillah..

Malam semalam, ada buat jamuan makan-makan sesama kami adik-beradik. Kebetulan anak dan saya baru boleh discaj dari NICU Hospital Serdang petang semalam. Sambutan hari lahir kecil-kecilan tanpa tentatif, hanya makan-makan meraikan 4 orang yang lahir pada bulan November dalam keluarga kami. 19hb Asiah, 22hb Sayyidah, 24hb Nabeela, dan ahli baru 18hb Hanzalah.


Juadah utama adalah pizza. Ada domino's pizza, ada pizza arab. Selain tu, cucur udang, ayam bbq, dsb. Saya hanya menelan air liur. Cuba melihat tanpa nafsu. Lantas saya mengambil pinggan, cedok nasi kosong dan lauk ikan masak halia dan kunyit. Yang lain gembira mengenakan juadah yang pelbagai itu. Sedang saya, menelan makanan orang pantang itu di satu sudut sendirian.

Mata saya tertumpu pada nasi tersebut. Seakan robot saya makan dan menelan dengan penuh kesyukuran. Dalam masa yang sama mata saya mula bertakung. Tiada siapa yang perasan. Itulah kelebihan saya. Mampu mengalirkan air mata sembunyi tanpa disedari orang. Sesekali saya menyeka air mata tersebut seakan menggosok mata yang gatal. Perlahan-lahan mengelap air dingin itu ke lengan baju secara professional.

Usai makan, saya segera masuk ke bilik, kononnya menemani anak saya yang tidur. Padahal dalam masa yang sama, saya memujuk diri sendiri. Tidak lama kemudian, mak masuk ke kamar saya membawa sepotong pizza. Kata mak, "takpe..pizza ni boleh makan..ada daging dan buah zaitun je..". Kata saya, dah kenyang. Mak memaksa saya mengambilnya, kerana mak tahu saya sedang berbohong ketika itu.

Mak datang lagi kali kedua membawa sepotong pizza yang lain. Begitu juga untuk potongan ketiga yang membuatkan saya betul-betul kenyang. Hati saya sudah tidak sedih dan hiba lagi seperti awalnya. Rasa puas dapat makan juadah lain dari lain sepanjang 6 hari selepas saya bersalin. Dan paling penting tidak rasa tersisih hanya kerana saya dalam keadaan berpantang.

Masakan mak tidak memahami anaknya ini. Kerana anak ini juga yang dikandungnya selama hampir 40 minggu, dilahirkannya dengan penuh kesakitan, dibesarkannya dengan penuh kasih sayang. Saya juga berharap saya dapat memahami anak yang saya kandungkan, lahirkan dan besarkan dengan ajaran agama dan perjuangan Islam. Sayangi ibu hingga kita ke liang lahad sebagaimana ibu menyayangi kita tanpa syarat.

Benarlah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Saya pasti, anda sedang merindui ibu anda saat ini. Call and ‪#‎saythanks‬ to them, atau kirimkan doa buat mereka..


~Aslih Nafsak Wad'u Ghairak~