Bismillah wal Hamdulillah.
Bila disebut soal pekerjaan, ada sesetengah dari kita yang mula merasa bimbang. Adakah dengan skill dan sedikit pengalaman yang dia ada, mampu untuk menempatkan dirinya dalam arena kerjaya terutama di zaman yang mula membangun ini. Atau, istilah "menganggur" yang bakal digalas sekiranya peluang pekerjaan tidak berpihak kepadanya.
Saya bersama enam orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar UIAM (atau dikenali sebagai Students' Representative Council IIUM 2012/2013) telah menghadiri Majlis Pelancaran Graduate Employability Blueprint & Pusat Kecemerlangan Industri pada lewat pagi tadi. Majlis yang disempurnakan oleh YB Dato' Seri Mohamed Khalid bin Nordin ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, bertempat di Hotel Pan Pacific, KLIA bermula pada jam 11.30 pagi dan berakhir pada jam 1.15 tengahari dengan jamuan yang disediakan.
Misi projek ini adalah untuk melahirkan graduan kompeten dalam memenuhi keperluan tenaga kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan 75% graduan diberikan pekerjaan dalam bidang masing-masing dalam masa 6 bulan selepas graduasi. Antara proses-proses ke arah membangunkan The GE Blueprint ini adalah: Sidang Meja Bulat, Makmal, dan Bengkel Penyelarasan.
Mengikut pandangan dangkal peribadi, dari satu sudut ianya adalah salah satu usaha yang baik untuk mengasah kelebihan dan skill yang ada pada setiap pelajar terutama di peringkat mahasiswa IPT. Dengan bidang yang sedang diceburi, mahasiswa mampu menguasainya dan bergerak menuju prospek pekerjaan dalam bidang yang mereka minati. Lebih menguntungkan bilamana seorang pelajar telah meng"attach"kan dirinya dengan sesebuah syarikat, maka lebih mudah baginya untuk mendapatkan pekerjaan sekali gus menjana pendapatan melaluinya.
Walaubagaimanapun, perkara ini jika disedari dan dimulai dengan didikan awal sedari bangku sekolah lagi, saya percaya kita mampu melahirkan lebih ramai Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Ghazali, Al-Biruni, Al-Farabi, Ibnu Batuta, Ibnu Khaldun dan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang lain. Malah, kita juga berupaya melahirkan insan persis ilmuan kontemporari seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Prof Syed Naquib al-Attas, Prof Dr Ekmeleddin Ihsanouglu, Prof Dr Zaghlul al-Najjar, Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail, Dato' Dr. Haron Din, dan lain-lain lagi.
Didikan awal mampu mengasah bakat yang ada pada seorang pelajar untuk disumbangkan pada ummah, juga negara, selain memberi kebaikan pada diri sendiri dan keluarga. Justeru, adalah diharapkan supaya Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengambil langkah awal untuk menerapkan pengajaran dan pembelajaran dalam silibus pelajar-pelajar sekolah supaya mereka lebih fokus kepada bidang yang mereka mampu kuasai dan mampu menjana idea-idea yang terkehadapan untuk masa hadapan mereka dan negara.
Sekian, terima kasih.
Yang Bekerja,
Siti 'Aishah Jauhara binti Surtahman
Naib Presiden 3
Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2012/2013
Yang Bekerja,
Siti 'Aishah Jauhara binti Surtahman
Naib Presiden 3
Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2012/2013
No comments:
Post a Comment