Bismillah wal Hamdulillah.
Penulis dalam usaha untuk membersihkan sawang-sawang yang bersarang di blog ini, juga sawang-sawang yang bersarang di hati ini. Bila kita bersuci sangat mudah, menyucikan hati juga mudah, namun tidak ramai yang menyahut seruan ini. Agak-agaknya kenapa ya? Betullah kata orang, tepuk dada, tanya iman.. :)
Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, kita masih diberikan peluang dan ruang untuk berpijak di bumi Allah Taala, menghirup oksigen secara percuma dan berjalan mencipta cerita sendiri.
Hampir satu perdua tahun lembaran 2012 bersketsa. Bermacam-macam peristiwa yang menempel dalam lipatan sejarah kehidupan manusia, sama ada dari pihak individu, masyarakat, atau negara. Tahun ini sahaja, pelbagai peristiwa menaikkan perhatian kita, bukan sahaja isu di dalam negara, malah di luar negara, dek kemajuan sains dan teknologi, mudah kita mengakses informasi dari seluruh dunia. Lalu terpulang kepada apa tindakan yang sewajarnya kita ambil sebagai salah satu sikap kecaknaan dan keprihatinan kita.
Rakyat di Mesir masih menanti dengan penuh debaran keputusan rasmi untuk jawatan Presiden yang mana keputusan tidak rasmi telah berpihak kepada Dr. Mohamad Morsi dengan peratusan 52.5% undi, berbanding calon tajaan bekas rejim Mubarak, Ahmed Syafik dengan mendapat 47% undi. Dunia hari ini memperlihatkan keutuhan pemimpin Islam yang benar-benar menjadikan Islam agama dan cara hidupnya, semakin diterima oleh masyarakat dunia masa kini. Meskipun ianya berlaku di Mesir, kita di Malaysia, apa sumbangan kita? Ingat, kita punya DO'A sebagai senjata yang paling berharga.
Bagaimana pula hal yang berlaku di Myanmar? Penindasan dan pembunuhan yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya telah merobek hati dan kesabaran umat Islam yang lain di seluruh dunia. Nasib umat Islam Rohingya yang berada di Myanmar berada dalam keadaan yang sangat buruk dan sangat tenat. Undang-undang dan operasi keselamatan Nasaka sejak 1982 telah mengakibatkan kesengsaraan yang berat seperti perampasan rumah, tanah, ternakan, pemusnahan masjid, perkosaan wanita, dan pemaksaan keluar dari Islam dan dipaksa menganut Buddha. Kita patut rasa apa yang mereka rasa. Tembakkan DO'A setiap kali selepas solat buat mereka.
Isu keganasan di Syria pula masih belum berakhir. Kezaliman rejim zionis sangat dahagakan darah umat Islam. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah Taala di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-120 yang menunjukkan bahawa sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w., orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan rela dan tidak akan redha selagimana orang Islam tidak menganuti agama mereka. Umat Islam di Syria sangat-sangat membutuhkan bantuan dari kita umat Islam di seluruh dunia. Sekalipun kita tidak mampu untuk turun berjihad, kita masih mampu untuk menahan nafsu dari membeli barangan-barangan yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi rejim zionis. DO'A, dan BOIKOT barangan dan makanan Israel, tak susah pun sahabat-sahabat..
Berbicara soal 'aqidah, ramai yang ditindas dan diseksa semata-mata ingin menjaga keimanan dan agama Islam yang mereka anuti, walaubagaimanapun, ramai juga yang tertipu dengan kemewahan dan kenikmatan dunia sehingga tergadai aqidah mereka. Sebab itu kita disarankan oleh Nabi untuk membaca DO'A ini agar diperteguhkan iman dan aqidah serta ketaatan kepada Islam:
اللهم يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
Di negara kita sendiri pula bagaimana? Tahun ini juga Malaysia dijangka akan mengadakan Pilihanraya Umum (PRU) yang ke-13. Sejak dua menjak ini, pelbagai program dianjurkan yang berbentuk diskusi juga perdebatan yang melibatkan kedua-dua belah pihak iaitu dari pihak kerajaan (UMNO/BN) dan juga pihak pembangkang (PR). Kita turut diperlihatkan dengan hijrah para artis tanah air dari seorang ke seorang, malah ada segelintir mereka yang berani memperkatakan yang haq dan berjuang dalam salah sebuah parti Islam yang mereka yakini. Segalanya terpulang pada diri kita. Kadang kita terlupa yang rupanya kita cuba menegakkan benang yang basah, sedangkan terpapar di kedua pancaindera kita akan rasuah dan kezaliman yang berlaku. Fikir-fikirkan..
Dalam hidup ini, kita tidak akan lari dari salah satu cabang dalam Islam iaitu politik. Kita tidak mahukan politik kotor, kerana Islam sangat halus dan murni untuk dikotorkan. Jangan pula menyekat pendirian saya dalam memperjuangkan politik ISLAM, kerana saya beragama Islam.
Lembaran Masihi telah kita uraikan, sukatan Hijri jangan kita abaikan. Alhamdulillah bulan Sya'ban telah menjengah, memberikan khabar kepada kita bahawa bulan yang dipenuhi barokah yakni bulan Ramadhan bakal tiba. Apa persiapan kita menantikan kehadiran bulan itu? Dan bagaimana pula persiapan kita menghadapi saat itu (kematian)?
DO'A. DO'A. DO'A.
Barangkali ada do'a yang kita pinta dimakbulkan Allah. Maka, usah berhenti mengharap dan jangan berputus asa. Allah mendengar keluhan dan rintihan kita. :)
Sekian, wassalam.
~ Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak ~