Rendah pandangannya tinggi iltizam,
Taatkan Allah dan Nabi Junjungan,
Bibirnya dibasahi Zikrullah,
Lunaknya menghiasi Kalamullah,
Pakaiannya taqwa bukan sengsara,
Langkahnya tegas bukan memangkas,
Senyumnya ibadah bukan fitnah,
Malunya iman bukan lakonan,
Durinya beraja harumnya terpelihara..
MUTIARA KATA..
NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:
"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."
Masih punya kesempatan untuk menulis tatkala kondisi diri yang tidak berapa stabil. Hanya ingin berkongsi rasa dan berharap bisa memberikan manfaat pada sekalian yang membaca.
Jatuhnya semalam, sakitnya hari ini.
Tidak pasti bagaimana mahu mengekspreskan rasa sakit ini. Huhu. Al-kisahnya kelmarin, sambil memegang anak saudara, adik bongsu menolak saya dengan kuat dari belakang, dan masa dengan pantas berlalu, lalu saya terjatuh bersama anak saudara. Kebetulan lantai ketika itu licin, lalu saya tergelincir. Terbaring dalam keadaan mengereng, sambil memeluk anak saudara kerana waktu jatuh itu hanya memikirkan anak saudara agar dia tidak terkena apa-apa. Alhamdulillah, kepalanya terjatuh atas tangan saya, dan dia segera bangun.
Namun, saya terkaku terbaring di atas lantai tersebut, tidak mampu bangun terasa seolah tangan patah, barangkali kerana siku terhentak kuat pada lantai. Beberapa minit tidak dapat bangun. Keluarga semua berada di ruang tamu, kerana ada tetamu baru tiba. Tidak tahu bagaimana mahu meminta pertolongan. Akhirnya satu ketika, alhamdulillah bisa bangun juga. Dalam keadaan yang rasional, saya tidak tahu mengapa, saya langsung tidak memarahi adik saya. Dan terus mendapatkan anak saudara saya. Alhamdulillah katanya tidak sakit apa-apa.
Malam itu, siku saya mula membengkak. Sakit juga. Huhu. Sebelum tidur, bahagian leher sudah rasa tidak kena. Bangun keesokan harinya untuk menunaikan solat, leher terasa sakit sangat. Urat di bahagian leher membengkak, dan mula panas. Mungkin "tertarik" sewaktu terjatuh kelmarin. Dan sehingga ke saat ini, sukar untuk memberikan salam ke kanan di akhir solat, juga sukar untuk bangun setelah baring. Malah, kepala saya turut sakit kembali dan urat kepala mula membengkak. ^_^ Alhamdulillah..
Kata orang, "sudah terhantuk baru tengadah". Entah sesuai atau tidak peribahasa ini saya selitkan. Saat kita sakit baru kita rasa nikmatnya waktu sihat. Baru terasa berharganya waktu doa selepas solat. Baru terasa bertuahnya punya tubuh badan yang sempurna. Baru terasa ruginya tidak membaca Al-Quran sebanyak-banyaknya tika sihat.
Ada ketika, kita lupa bahawa Allah mengirimkan kasih sayangnya dengan menarik sebentar nikmat sihat. Ada kala, kita sangsi mengapa Allah mendatangkan ujian itu terhadap kita. Ada masa, kita tertanya-tanya mengapa seberat itu Allah menguji kita. Sedang tidak kita tahu, berjuta-juta manusia yang lebih sakit, lebih dhaif, lebih menderita dan serba kekurangan dari diri kita.
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?" (Ar-Rahman)
Lantas, bersyukurlah atas segala kurniaan Allah Taala. Saya merasakan dengan datangnya sakit ini, Allah sedang menegur saya, dan mudah-mudahan Allah menghapuskan dosa-dosa saya. Begitulah manusia, bila dibelai, leka. Bila ditampar, marah. Bila disebat, menangis.
".. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.." (Ibrahim : 34)
Asam garam kehidupan. Allah sengaja memberikan corak hidup kita serba warna-warni. Jika mendatar, tiada keunikan, hidup ini pasti hambar. Oleh sebab itu, adanya pahit manis, naik turun, suka duka dalam kehidupan, agar kita tahu bahawa bukan mudah untuk meraih syurga dan redha Allah, tanpa kita diuji.
Ucapkanlah, "Alhamdulillah 'ala kulli hal.."
Moga beroleh rahmat dan kasih sayang Allah Taala tidak kira di mana kalian berada. Yakinlah, Dia sentiasa bersama-sama kita, dan pertolonganNya itu dekat.
"..Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada.." (Al-Hadid : 4)
Wallahu a'lam. Sekian :) #Tolong kalian doakan kesembuhan saya, dan juga pada bapak saya yang kini kurang sihat. Thank you in advance :)
Detik-detik sebegini sepatutnya tidak wajarlah untuk saya mengambil masa menulis sesuatu, kerana esok pagi jam 9 saya akan menduduki peperiksaan akhir semester ini bagi subjek Study of Religions. Namun, mungkin sesetengah orang beranggapan, no hal la sis..
Dengar nama subjek, nampak mudah. Namun pensyarah saya sendiri mengakui bahawa subjek ini terlalu informative dan banyak fakta dan istilah-istilah yang perlu diingati. Seandainya format soalan hanyalah MCQ (Multiple Choice Question) atau soalan objektif, ianya barangkali sedikit membantu, kerana jawapannya sudah ada, hanya kita perlu memilih jawapan yang tepat sahaja. Cuma sahaja, soalannya hanyalah berbentuk esei dan short answer, maka ianya memerlukan pembacaan dan hafalan yang baik sebagai persediaan.
Lalu, mengapakah saya masih di hadapan komputer riba ini, mengapa tidak terus mengulangkaji sahaja atau lebih tepat dikatakan mengadakan pecutan terakhir? Ianya bukanlah bermakna persiapan saya sudah cukup rapi, dan habis semua benda saya dah baca, hanya menunggu hari esok. Tidak. Kalau ditanya berapa peratus preparation saya ketika ini, sejujurnya saya boleh katakan, baru 55%. Berbekalkan carry marks yang tak seberapa, saya tak pasti kenapa saya masih 'tenang' di saat ini.
Di manakah 45% yang selebihnya? Bukan kuasa saya untuk menghilangkan fakta-fakta yang telah saya hafal sebelum ini. Allah Taala Yang Maha Berkuasa atas hamba-hambaNya. Saya juga hanya manusia biasa. Hal sebegini sering berlaku pada sesetengah manusia. Banyak benda yang terkeluar, dan baca sekarang pun dah tak masuk apa. Betul?
Mungkin juga gara-gara "preparation last minute". -- perangai pelajar masa kini. Namun, saya mampu bersikap optimis pada diri sendiri. Masih mampu tersenyum dan bersyukur, kerana Allah masih memberikan saya peluang untuk ruku' dan sujud padaNya, sedangkan banyak insan yang telah kembali bertemu denganNya saban hari.
Perkongsian ini sengaja saya nukilkan, kerana saya percaya, ramai insan yang mengalami kondisi dan kerisauan seperti ini. Maka, suka saya berkongsi semangat dan kekuatan untuk pembaca, meredakan hati yang gelisah, membangkitkan semangat yang parah.
1) Bagi mereka yang masih punya ibu dan bapa, pintalah redha dan doa mereka sebaiknya. Saat semangat saya sedikit menjunam sebentar tadi, sempat saya menghantar satu sms pada mak saya. Saya tak tahu mengapa saya menghantar "Mak, takut la exam esok" secara spontan. Lalu, untuk menyedapkan hati, saya terus mengisi masa dengan menggosok baju untuk dipakai esok hari. Sedang menggosok, mak reply mesej saya tadi, "Jangan takut, Keluarkan doa2 yang ada. InsyaAllah Allah beserta orang yang berserah diri kepadaNya." Terus bergenang air di kelopak mata saya. Terharu, dan terus ukirkan senyuman. :) Kerana apa, emaklah merupakan insan yang tidak putus-putus memberikan semangat dan keyakinan sejak kecil hinggalah dewasa kini.
2) Saya mencapai nota-nota untuk dibaca semula, kerana pada hakikatnya ianya telah pun dibaca berulang kali. Saya tak pasti mengapa, masih ada yang kurang. Lantas saya mencapai telefon bimbit saya, membelek nama-nama di 'phonebook', mencari insan bertuah untuk saya pinta secebis semangat. Lalu, sahabat baik saya, Hazwani Khamarudin adalah mangsanya. Alhamdulillah, kata-katanya membuatkan senyuman saya lebih lebar dan ikhlas. :)
3) Setelah laptop saya di'hidup'kan sebentar tadi, terus saya membuka laman facebook. Berhajat untuk mencari sedikit kekuatan. Lalu, saya terjumpa status seorang sahabat baik saya, membuatkan hati saya tersentuh..
Tersentuh hati saya membacanya. Saya tak pasti bagaimana dengan kalian. Atau, saya hanya terasa sendiri.. ^^'
4) Yang pasti, hayatilah surat-surat cinta yang Allah titipkan melalui kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w., yakni Al-Quran Al-Karim. Membacanya, membuatkan kita rasa tenang dengan makna-makna tersirat yang Allah kirimkan sebagai bekalan dan kekuatan untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mengharapkan nusrah dari Tuhan. Air wudhu' yang disunatkan lebih membuatkan kita yakin dan positif dengan janji-janji Allah buat mereka yang berjuang pada jalanNya. Lalu, hiasilah sepertiga malam ini dengan tahajud dan taubat pada Yang Maha Agung, kerana baru kita sedar betapa kerdil dan kecilnya kita berbanding nikmat yang Dia kurniakan.
Kekuatan perlu dicari. Sekalipun kita terpaksa jatuh dan bangun semula. Usah mengharapkan segalanya menjadi mudah, andai tidak bersulamkan redha dan tabah. Kerana bila-bila masa sahaja kita diuji dengan kesukaran, kerana itu ujian untuk orang beriman.
Untuk akhirnya, selamat maju jaya pada semua pembaca. Saling mendoakan untuk kejayaan bersama. Kejayaan yang kita harapkan untuk agama dan perjuangan, bukan hanya untuk masa depan semata. Mahu Dean's List, tapi mengejar Deen's List itu yang lebih utama.
Syukur pada Allah kerana masih memberi hambaNya yang hina ini terus menerus menikmati nikmat dan kurniaanNya.
Sekadar selingan, APA KHABAR IMAN KITA HARI INI?
Moga sama-sama mendapat perlindungan dari Allah Taala.
Hari ini, berjalan seorang diri bermula dari pagi hingga ke petang.
Cuba berfikir dan mengambil iktibar.
Di sepanjang perjalanan.
Anak Kecil
Hari ini, lebih kurang pada jam 10.30 pagi, saya melangkah keluar dari UIA dengan bantuan bas T231 Rapid KL, untuk pulang ke rumah halaman.
LRT.
Situasi bermula di sini. Saya duduk di satu kerusi, manakala ada 3 orang sisters lagi berada selari dengan saya. Masing-masing pakaian menutup aurat. Alhamdulillah.
Bertentangan dengan kami ada 4 kerusi juga. Diisi oleh seorang ibu bersama seorang anaknya yang kecil. Anak perempuan, umurnya mungkin sekitar 3 tahun. Dan 2 orang perempuan yang lain.
Comel. Ungkapan pertama yang keluar dari hati. Gelagatnya menunjukkan seorang yang agak pandai berkata-kata.
Saya merenung anak kecil itu. Terdetik di hati, 'Alangkah bahagianya kamu wahai adik. Masih suci dari dosa.' Tergalas di belakangnya sebuah beg kecil. Padan dengan saiz tubuhnya.
Comel. Keluar buat kali kedua. Kalau dalam bahasa Jepun, 'Kawaii'. Dengan rambutnya yang panjang dan lurus, bentuk muka yang bulat, mata yang cantik. Terdetik pula dalam hati, 'Budak ni bila dah besar mesti cantik ni..'
Merenung lagi adik itu. Usianya saya anggarkan sebaya dengan anak saudara saya. Ingin sahaja gelarkan diri ini 'makcik'. Tapi bunyinya seolah terlalu tua pula. Abaikan~
Walaupun kepala sedikit kepeningan dek perjalanan yang sedikit berombak, mata masih memandang tepat pada si anak kecil itu. Sesekali mata mengerling ke kiri dan ke kanan, kalau-kalau ada makcik-makcik atau pakcik-pakcik yang sudah berumur dalam keadaan berdiri. Jika ada, pasti sahaja ingin memberikan tempat duduk pada mereka.
Pandangan beralih kepada insan di sisinya, sisi kanan, yang sering memegang tangannya agar tidak lari ke mana-mana. Andaian sahaja. Ibunya, seperti seorang yang amat kasih dan sayang terhadap anaknya itu. Itu sudah tentu, bukan?
Namun, si ibu itu seakan anaknya, membiarkan kepala dan rambut terdedah buat tatapan umum. Berwarna perang. Bukan perang asli.
Di hadapan adik kecil itu, berdirinya seorang amoi cina, berskirt pendek atas lutut. Di sebelah kanan si ibu, berdirinya seorang perempuan melayu berbaju kurung, namun rambutnya juga terdedah. Tidak lama kemudian, tempat duduk sebelah kiri si adik itu bertukar orang. Kini seorang perempuan, yang mendedahkan rambutnya juga.
Terdetik pula, 'Adik ni dikelilingi dan didedahkan dengan persekitaran golongan perempuan yang tidak memakai tudung. Bahaya. Kasihan si adik ni.'
Saya bermonolog lagi, 'Moga kelak dirimu wahai adik, dapat membawa perubahan yang lebih baik terhadap ibu dan dirimu. Serulah si ibu untuk menyempurnakan penampilan seiring dengan kecantikan. Moga dirimu dan keluargamu ini akan menjadi insan yang lebih baik dan mendapat petunjuk dari Allah serta bahagia di dunia dan di akhirat.'
Si ibu dan si anak tiba di destinasi. Sekuntum senyuman ku hulurkan buat si anak, kebetulan dia memandangku.'Moga-moga.' Saya berseloroh sendirian.
'Jemputan' on the spot
Tiba di KL Sentral, saya terus meluru ke kaunter tiket komuter.
"Kuala Lumpur, 1."
"RM1"
"Terima kasih."
Tanpa berlengah terus menuju ke bahagian platform di bawah.
Laluan menuju ke Rawang.
Langkah semakin kencang bila mana train ke Rawang hampir tiba. Mengorak langkah ke bahagian tengah gerabak. Koc Wanita.
Saat menunggu train berhenti, tiba-tiba terdengar seseorang bercakap dengan seorang perempuan, bertudung labuh.
"Tu kawan ke?"
Saya berpaling ke arahnya. Perempuan itu senyap sahaja. Angguk tidak, geleng tidak.
Menunggu pula pintu train dibuka, tiba-tiba disapa dari belakang oleh seorang wanita.
"Assalamu'alaikum. Kami dari TV9."
"Eh??" (buat muka blurr)
"Nak minta tolong adik temankan Ustazah R (bukan nama sebenar) di sana. Kita nak rakam sikit."
Terus ditariknya tangan saya. Perempuan bertudung labuh tadi itu juga mengekori saya di belakang.
Mereka meminta kami berdua bersama-sama dengan Ustazah R untuk memasuki train tersebut, di bahagian koc wanita juga.
Untung juga, diberi ruang yang luas. Tiada himpitan. Tempat duduk disediakan. Kosong.
Di dalam train, ada lagi sesi rakaman mereka. Kedudukan Ustazah R selang 3/4 kerusi dari tempat duduk saya. Kali ini, Ustazah R memegang sebuah buku. Dibukanya buku itu.
Ada rakaman apa saya tidak pasti. Malas nak ambil tahu.
Saya berfikir.
Begitu rupanya.
'Ceh, masa ni la nak cari orang pakai tudung labuh.'Bersangka buruk sebentar.
Tapi dah istighfar balik dah. Moga Allah ampunkan.
JAWI
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Dalam perjalanan menuju ke UKM, saya telah berniat sejak semalam untuk singgah ke JAWI [Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan]. Niat untuk memanjangkan ukhuwwah.
Sengaja untuk berziarah. Tambahan, kebanyakan staf di bahagian Dakwah mengenali saya.
11.50 pagi.
"Ustazah, saya dah sampai. Saya tunggu di surau ye."
"Ok."
Ustazah Maznah, orang yang banyak menguruskan pertandingan hafazan peringkat Wilayah Persekutuan, dan mengawal peserta-peserta musabaqah dengan rapi. Mula mengenali beliau sejak saya berkecimpung di arena ini. 2008. Penuh nostalgia.
Beliau sedang menjalani program mingguan, setiap hari Jumaat. Saya kurang arif program apa yang dijalankan. Namun, yang pasti ianya sebagai aktiviti berkala buat staf-staf di situ.
Rezeki saya hari ni. Lunch disediakan. Layan~
Banyak perkara yang kami bualkan. Saya juga sempat bertemu dengan beberapa orang staf yang saya kenali dan tidak kenali. Antaranya Kak Rozilawati (pengiring 2010), Abang Jasni (pengiring 2009), dan beberapa krew yang turut menjayakan Majlis Menghafaz Al-Quran pada setiap tahun.
Ada pula cenderahati untuk saya bawa pulang.
Hadiah dari Kak Niza (LO Wilayah). Melaka marii.. Lama terperap kat ofis ustazah.
Dan Kalendar 2011.
Jazakumullahu kher.
3.30 petang.
Saya meminta izin mengundur diri.
Koc Wanita
Seperti yang kita sudah maklum, nama pun 'Koc Wanita', maka hanya wanita sahajalah yang layak berada di dalamnya.
Namun, ada juga insan yang ber-gen XY yang berminat memasuki kawasan ini.
Tanpa segan silu. Dikelilingi wanita.
Meski ada mata-mata yang tajam dan sinis sudah dilemparkan kepada mereka.
Mungkin dek terdapat ruang yang kosong di dalam koc khas ini. Lalu, dapatlah mereka mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi bila mana tanpa pengawasan pihak komuter.
Macam-macam le~
************************
"Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidaklah kamu memahaminya."
Acapkali menekan tab 'New Post', namun hanya dibiarkan kosong. Putih.
Idea mencurah-curah, namun tangan tidak bermain selari dengan apa yang terbuku.
Ingin juga cuba untuk berkongsi setelah sekian lama, namun tangan tidak semena-mena kaku.
Kerana apa?
Tidak perlu bertanya kenapa. Jika mahu berdakwah, tidak perlukan sebarang alasan. Betul?
Lantas, rentak kian beralun kembali.
Maka, dengan ini saya memohon kemaafan atas kekhilafan diri saya sendiri.
Sem Baru
4 hari sudah berlalu. Sem baru, azam baru.
Disambut dengan angin yang dingin dan hujan kadang renyai kadang lebat.
Subhanallah. Indah sungguh ciptaan Allah.
Sem baru. Alhamdulillah sudah memasuki sem 2 sesi 2010/2011.
Perlukan lebih anjakan paradigma, kekuatan dalaman, dan pengisian rohani.
Credit hours kali ini lebih sedikit dari sem lepas.
15.5 ---> 18.5
Moga dapat manage dengan baik.
* Business Mathematics * Principles of Macroeconomics * Foundation of Islamic Economics * Fiqh for Economists 1 * Management Accounting Fundamentals * The Islamic Worldview
Mohon doa.
Perkongsian
First class of MAF, Dr. Akhyar Adnan banyak menekankan konsep khalifatullah. Apa peranan sebagai seorang khalifah. Apa tujuan kita hidup. Apa goal yang ingin dicapai. Jika tiada goal, visi dan misi, apakah yang kita ingin capai sebenarnya. Seolah-olah hidup di awangan.
Mardhatillah.
Bila Allah redha dengan kita, apa yang diminta, mudah untuk ditunaikan. Either cepat atau lambat. Sebab Allah sayangkan kita. Hanya kita yang tidak menyedarinya, cuai dan bersahaja.
Bagaimana? Step pertama mudah sahaja, laksanakan apa yang diperintah, dan jauhi apa yang dilarang. Susah? Ya, memang susah. Namun di sana akan terselit kesenangan. Kan?
"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan."
(Surah Asy-Syarh, 94 : 5-6)
Ada seorang sahabat berkata (ada yang mengatakan ucapan dari Abdullah bin Umar bin Al-Khatab, ada pula yang mengatakan ianya ucapan dari Abdullah bin 'Amru bin Al-As):
اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا ، و اعمل لآخرتك كأنك تموت غدا "Bekerjalah kamu untuk dunia, seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah kamu untuk akhirat, seolah-olah kamu akan mati esok hari."
InsyaAllah, kita sama-sama tekadkan azam, berlumba-lumba ke arah kebaikan. Fastabiqul khairat.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. penghulu sekalian umat.
Tak tahu entah kenapa entry ini dibuat. Ada sesuatu yang ingin diungkapkan, tapi entah kenapa tidak bisa diluahkan. Ada sesuatu yang ingin dibicarakan, tapi entah kenapa tidak pandai mengekspresikan dengan penulisan. Namun, mudah-mudahan ada manfaat dari tulisan ini.
Hari ini, tanpa disengaja, ramai sahabat yang meminta diri ini memberikan nasihat dan pendapat kepada mereka. Terasa berat untuk memulakan, namun terasa ringan bila di pertengahan.
Seringkali merasakan diri ini tidak layak untuk berbicara sebegitu rupa, kerana bimbang diri ini tidak mampu melaksanakan apa yang diungkapkan. Sesiapa sahaja tidak sanggup dilaknat oleh Allah tatkala diri dianggap bermuka-muka. Moga segala yang dianjurkan dan apa yang diajarkan oleh Rasulullah dapat kita sama-sama laksanakan dengan hati yang terbuka dan ikhlas.
Jika diri ini tidak dijagaNya, pasti diri ini hanyut sehingga entah ke mana. Mungkin hari ini kita menggembirakan orang yang berduka, menegur orang yang berbuat khilaf, menasihati orang yang sedang kusut fikiran, namun diharapkan masih ada insan yang sudi menegur atas segala salah silap serta kekhilafan diri yang dilakukan secara sengaja ataupun tidak.
"Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?
Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."
(Surah as-Soff : 2-3)
Mohon dijauhkan dari Allah dari segala amalan yang membawa kemurkaanNya, secara sengaja ataupun tidak.~
Sesungguhnya serendah-rendah martabat ukhuwwah seperti yang dinyatakan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna adalah 'Salamatus Sodri'. Berlapang dadalah sesama Muslim. Moga rahmat dan kasih sayang Allah bersama kalian.
"Kenapa tiba-tiba rasa takut dan gelabah ek?" abangku bertanya.
"Tu laa..orang suruh biasakan diri gi solat kat masjid tu, tak nak.." kakakku mencelah.
Aku hanya berdiam diri, sambil khusyuk menggosok jubah hitam yang bakal dipakai oleh abangku. Malam ini, dia akan mengimamkan solat tarawih di Masjid UKM. Ini bukan pengalamannya buat pertama kali. Tahun-tahun sebelumnya juga, dia diamanahkan untuk menjadi imam tarawih di akhir-akhir Ramadhan.
"Mungkin banyak dosa kot.." akhirnya aku bersuara tanpa sengaja.
Terdiam abangku seketika, sambil kepalanya seolah-olah berfikir dan mengiakan kataku.
************************
"Qalu nuridu an-na'kula minha wa taotmainna qulubuna, wa na`lama anqodsodaqtana wa nakuna `alaiha minassyahidiin... Sambung!" arah ustaz tasmi'ku sewaktu di tingkatan 1.
"Allahumma solli `ala Muhammad..." aku tertunduk, terlupa ayat selepas ayat tersebut.
"Ya Allah..." nadaku kesal.
"Ingat tak..??" tanya ustazku.
Aku menggeleng. Memang menjadi peraturan, setiap kali kami selesai tasmi', ustaz Zaman akan 'menebuk' mana-mana ayat yang telah kami hafaz, setiap hari. Jika lepas, muka surat yang kami tasmi' pada hari tersebut akan lepas. Jika tidak, kami terpaksa tasmi' semula muka surat tersebut keesokan harinya. Hal ini bertujuan supaya kami sentiasa mengulang ayat-ayat al-Quran yang telah dihafaz.
"Cuba ingat-ingat balik.." pinta ustazku.
"Tak ingat, ustaz. Tu ayat bawah sekali kan? Ana tak ingat apa awal muka surat sebelahnya tu..maaf ustaz, ana tak mengulang muka surat tu." aku memberikan tekaan dan alasan.
"Emm.. Betul tak ingat?" tanya ustazku lagi untuk kepastian.
"Tak.." jawabku sambil tunduk tanda malu.
"Cuba muhasabah diri balik, sepanjang hari ini dan semalam, ada buat dosa apa-apa tak? Dosa dengan Allah, dosa dengan ibu bapa, dosa dengan guru-guru atau dosa dengan kawan-kawan.." soal ustazku dengan tenang.
"Astghfirullahal 'azhiim..." aku beristighfar sambil kepalaku ligat memikirkan dosa-dosa dan kesalahan yang mungkin sudah aku lakukan tanpa aku sedar.
Persoalannya aku ingat sehingga ke hari ini, untuk menjadi muhasabah buat diriku dan orang-orang yang membaca coretanku ini.
************************
"Eh, apasal panas sangat bilik aku ni?" getus hatiku sendirian.
"Astaghfirullah..mungkin banyak dosa ni.." aku menduga walau ku tahu kipas siling tidak di'onn'kan.
************************
Kadang-kala kita gemar menyalahkan orang lain dan memberikan pelbagai alasan yang kreatif dan praktikal, akan tetapi kita lupa akan dosa-dosa yang telah kita lakukan yang mungkin sedikit sebanyak menjadi hijab kepada amalan seharian kita.
"Ya Tuhanku, maka janganlah Engkau jadikan aku dalam golongan orang-orang yang zalim." (Surah al-Mu'minun : 94)
Moga bermanfaat. Selamat meneruskan ibadah di bulan Ramadhan. Tinggal beberapa hari sahaja lagi. Jangan disia-siakan.
Tatkala panas dan sejuk datang bersilih ganti, Umpama perginya siang terbitnya malam, Tenggelam matahari munculnya awan yang sarat, Baru ku tersentak hiba di pangkuan akal kurniaanMu, Baru ku tahu akan nikmatnya kesihatan, Nikmat yang sering kami abaikan.. Nikmat sihat tubuh badan..
Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Taala. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Di kesempatan ini, ana mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Followers ana yang sudi untuk meng'follow' bermula dari terbinanya blog ini sehingga ke hari ini. Sesungguhnya sokongan dari antum semua amatlah ana hargai. Jazakumullahu khairan kathira.
Dan kepada pengikut bertuah blog Tinta Permata yang ke-200 iaitu Norsyahida Mohamad, anda berjaya untuk mendapatkan hadiah istimewa dari empunya blog, iaitu sekotak tisu premier.. (hehe..gurau je kak). Please contact me as soon as possible a.k.a ASAP. ^_^'
Alhamdulillah, malam ni baru dapat connect dengan wireless iium-community. Kesihatan pun kurang baik sikit malam ni, mungkin disebabkan dengan cuaca yang panas, kemudian tiba-tiba hujan, ditambah pula dengan air yang digunakan seharian sangatlah sejuk, telah menyebabkan penulis mengalami sedikit keselsemaan (??) atas kehendakNya yang pasti. Apa-apa pun, I must to strive myself here in IIUM in order to improve myself, the community and the ummah, insyaAllah. Please pray for us.
Last but not least, I would like to thank to my parents - my father and my mother because without them, I'm nothing~ [speechless..tak terkata..]
Alhamdulillah, pada 6 Julai 2010 (Tuesday), ana telah selamat didaftarkan (??) ke UIA Gombak, Selangor. Mengambil ijazah dalam Kuliyyah of Economics and Management Sciences.
Taaruf Week sudah pun berakhir semalam. Kepenatan jelas terasa. :) Alhamdulillah...
Pengambilan pada sesi Julai 2010/2011 ini merupakan pengambilan yang paling ramai jika dibandingkan dengan pengambilan pada batch2 sebelum ini [sumber : committee Taaruf Week]. Direct students yang terdiri daripada International students, lepasan Diploma, STAM, dan yang sewaktu dengannya (^^), digabung pula dengan pelajar2 lepasan CFS UIA Nilai dan PJ, menjadikan jumlah pelajar pada pengambilan kali ini hampir mencecah 2300 orang (kalau tak silap).
Bersedia untuk menempuh alam baru, insyaAllah.. Dan pastinya perlu sentiasa bersedia untuk menempuh alam yang nyata, kehidupan yang kekal abadi. Mudah-mudahan..
Mohon doa dari semua semoga dipermudahkan segalanya dan diberi kekuatan dari Yang Maha Berkuasa.
"Ilmu tanpa amal, ibarat kereta tanpa stereng" (analogi yang diadaptasi oleh Ustaz Zulkifli Muda, Guru Bahasa Arab Komunikasi Tingkatan 3, SM IMTIAZ Dungun)
"Ilmu tanpa amal, ibarat pohon yang tidak berbuah" قال الاٍمام الشفعي العلم نور ونور الله لا يهدي للعاصي
Syukur pada Allah kerana Dia masih beri kekuatan untuk hambaNya terus-menerus menunaikan tanggungjawab sebagai Khalifatullah.
Alhamdulillah, hari ini (semalam kot, dah lebih pukul 12 ni), two events berjaya dilaksanakan; iaitu Mesyuarat Persatuan Alumni Sek Men Imtiaz Dungun atau lebih dikenali sebagai ex-Student Imtiaz Dungun (exSIM) dan jamuan (khas untuk Birthday Girl sebenarnya..hihi).
Mesyuarat exSIM bermula pada jam 3.30 petang 19 Mac 2010 (Jumaat), bertempat di Lot 1066/29, Kg Sg Tangkas, Jln Bangi, 43000 Kajang, Selangor; yakni rumah salah seorang exco exSIM. => Dihadiri oleh Presiden exSIM, Akh Mohd Shafiq Abdul Halim; Timbalan Presiden 1, Akh Anas Mazli; Setiausaha 1; Timbalan Ketua Lajnah Informasi dan Perhubungan, Ukht Farah `Aqilah Abd Hamid; AJK Khas, Ukht Najah Solihah Mohd Hamdan.
Walaupun pada asalnya ramai exco-exco yang melaporkan dapat menghadirkan diri, tetapi pada saat-saat akhir mempunyai hal dan kerja-kerja tertentu yang tidak dapat dielakkan, terutamanya bagi exco-exco yang berada di Darul Quran, alhamdulillah meeting tetap berjalan seperti biasa dan terlaksana dengan jayanya.
Sebelum tu, ana mohon maaf kepada Akh Muhammad Sofiyuddin dan Akh Emad Faris atas ketidakmakluman mengenai mesyuarat pada kali ini, memandangkan antuma berada di luar negara. InsyaAllah, kami akan cuba untuk mengisi kekosongan kerusi secepat yang mungkin. Sesungguhnya, segala gerak kerja antuma untuk persatuan ini amatlah kami hargai. Moga Allah membalas jasa baik antuma dengan ganjaran yang setimpal.
Walaubagaimanapun, ana mohon maaf juga kepada ahli mesyuarat yang dapat hadir, kerana ana dapat melibatkan diri dalam mesyuarat hanya beberapa minit sahaja. Atau mungkin sebenarnya ana hanya mampu menyediakan tempat mesyuarat sahaja. Ini kerana ana terpaksa pulang ke Nilai untuk mengambil peperiksaan ulangan [Speaking-EPT] (mungkin kena tambah satu lagi event ni) dan alhamdulillah test tersebut berjalan dengan lancar. Syukur pada Allah.
Jazakumullahu khair buat Akh Anas, Ukht Najah dan Ukht Farah atas kesudian mereka menyalin serta mencatat setiap isi dan perkara-perkara penting ketika mesyuarat. Dan alhamdulillah banyak juga kerja yang ana perlu setelkan berbekalkan masa cuti yang agak panjang ini. Moga Allah taala membalas jasa baik antum. Mohon maaf juga kepada Akh Shafiq kerana terpaksa berjalan kaki ke Masjid UKM dari Stesen komuter UKM, yang ana kira agak jauh dan kepenatan dengan bergalaskan beg yang banyak dan berat. (Mungkinkah ini gara-gara Akh Anas??he..)
Maaf, buat sementara waktu ini, gambar-gambar yang diambil tidak dapat diupload lagi. Maaf kepada Akh Anas sekali lagi sebab tak sempat nak ambil gambar beliau. (Lain kali jangan balik awal, tapi takpe, urgent..) Syukron buat ahli-ahli atau exco2 di DQ yang tidak dapat hadir, kerana masih dapat memberikan 10 cadangan yang bernas melalui SMS sebentar tadi. InsyaAllah kami akan membuat tindakan susulan.
Secara overallnya, syukur sangat-sangat pada Allah dan moga-moga exSIM akan lebih dan terus maju pada masa akan datang. Kami semua memerlukan sokongan dan dorongan dari semua ahli exSIM untuk menggerakkan persatuan ini. Moga-moga niat murni dan ikhlas ini insyaAllah, akan mendapat barokah dariNya.
**************
Event seterusnya..
Terima kasih buat sahabiah dari UIA PJ yang datang pada hari ini untuk memeriahkan suasana, Ukht Farah `Aqilah, Ukht Najah Solihah, Ukht Noor Atiqah and especially my ex-Roomate, Ukht Siti Khadijah (actually we should call her Birthday Girl..huhu).
Pada asalnya, ana dan KakAsma' bercadang untuk membawa mereka ke Restoran Nasi Arab di Hentian Kajang, tetapi memandangkan kebanyakan mereka semua telah kenyang, jadi kami hanya membawa mereka ke Restoran Sate Kajang Hj Samuri di Bangi. Salah satu sebabnya adalah untuk meraikan Ulangtahun kelahiran Ukht Et yang ke-20 pada 20 Mac 2010. (dah tua dah tu acik..he..)
Moga Allah memberkati umur Acik, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, sentiasa mendapat perlindungan, jagaan dan tarbiyah dari Allah. Moga cepat matang dan dipercepatkan jodoh dari Allah, insyaAllah. Semoga terus thabat dalam perjuangan Islam. Born2shaheed kan? ha..bagus3.. Saling ingat-mengingati, ingatlah, semakin umur kita bertambah, semakin dekat kita kepada kematian dan semakin banyak tanggungjawab kita di dunia untuk bekalan ke akhirat. Semoga dengan bertambahnya umur, seiring atau lebih sempurna jika bertambahnya juga ibadah, amalan, thaqafah, harakah, fikrah dan seumpama dengannya.
Setakat itu sahaja coretan saya pada kali ini. InsyaAllah, jika ada masa dan kelapangan serta rezeki dari Allah, akan saya publishkan lagi post2 yang lain.
p/s: adakah post saya pada kali ini agak skema ayatnye?ehehe..
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang Maha Menghidupkan dan Mematikan semua makhluk.
Seinfiniti kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana memberikan saya peluang untuk menaip serba sedikit meski tidak tahu apa tujuan dan motif entry saya kali ini. =>
Cumanya, alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menduduki peperiksaan last paper pagi tadi. Syukur, segalanya dipermudahkan. Tinggal sahaja tawakal kepadaNya atas segala usaha yang dilakukan dan semestinya segalanya atas ketentuan dan rezeki yang Dia tentukan.
Jutaan ucapan terima kasih, syukron jazilan, thank you, arigato buat semua pensyarah yang mengajar saya:
-Mathematics: Madam Siti Paridah. -Statistics: Madam Nor Akmar. -Accounting: Madam Husnamaria. -Basic Themes of Al-Quran (BTQ): Madam Farhah. -Computer: Madam Noor Shafini. -English: Miss Zaidatul (W), Madam Zuraiya (LS) and Miss Izyanie (R).
Jazakumullah Khairan Kathira.. Semoga Allah tidak memberi hijab untuk saya menerima ilmu dari kalian..
Tidak lupa juga buat 'guru2' saya secara tidak langsung.. Dormmate and classmate.. =) Sahabat2 Darul Quran yang berada jauh di PJ. Walaupun jauh, masih boleh tanya lagi soalan Math..huhu..
Jazakillah buat satu-satunya kakak kandung, Kak Asma' yang sentiasa memberikan sokongan, temankan study dan belanja makan Sate Kajang malam tadi..he.. Mak dan Bapak yang sentiasa berikan kata-kata semangat.. Thanx a lot..
Walaupun peperiksaan fasa terawal sudah berakhir, namun dalam menuntut ilmu, tiada pengakhirannya. Moga kita semua diberikan natijah yang cemerlang di dunia dan di akhirat...
Ramadhan telah pun meninggalkan kita. Syawal yang mulia pula tiba meniti masa. Syaitan laknatullah sudah mula aktif bekerja. Detik demi detik, Minit demi minit, Jam demi jam, Hari demi hari, Berlalu begitu sahaja. Adakah kita sedar bahawa kematian semakin menghampiri kita?Haa..jawab la sendiri..=)
Maaf semua. Sekadar celoteh, mungkin juga peringatan pada diri di pagi yang buta ini. Terima kasih kepada kak Asma' kerana membenarkan hamba guna laptop buat sementara waktu.
Sebenarnya, saya ingin merakamkan seinfiniti kesyukuran kepada Allah Taala kerana masih memberikan peluang kepada saya untuk menulis sepatah dua di blog ini dan memberikan tubuh ini untuk bernafas serta menjalankan tugas sebagai seorang hamba.
Maaf, tujuan yang sebenarnya, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kedua ibu bapa, adik-beradik, guru-guru, ustaz-ustaz, ustazah-ustazah, pensyarah-pensyarah, sahabat sahabiah dan adik-adik semua yang telah meng'wish' Salam 'Aidilfitri kepada saya. Err..itu pun nak bagitahu kan? Tak mengapa la.. Anggap lah ini sebagai satu penghargaan.
Alhamdulillah, saya telah menerima lebih daripada 100 mesej ucapan hari raya, hanya melalui SMS, tidak termasuk wish melalui YM, call, emel dan di blog saya..=> Ada juga yang rajin memberikan kad raya kepada saya.. Saya berhajat untuk menyenaraikan nama-nama pengirim di bawah ini, akan tetapi masa sangat-sangat mencemburui saya. =) Syukron jazilan 'ala kullihal. Moga Allah Taala sentiasa merahmati kalian. Dan maaf sangat-sangat, bagi sesiapa yang saya tidak membalas kembali Salam 'Aidilfitri, mungkin kerana kredit sudah tiada atau sedikit sibuk atau malas ketika itu. Asif jiddan..
Setakat itu sahaja, wallahu a'lam. Sesiapa yang ingin mengucapkan Salam 'Aidilfitri kepada saya, dipersilakan, sementara Syawal masih ada..hehe..
Seusai sudah menikmati sahur, aku mencapai handphoneku, lantas ku menghidupkan telefon berjenama Sony Ericsson itu. Tatkala menunggu kedengaran azan Subuh, sekali gus menandakan waktu bersahur telah tamat, aku menggelengkan kepala, mengingat akan kecuaian aku meninggalkan charger phone di asrama. Masakan tidak, hanya aku seorang yang memakai telefon bimbit berjenama sony dalam keluargaku. Lalu, aku terpaksa meng’off’kan hp buat seketika sepanjang berada di kampung halaman.
Kali terakhir aku meng’on’kan hp adalah jam 12 pagi tadi, semata-mata untuk mengucapkan ‘Sanah Helwah’ kepada salah seorang adik-beradik usrahku, Ateh. Sejurus selepas itu, aku menutupnya kembali. Tiba-tiba, aku mendapat 3 mesej. Satu mesej dari Ateh, yang mengucapkan terima kasih untukku. 2 mesej lagi dari orang yang sama. Dia juga adik-beradik usrahku, Acik, merangkap bekas Roommate ku sewaktu di Darul Quran dahulu.
“Adik, bangun qiam.. Adik, Acik rindu Adik.. Acik rindu saat-saat kita bangun qiam sama-sama.. sangat indah masa tu.. Aku rindu ko..huhu.. Ya Allah, satukanlah hati-hati kami untuk mencintaiMu Ya Allah.. Adik, Acik sayang Adik.. Fillah..Lillah..”
Dua kali dia menghantar mesej itu kepadaku. Mungkin kerana mesej kali pertama tidak delivered. Aku terdiam seketika. Tanpa berbuat apa-apa, aku terus bangkit dan menuju ke toilet untuk menyiapkan diri sebelum menunaikan Solat Subuh. Ayat dia terngiang-ngiang sehingga sekarang. Aku tidak mengerti, mengapa aku tidak membalas mesejnya sehingga kini. Tapi, kali ini, aku karang khas satu warkah untuk kau, Acik..
Terkenang kembali saat-saat kita mula menjejakkan kaki ke bumi barokah, Darul Quran. Kita sama-sama masuk mendaftar untuk pengambilan kedua. Kita betul-betul tidak serasi. Pada mulanya, aku agak gembira sebab dapat roommate orang Kedah, sebab mak pun anak kelahiran Kedah. Tapi, setelah beberapa hari berlalu, kita masih tidak bertegur sapa. Sikit-sikit tu, ada lah. Aku jugak yang tergerak nak pergi minta no phone dengan kau, kalau tak...
Setiap kali kakak senior di sekolahku datang menjengukku di bilik, pasti kau tiada. Dan setiap kali kau ada di bilik, aku pula yang tiada. Aku tahu, dulu kau mengadu pada kakak-kakak yang kau tidak serasi duduk sebilik dengan aku. Tapi, setiap kali kakak-kakak bertanya kepadaku perihal kita, “Macam mana dengan roommate?”. Aku jawab, “Alhamdulillah..kitorang OK je..”. Aku cuba berselindung dari hal sebenar. Aku faham kau rasa keseorangan sebab aku selalu bersama-sama rakan-rakan sekolahku dahulu. Jadi, kau pun mengambil inisiatif untuk buat perkara yang sama.
Suatu ketika, kita diminta oleh Exco HEWI untuk menukar bilik. Aku ingat lagi, betapa kerasnya kepala kau saat tu. Kalau baling dengan batu, sure tak pecah kepala kau tu. (Sorry..just kidding..) Alasan yang kau beri, kau tak nak bilik yang menghadap asrama banin. Nanti tak boleh buka langsir dan tingkap. Kau nak bilik yang menghadap taman. Masa tu, kita sama-sama kena ‘ceramah’ dengan akak-akak. Aku dah tak tau nak buat apa sebab aku tak kisah dapat bilik mana-mana pun. Masa tu, aku malas nak layan kau. Suka hati lah nak buat apa pun. Tapi, yang sedihnya, tergamak kau cakap, “Kalau kau nak pindah, pindah la sorang-sorang. Aku nak duduk sini je..” Habis, aku nak duduk dengan siapa? Last-last, aku ikut kau juga..=)
Venue: Surau Asrama Banat,
Agenda: Pembahagian Usrah LADAR, PERKEMAT.
Aduhai.. Tengok-tengok kita satu usrah pula. Kenapa la takdir aku asyik dengan dia je. Tapi, masa tu tak fikir apa dah. Gembira la roommate pun satu usrah. Mungkin di situ titik permulaan untuk kita jadi lebih rapat. Dan dari sinilah terciptanya nama ACIK untuk kau dan ADIK untuk aku.
12 Mac 2008. Ingat lagi tak tarikh ni? Ni lah tarikh keluar result SPM. Aku agak bersendiri ketika itu kerana keputusan yang aku terima kurang memuaskan. Sedangkan aku pernah menjadi 8 top students ketika di Tingkatan 5. Aku menerima suratan ini sebagai takdir dan pasti ada hikmah di sebaliknya. Kau hebat, Acik. Keputusan kau sangat cemerlang. Tapi kau tak tunjuk kebanggaan kau di hadapan orang lain. Kau tenang saja. Mungkin kau nak menjaga hati aku saat itu. Kau seorang yang rendah diri. Aku bangga punya roommate seperti kau.
Venue: Auditorium S.M.N.,
Agenda: AGM IQRaC.
Bermula dari Timbalan TTK, tiba-tiba muncul nama kau, Acik. Hebatnya kau. Bukan senang untuk menjadi seorang pemimpin tatkala diri masih bertatih untuk mengurusnya. Dari awal lagi aku dah Nampak kebolehan kau. Sebab itu, bila ada pungutan undi dari ahli sem kita, aku mengundi nama kau untuk jawatan tu. Aku tahu kau lebih dari boleh, dengan gaya dan perwatakan kau yang sebegitu. Walaupun acap kali kau mengatakan yang kau tidak aktif bersukan, tapi itu bukan puncanya. Kau punya idea dan pemikiran yang rencam dan luar biasa yang tidak semua orang dianugerahkan sebegitu.
Aku menyedari akan kelemahan kau dalam menghafaz. Aku bersalah, Acik..sebab aku tak banyak menolong kau di saat itu. Tapi, aku dah cuba sedaya upaya, Cuma tidak tahu setakat mana keberhasilan pertolongan aku. Bila tiba saat keputusan peperiksaan Sem 1 keluar, kau sedih, kau menangis. Aku dapat merasakan, akulah orang yang paling teruk waktu tu. Bagaimana tergamaknya aku membiarkan kau berada dalam kegagalan sedangkan aku cemerlang. Aku minta maaf,cik..
Aku berusaha untuk membuat surat rayuan bagi pihak kelab supaya pelajar-pelajar yang mendapar rasib dapat meneruskan pengajian di DQ. Melangkah pula ke Sem 2, aku sangat sibuk sepanjang sem tu. Aku tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada kau. Aku minta maaf. Bila tiba waktu exam sem kali ini, kau terpaksa mengasingkan diri. Tidak mengapa Acik, aku faham..
Sewaktu kau bermujahadah untuk ujian tambahan, aku takut untuk mengganggu. Aku cuba untuk membantu dari segi luaran. Aku limitkan kerja-kerja persatuan untuk kau, ambilkan makanan, basuhkan baju dan sampai masa aku pulang ke rumah hujung minggu, aku teringin sekali mengajak kau bersama. Tapi, memandangkan kondisi kau waktu itu perlukan masa untuk mujahadah, aku simpan hajat itu. Malangnya, sehingga kini, kau masih belum berkesempatan untuk bertandang ke rumahku. Tapi, aku pernah pergi rumah kau, Cik.. Ingat lagi tak waktu raya tahun lepas? =)
Sekali lagi, kau diundang perasaan sedih dan sayu. Kali ini, rayuan kau dan sahabat-sahabat lain tidak lagi dilayan oleh Pengarah. Aku amat-amat simpati dengan kau. Aku bersalah, Acik..
Teringat dulu, bila aku sakit, kau tolong urut, kau tolong sapukan ubat, kau tolong ambilkan makanan di dewan makan. Tapi, bila kau sakit, kau tidak beritahu aku pun. Kebanyakannya, aku yang perasan sendiri. “Adik, malam tadi Acik lelah la..”. “Laa..kenapa tak kejutkan adik??”. “Aku tak sampai hati laa..”. Itu lah kau.. Kau pun selalu dengar leteran aku. Kalau bilik bersepah sikit, mesti bingit telinga kau. Tapi kau sabar je. Bilik kita boleh kata macam stor. Mana tidaknya, tempat aku penuh dengan fail-fail SU, tempat kau pula penuh dengan barang-barang kelab. Kadang-kadang aku jadi serabut, tak pasal-pasal kau jadi mangsanya.
Menjelang Musabaqah Hafazan, aku akui, aku sangat-sangat tertekan ketika itu. Hampir seminggu sebelum hari bertanding, aku mengurungkan diri dalam bilik. Masakan tidak, persediaan dibuat saat-saat terakhir. Kerja-kerja persatuan pun banyak terbengkalai. Mujur ada ketua dan sahabat seorganisasi yang membantu. Waktu tu, kau sangat-sangat memahami aku. Kau paksa aku makan, tolong picitkan kepala dan macam-macam lagi. Aku terharu.. Terima kasih, Acik..
Peperiksaan Sem 3, membuatkan aku menjadi tidak keruan. Sebab, masa tu bertembung dengan banyak perkara yang perlu disetelkan. Persediaan pun ntah ke mana. Kau datang membantu. Kau tolong aku mengulang Al-Quran, tolong semak bacaan, tolong study sekali, walaupun waktu tu kau sudah terkecuali dari mengambil peperiksaan. Aku faham perasaan kau pabila orang kata kepada kau, “Alaa..best r kau Acik..x periksa..boleh duk relax..”. Tapi mereka tidak tahu yang kau sudah terseksa buat sekian lama. Kau tabah mengharungi semua ini.
Tamat belajar di DQ, kita berpisah. Aku ke Nilai, kau ke PJ. Aku kagum dengan kau. Kau ambil course MEDIC. Aku doakan kau dapat menjadi doctor yang berbakti kepada agama, bangsa dan Negara. Kau dah jadi doctor untuk aku selama ini. Moga-moga hidup kaulebih cerah selepas ini dan berjaya di dunia dan di akhirat. Doaku moga kau setabah Khadijah, dan doakan aku jua sefaqih Aisyah.
Hari Konvokesyen. Aku mengharapkan kau datang untuk sama-sama meraikan kejayaan ini. Alhamdulillah, aku dapat natijah yang cemerlang. Tapi, anugerah ini bukan untuk aku, tapi untuk ibu bapa dan untuk kau juga. Asalnya, berita yang mengatakan kau tidak dapat hadir, mengecewakan aku. Rupa-rupanya, kau datang juga walau sebentar. Kau buat kejutan untuk aku rupanya. Tahniah, sebab kau pun berjayauntuk khatam 30 juzu’ Al-Quran. Tidak semua orang dapat menikmati pahit manis perjuangan sebagai Huffazul-Quran. Kau beruntung, Cik..sebab kau redha dan sabar atas segala yang menimpa kau. Kaulah satu-satunya sahabat, rakan, taulan, teman dan kawan aku dunia dan akhirat.