MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Showing posts with label Al-Kisah... Show all posts
Showing posts with label Al-Kisah... Show all posts

Wednesday, July 28, 2010

Doaku Untukmu..


Bismillah wal Hamdulillah.


Tersebut al-Kisah..

Sumayyah dan Nusaibah adalah dua orang sahabat karib dan mereka tinggal berjiran. Kedua-dua mereka merupakan mahasiswa di sebuah universiti tempatan. Mereka berdua juga seperti pelajar-pelajar yang lain, ingin mendapat keputusan yang cemerlang pada setiap semester. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid universiti setiap kali masuk waktu solat untuk solat dan berdoa.

"Apa doamu hari ini?" tanya Sumayyah kepada sahabatnya.

"Aku pinta semoga esok hari aku dipermudahkan oleh Allah untuk menjawab soalan-soalan kuiz Statistics esok," jawab Nusaibah.

"Doa kau?" Nusaibah pula bertanya.

Sumayyah cuma senyum tanpa berkata apa-apa.

Keesokan hari, Nusaibah memberitahu Sumayyah berita gembira.

"Alhamdulillah, doa aku semalam dimakbulkan Allah. Aku dapat menjawab soalan kuiz dengan mudah hari ini."

"Alhamdulillah. Hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Sumayyah.

"Aku berdoa moga esok aku akan tenang untuk berhadapan dengan temuduga JPA isnin depan," jawab Nusaibah.

Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid, mengerjakan solat dan masing-masing berdoa.

Sejurus usai berdoa, Nusaibah bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?"

Sumayyah senyum. Masih tiada jawapan.

Beberapa hari kemudian Nusaibah memberitahu berita gembira.

"Syukur aku dapat menjawab soalan temuduga dan berhadapan dengan penemuduga tadi dengan tenang. Nampaknya doaku makbul, Su."

"Tahniah, Ai."

"Aku berdoa juga agar adikku selamat," kata Sumayyah dengan wajah muram.

"Kenapa dengan adik kau?"

"Adikku yang bongsu sakit, Ai. Keadaannya sangat membimbangkan."

"InsyaAllah, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta adikmu selamat," kata Nusaibah.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.

"Bagaimana dengan adik kau?" tanya Nusaibah.

"Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaanya cuma bertambah baik sikit sahaja."

"Doa banyak lagi Su.. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau......" kata Nusaibah.

"Kenapa dengan aku?"

"Su, aku lihat doamu tidak mustajab."

Sumayyah tersenyum.

Melihat Sumayyah tersenyum, Nusaibah semakin hairan lalu bertanya lagi,
"Aku hairan, doa kau tidak makbul tapi kau masih boleh senyum?"

"Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur alhamdulillah."

"Doa yang mana? Sebab aku lihat tidak ada apa-apa perubahan pada kau."

"Doaku sejak dulu hanya untuk kau, sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNya."


***********************




Moral of the story:
Doa kita untuk ibu bapa, saudara-mara, sahabat, dan orang lain sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Apatah lagi, jika kita berdoa tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Itulah keikhlasannya. Sayangnya, ia jarang dibuat oleh kita. Manusia selalu mementingkan diri, sekalipun dalam doanya kepada Allah!



-diadaptasi dari kisah "Doaku Untukmu", Majalah Solusi isu no 22, ruangan 'Angguk Geleng'-


~Aslih Nafsak Wad'u Ghairak~


Friday, May 7, 2010

Syurga di sebelah kananku.. Neraka di sebelah kiriku.. AKU??!


Bismillah wal Hamdulillah.


Syukur pada Allah yang masih memberikan hamba serta sekalian umat Nabi Muhammad akan dua nikmat yang paling besar yakni nikmat Islam dan nikmat Iman.


Ana ada terbaca satu kisah dan suka ana kongsikan di sini kisah yang boleh kita sama-sama jadikan teladan dan muhasabah diri pada hari yang mulia ini.


Seorang budak menangis ketika melihat unggun api terbakar.

Khalifah Harun ar-Rasyid bertanya,
"Mengapa menangis?".

Budak itu menjawab,

"Aku takutkan api neraka".

Khalifah yang adil itu memujuk,
"Anak kecil sepertimu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka."


Sebaliknya budak itu menjawab,

"Aku lihat ketika orang menyalakan api, mereka akan memasukkan ranting-ranting kecil dahulu. Setelah ranting kecil terbakar, barulah dimasukkan kayu-kayu yang besar. Aku takut hal yang sama berlaku di neraka kelak. Aku umpama kayu kecil itukah?"


Mendengar jawapan itu khalifah turut menangis..

Subhanallah..sungguh mulia hati si anak kecil itu..

Astaghfirullah..


Wallahu a'lam.

~Aslih Nafsak Wad'u Ghairak~

thanx to Hazwani Khamaruddin..

Thursday, October 8, 2009

Kalimah Toyyibah..


"Perhatian kepada para penumpang yang dihormati,
untuk keselamatan anda,
sila berdiri di belakang garisan kuning.
Sila beri laluan kepada penumpang yang ingin turun dari tren terlebih dahulu sebelum menaikinya.
Para penumpang dinasihatkan supaya berwaspada terhadap penyeluk saku
dan menjaga barangan peribadi yang dibawa
semasa berada di stesen dan juga di dalam tren.
Anda tidak dibenarkan merokok di kawasan stesen dan di platform.
Terima kasih di atas kerjasama anda."

Setiap hari, bahkan setiap beberapa jam, kami yang menetap di rumah berhampiran dengan stesen KTM UKM ini, akan terdengar suara yang 'merdu' membaca ayat peringatan di atas ni walau tanpa diminta. Kadang-kadang bingit dibuatnya. Sampai boleh hafal ayat keramat tu. Tapi, itu tandanya mereka sayangkan kita. huhu.. Walaupun begitu, syukur alhamdulillah, dengan adanya kemudahan pengangkutan ini, yang sangat-sangat dekat dengan rumah saya (kalau jalan kaki, boleh sampai tidak lebih dari 5 minit), malah apabila keluar rumah ke halaman, boleh nampak kelibat manusia di kawasan KTM tersebut, menjadikan pengangkutan ini sebagai alternatif yang kedua untuk membawa saya ke tempat-tempat lain. Kadang-kadang, tiada siapa yang mampu menghantar saya ke sana-sini, al-maklumlah, kereta sendiri pun tak ada, apatah lagi lesen..hehe..

Maaf, ke situ pulak. Sebenarnya, kali ini, saya ingin berkongsi sedikit, input yang saya dapat ketika mendengar tazkirah di satu tempat. Suka saya untuk mencoretkannya di sini. Moga kita sama-sama beroleh manfaatnya..

Suatu ketika, Musa a.s berdoa kepada Allah:
"Oh Tuhanku, ajarlah aku suatu doa yang aku berdoa dan memohon kepadaMu dengannya."

Tuhannya berfirman:
"Wahai Musa, katakanlah, 'Tiada Tuhan selain Allah'."

Musa a.s berkata:
"Setiap orang mengucapkan 'Tiada Tuhan selain Allah'."

Allah s.w.t berfirman:
"Wahai Musa, seandainya langit yang tujuh dan bumi-bumi diletakkan pada satu tapak tangan dan kalimat 'Tiada Tuhan selain Allah' pada tapak tangan yang lain, maka kalimat 'Tiada Tuhan selain Allah' akan lebih berat (timbangannya)."

"Tiada Tuhan selain Allah". Kalimat ini mempunyai sinar yang berkilau dan sorotan yang menembus tabir. Ia mengoyak lembaran dosa dan kebingungan sesuai dengan kadar kekuatan sinar itu dan kelemahannya. Perbezaan kekuatan cahaya itu pada hamba-hamba tidak boleh diketahui oleh Penciptanya sendiri.

Sesetengah orang, cahaya kalimat ini di hatinya bagaikan matahari. Sesetengah yang lain, cahaya kalimat ini di hatinya bagaikan bintang. Sesetengah yang lain lagi, cahaya kalimat ini di hatinya bagaikan tempat api yang besar. Sesetengah yang lain pula, cahaya kalimat ini, bagaikan lampu yang terang. Sesetengah yang lain, cahaya kalimat ini bagaikan pelita yang agak terang.

Jika cahaya kalimat ini semakin kuat, ia akan membakar keraguan yang bersarang di hati manusia dan menundukkan hawa nafsunya.


Firman Alah s.w.t dalam Surah Ibrahim, ayat ke-24:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلاً۬ كَلِمَةً۬ طَيِّبَةً۬ كَشَجَرَةٍ۬ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٌ۬ وَفَرۡعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Kebahagiaan orang mukmin adalah mencintai Allah. Manakala cinta kepada Allah merupakan kebahagiaan tersendiri, asasnya lebih dalam dari setiap yang dalam. Mereka yang benar-benar beriman sahajalah yang dapat merasakannya. Dan perasaan ini, tidak boleh ditukar ganti dengan apa pun.


Wanita itu lebih mahal daripada harta simpanan dan lebih berharga daripada kekayaan.

Wednesday, October 7, 2009

Menangis Bukan Kerana Kurang..


Al-Asma'i menceritakan bahawa seorang Arab Badwi telah datang kepada Talhatut Tulahat.

"Sudikan tuan menitiskan kepadaku sedikit dari kekayaan yang Allah telah curahkan kepadamu?" Tanya Badwi itu.

Talhah terus memanggil pelayannya: "Wahai ghulam! Berilah si Badwi ini sesuatu yang ada di dalam bekas itu."

Pembantu Talhah terus membuka bekas wang tuannya dan menuangkannya ke dalam saku si Badwi sehingga penuh dengan dinar.

Melihat rezeki yang banyak itu, si Badwi menangis kerana sangat terharu.

"Mengapa engkau menangis?" Tanya Talhah.

"Tidak ada apa-apa."

"Barangkali apa yang engkau terima itu tidak cukup, atau engkau memandangnya terlalu sedikit?"

"Tidak tuan. Demi Allah, aku bukan menangis kerana apa yang aku terima ini terlalu sedikit."

"Jadi apa yang engkau tangiskan?"

"Akan tetapi aku menangis, kerana membayangkan kalau-kalau orang dermawan seperti tuan ini mati."

"Hai ghulam! Berikan wang itu dengan bekasnya sekali kepadanya." Kata Talhah.