MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..


Sunday, August 21, 2011

Berkat Ramadhan..


Satu hari, emak dan saya mengikuti program tadarus di sebuah masjid. Namun, kami berlainan kumpulan. Waktu itu, jam sudah menunjukkan jam 11.15 pagi, kumpulan emak sedang mengadakan tazkirah ringkas, sedang kumpulan saya masih lagi meneruskan bacaan tadarus.

Tiba-tiba emak membuat 'missed call' di handphone saya, lantas saya terus mengalihkan pandangan kepada emak. Emak menunjukkan isyarat, tangannya melambai-lambai memanggil saya. Saya terus bangun dan menuju ke sana. Setibanya di sana,

"Siti, ingat tak ayat yang kata 'dengan berzikir hati kan menjadi tenang?', kat mana ayat tu?", tanya emak saya.

Di sebelah emak, ada seorang ustazah. Ustazah itu yang sedang mencari-cari kedudukan ayat itu di dalam Al-Quran.

"Tahfiz ke?", tanya ustazah itu pada saya, pandangan saya beralih kepada ustazah tu. Saya tidak angguk, tidak geleng.

"Tahu tak ayat tu kat mana?", tanya ustazah tersebut, siap membacakan ayat yang dimaksudkan.

Saya terus mencapai Al-Quran pada emak saya, mencari ayat tersebut yang saya kira ayat "glamour".

Namun, ingatan saya terus kabur akan kedudukan ayat tersebut. Hampir dua minit saya membelek setiap muka surat mengikut anggaran saya. Ustazah tersebut turut serta mencari ayat tersebut di dalam Al-Quran.

'Ya Allah..'

Saya tertunduk.

Saya tutup Al-Quran, saya pejamkan mata.

Dalam hati, saya memohon, 'Ya Allah.. Ampuni aku..'

Saya buka mata. Saya buka kembali Al-Quran yang dipegang. 'Bismillah..'

Subhanallah.. Dengan izin Allah, tepat-tepat muka surat yang dibuka itu menunjukkan kedudukan ayat tersebut. Lantas, hati saya mengucapkan syukur, 'Subhanallah.. Alhamdulillah..'


*****

Ada beberapa lagi peristiwa yang hampir sama yang saya alami..

Hampir menitiskan air mata bila ianya terjadi pada diri sendiri. Saya sering berfikir, apa hikmah yang Allah ingin sampaikan. Mungkin sebilangan orang akan berkata ianya hanyalah "kebetulan", "nasib", dan sebagainya.

Namun, bagi saya, ianya mungkin juga satu peringatan yang Allah ingin berikan pada saya. Atau, adakah sebagai tanda ada barokah pada bulan yang mulia ini, iaitu Ramadhan.

Kadang, kita tidak perasan, setiap apa yang kita ungkapkan atau hajatkan di bulan Ramadhan, diperkenankan oleh Allah, sama ada cepat atau lambat sahaja.
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa, imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti"."

Namun, kita sering mendabik dada, mengatakan kita lah yang punya kehebatan dan kepandaian. Walhal, segalanya atas kurniaan Allah, jua sebagai ujian buat hamba-hambaNya.
"Maka apabila manusia ditimpa bencana, dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan nikmat Kami kepadanya, dia berkata, 'Sesungguhnya aku diberi nikmat ini kerana kepintaranku'. Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." (Az-Zumar, 39 : 49)
Rasulullah pernah mengungkapkan fadhilat bulan Ramadhan dalam sebuah khutbah baginda,
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah fardu dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”

Sesungguhnya bulan Ramadhan, padanya penuh keberkatan dan ganjaran, buat hamba-hambaNya yang sedar dirinya punya agama dan iman. Ayuh, tidak terlambat lagi untuk kita menyahut seruan Allah dan RasulNya..

Bukankah kita telah bersaksi, bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah..

لا إله إلا الله..

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Friday, August 19, 2011

لو كان بيننا الحبيب


ِAlhamdulillah, masih diberi peluang untuk beribadah dan berbakti sehingga ke saat ini.

Saya berkesempatan untuk mengikuti satu program tadarus Al-Quran yang diadakan sejak 1 Ramadhan lalu, anjuran Masjid Al-Hasanah, B. B. Bangi.

Satu hari, sedang bertadarus, Puan Hidayah (yang merupakan Timb. Pengarah penganjur, juga merupakan ahli satu group tadarus dengan saya) datang menyapa saya, sebelum beliau berlalu untuk melakukan sedikit kerja. Katanya,

"Aishah, nanti dah habis tadarus, bagi sedikit tazkirah ye. Tak kisah la pasal apa-apa pun. Baca sikit tafsir dalam Al-Quran pun jadi la.."

Saya terdiam, lalu mengangguk, tanda setuju barangkali, tak sanggup untuk menolak permintaannya.


Kebetulan waktu itu kami sedang bertadarus Surah Al-Hajj, Al-Mu'minun, An-Nur, Al-Furqan dan Asy-Syu'ara'. Saya fikir, elok juga kalau sentuh sedikit intipati dalam Surah Al-Mu'minun.

Sedang khusyuk menyemak bacaan ahli tadarus, terdengar makcik-makcik di sebelah saya rancak bersembang. Saya tersenyum. 

Tiba saat tugas saya untuk memberikan tazkirah buat diri saya dan ahli-ahli tadarus yang lain, yang kesemuanya berpangkat 'makcik' ^^, plan saya bertukar.

Tidak semena-mena saya mengambil satu ayat di dalam Surah Al-A'raf, ayat 204.

وَإِذَا قُرِ‌ئَ الْقُرْ‌آنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْ‌حَمُونَ 
 Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

Saya cuba menyampaikannya dengan cara elok dan berhemah, bimbang ada yang tidak dapat menerimanya jika disampaikan dalam keadaan yang memerli dan menyalahkan mereka. Satu situasi saya selitkan dalam tazkirah saya buat renungan mereka amnya dan buat saya khususnya,

"Saya selalu andaikan, jika Rasulullah ada bersama kita dalam tadarus ini, dan Rasulullah sedang membaca ayat-ayatNya, lalu kita di tempat kita bersembang dengan orang di sebelah, agak-agaknya bagaimana perasaan Rasulullah? Tergamakkah kita melakukan hal sedemikian dihadapan baginda?"

Bukan hanya makcik-makcik itu yang tersentak, saya juga seakan 'disimbah asid' dan seolah-olah ingin mengalirkan air mata di saat itu..

لو كان بيننا الحبيب

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Thursday, August 18, 2011

'Cuti' Sementara..


Bismillah wal Hamdulillah.

Malam ini merupakan malam ke-19 Ramadhan, bermakna sudah 18 hari kita berpuasa. Alhamdulillah, Allah masih memberikan ruang dan peluang untuk kita meneguk pahala yang berganda di bulan yang mulia ini.

Penulis memohon maaf kerana turut menjadikan blog ini tidak bertinta buat sekian lama. 'Berpuasa' juga barangkali..

Sebetulnya, post ini dikhususkan buat para wanita, namun bila difikirkan kembali, ada manfaatnya juga jika kaum Adam turut membacanya.

*****

"Alamaaaak..!! Apesal uzur waktu-waktu macam ni??"

"Alahai, dah masuk 10 malam terakhir baru datang 'period' plak! Melepas aku.."

Tak kurang juga..

"Whoaa.. Akhirnya saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Dapat la aku makan banyak-banyak, sahur tadi tak berapa kenyang plak.."


Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.  (Al-Baqarah : 222)

Ya, pelbagai persepsi dan respon yang diberikan bagi sekalian wanita yang mengalami menstruasi. Walaupun kondisi dan emosi kita tidak berapa stabil ketika itu, namun antara sedar tidak sedar mulut kita juga turut 'teremosi'.

Apakah maksudnya? Maksudnya, seperti contoh-contoh statement yang diberikan di atas. Barangkali kita terlupa, kita marah-marah, kenapa datang hari ni, kenapa datang waktu ni..? Kita lupa, siapa yang 'tetapkan' sebenarnya..

Sekalipun, pelbagai ubat-ubatan ditelan ketika hendak menunaikan haji contohnya, namun jika Allah telah menetapkan, kita tidak dapat menghindarinya.

Namun, perlu diingat, 'cuti' sementara ini bukanlah cuti dari segalanya. Kita masih bisa mengumpul saham dan pahala dengan mengalunkan zikir-zikir harian, menyediakan juadah sahur dan berbuka, mendengar bacaan Al-Quran, serta bersedekah setiap hari.

Jadikan bulan Ramadhan ini bulan untuk melatih kita dengan sifat sabar, bukan sahaja menahan dari lapar dan dahaga, malah menahan dari mengeluarkan kata-kata yang kesat dan menyakitkan, menahan mata dari melihat perkara-perkara yang tidak baik, menahan telinga dari mendengar lagu-lagu yang melalaikan.

"Alhamdulillah.. Mungkin ada hikmahnya.."

Lebih manis dan elok jika keluar perkataan ini.. :)


~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Wednesday, July 27, 2011

Harapan Ramadhan..


Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah..
Dengan rahmatMu oh Tuhanku..
Ku tempuh jua..


Album : Maafkan
Munsyid : Raihan ft. Man Bai
http://liriknasyid.com

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Tuesday, July 26, 2011

Adakah Aku Tidak Redha..?


Sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, maksudnya : Dari Jabir r.a., beliau berkata :

"Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda tiga hari sebelum wafatnya : Janganlah sekali-kali salah seorang di antara kalian mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah." (Hadith Riwayat Ahmad)

"Kita dah cuba untuk redha dan bersangka baik dengan Allah. Tapi kalau masih menangis dan berendam air mata, itu bukan kah tandanya masih tidak dapat menerima lagi ketentuanNya?"


Luahan seorang sahabat kepada saya.

Saya tidak menjawab pertanyaannya. 

Sebelum dari itu dia meminta saya memberikannya 'ubat hati'. Lantas saya terus menyelak helaian Al-Quran untuk diberikan kepadanya 'surat cinta' dariNya, kerana ia adalah ubat yang paling mujarab bagi hati.. :)

"Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (Surah An-Nahl, 16 : 96)

Saya cuba meneka pergolakan yang ada di dalam hatinya. Ya, ianya mengena! Semestinya Allah telah menghantar ayat penguat itu kepadanya berwasilahkan saya. Saya hanya menyampaikan, tanpa saya sedari. Syukur pada Allah.

Situasi yang dialaminya barangkali turut juga dialami oleh sebilangan pelajar yang hajat mereka tidak kesampaian untuk menyambungkan pelajaran ke tempat yang mereka ingini. Mungkin, rezeki untuk kita belum tiba masanya lagi.

Mengapa saya katakan "kita"?. Kerana saya turut mengalaminya tahun lalu. Cuma yang berbeza, dia tidak dapat tawaran untuk menyambungkan pelajaran ke sana, tetapi saya dapat, cuma tidak diizinkan untuk ke sana. Kisah pengalaman saya, saya kongsikan bersama sahabat saya itu, sebagai menjawab soalannya, sekali gus cuba untuk merawat hatinya yang luka.

Saya cuba memahaminya dengan mendatangkan hikmah yang kemungkinan kita akan hadapi.

"Waa..saya sangat sedih tahu tak Aishah.. Saya musafir, mabit di rumah kawan. Alhamdulillah, Allah bagi ubat sikit (dengan mabit tu saya tahu rupanya kakak tu pun berhajat nak pergi Jordan, tapi tak dapat. So, dapatlah sikit kekuatan dari dia). Tapi saya masih berduka.. Takut-takut nanti dah daftar UIA, saya angau lagi dengan Jordan. Hati teringat-ingat.. Aduh. Macam kena sampuk cinta pula rasanya.."


"Kamu tahu tak saya apply Jordan tahun lepas?"

"Ye ke? Tapi kenapa tak pergi?"

"Waktu tu hati saya dah berbunga-bunga nak pergi. 5 hari sebelum masuk daftar ke UIA Gombak, bapak saya kata, "tak payah pergi la Jordan, masuk UIA je..". Mula-mula memang rasa tersentak. Ye lah kan, kita dah semangat nak pergi Jordan. Sudah lah tidak membuat preparation langsung ke UIA, borang-borang pun tidak terisi. Tapi.. Saya pujuk hati saya, saya kata, mungkin Allah dah sediakan tempat saya di UIA, walaupun saya tak minat langsung ekonomi. Dan saya percaya, tempat saya bukan di Jordan. Sehinggalah saat ini, saya terus cuba untuk gagahkan kaki berada di bumi UIA. Alhamdulillah, hari demi hari, saya dapat terima hakikat. Barangkali khidmat saya lebih diperlukan di sini..bersama keluarga..bersama masyarakat di sini..bersama sahabat-sahabiah di sini.. Ada yang lebih memerlukan kita di sini, tapi bukan di sana.. :)"

"Ye ke.. Tragisnya.. Moga Allah sudi pinjamkan saya sikit dari kekuatan kamu.. :) Nak memulakan hidup baru, dengan bi'ah (suasana) baru, sorang-sorang tanpa teman, yang paling penting, hati tak hadir sekali. Ah..perit juga tu. Memang sangat-sangat perlukan kekuatan. Saya apply UIA ni pun, sebab umi saya beria-ia sangat nak saya masuk UIA. Bila dah saat-saat akhir ni, terfikir juga, nak buat kerja gila ke tak. Saya uruskan sendiri permohonan ke Jordan. Bila saya dapat tahu saya dapat UIA, saya senyap je. Umi tanya, baru saya bagitahu, dan dia sangat-sangat seronok. Terpaksa la saya sorok lagi air mata ni.."

"Menggembirakan hati si ibu, adalah satu nikmat syeikh.. (saya gemar memanggilnya 'syeikh', tapi orangnya perempuan ya). Kalau nak ikut rentetan hidup dan pendidikan saya, segalanya atas wasilah dari Allah kepada ibu bapa saya. Dari start sekolah menengah, sampai la sekarang, saya ikut sahaja apa yang mereka mahu. Sebab saya yakin, mereka lebih tahu apa yang terbaik buat diri saya. Kini baru saya terfikir, kalau aku kat Jordan, siapa yang nak mengajar mengaji pada orang-orang kampung? Kalau aku kat Jordan, siapa yang nak menemani mak waktu cuti? Kalau aku kat Jordan, mana mungkin aku bisa menemui kawan-kawan tajaan YBR untuk saya kenali dan bimbing mereka. Sebab di Jordan, mungkin sahaja kebanyakannya orang yang berpendidikan agama. Dan barangkali sudah ada insan-insan lain yang telah Allah sediakan untuk berbakti pada masyarakat kita di sana. Kalau semua pakat gi, siapa yang nak jaga kat sini? Dan ingat, kamu di UIA, tidak keseorangan syeikh.. :)"

"Aiwaah.. Sebab saya ada kamu di UIA. Semoga saya pun menjadi seorang anak yang baik macam kamu. :)"

"InsyaAllah.. :) Allah knows better."

":) Saya kena lebih kuat! Bila mahu kahwin cik..?"

--ok, perbincangan dipotong--

"Kamu dah ok ke belum?"

"Hmm.. Sedang cuba meng'ok'kan diri. :) Kejap saya ok, ok lah. Kita akan rasa yakin dengan apa yang Allah dah tetapkan. Tapi bila kadang-kadang teringat tu, tu yang dia rasa lemah balik. Hati belum bulat lagi tandanya tu. Tu yang berbolak-balik rasa hatinya. Itu yang saya terus mencari ubat hati. Berjalan dan explore, dengan harapan, Allah akan tunjukkan sesuatu pada saya. Dan dalam perjalanan saya, Allah tunjukkan kesabaran teman-teman saya yang tidak dapat ke sana juga. Hebat mereka! Antaranya ialah kamu.. ;) Sekarang, kena struggle untuk bulatkan hati. Tanamkan rasa cinta pada UIA. Aim master pula ke Jordan.."

"Sudah la. Usah difikirkan lagi. Pergi sibukkan diri. Kerana apa, anda mampu melakukannya! :)"

Berkongsi dan menggembirakan orang lain adalah salah satu kekuatan untuk diri saya. Saya gembira melihat orang lain gembira. Moga-moga, diri dan hatinya mampu untuk terus kuat menerima apa yang telah Allah sediakan. Yang penting, kita kena sentiasa beringat, tidak semua yang kita inginkan adalah baik untuk diri kita, walhal apa yang tidak kita inginkan, Allah berikan kerana itu yang kita perlukan.

Setiap insan diberi ujian yang berbeza. Hatta kesenangan, kesihatan dan kemewahan juga merupakan satu ujian. Setiap ujian yang Allah sandarkan, insyaAllah pasti ada hikmah dan rahsia yang Allah tidak bentangkan serta-merta. Kebiasaannya kita akan menyedarinya setelah kita mengharungi ujian tersebut. Barulah kita mengerti kepahitan yang kita rasai rupa-rupanya ada kemanisan di penghujungnya. :)
"Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah As-Syarh, 94 : 6)
Kuncinya adalah sabar, dan solat..
"Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar." (Surah Al-Baqarah, 2 : 153)
 Wallahu a'lam.

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~

Sunday, July 24, 2011

Husnul Khatimah..


Bismillah wal Hamdulillah.

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan pada Yang Maha Esa, kerana tanpa keizinanNya, entri ini mana mungkin bisa dikarang sebaiknya.


Hampir seminggu berkampung di MARDI, Serdang. Mengikuti Program Pembangunan Modal Insan untuk pelajar-pelajar tajaan Yayasan Bank Rakyat. Turut bersama mencedok ilmu daripada Rebutia Excellent Consultancy selama 3 hari.


ALHAMDULILLAH. Kata-kata syukur yang bermakna dan mendalam.

Selain tempat penginapan yang ala-ala hotel, makanan disaji 6 kali sehari, impak yang paling terkesan adalah ukhuwwah dan persahabatan yang terjalin antara kami. Jumlah peserta yang asalnya seramai 43 orang, namun yang dipilih oleh Allah untuk hadir adalah seramai 27 orang sahaja. Ini satu peluang bagi kami untuk mengenali antara satu sama lain, baik dari segi perwatakan, personaliti mahupun cara percakapan. Hanya dalam masa 6 hari, kami mampu membuktikannya!

[ alamak, takdela gambar ramai-ramai nak letak.. =.= ]

Perkataan "Segala Puji Bagi Allah" lebih layak menggantikan "Best gilerr..", "Seronoknya...", "Syok sioot..".. :)

Kali ini, tertarik untuk berkongsi satu cerita yang saya dapat dari Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh salah seorang trainer kami, En. Rosmanizam Rosdi. Ceritanya lebih kurang begini..

Pada suatu hari ada seorang pakcik tua, datang kepada seorang ustaz. Katanya, "Ustaz, cucu saya minta saya mengajarnya mengaji, tapi saya sendiri tak pandai mengaji. Boleh ustaz tolong mengajar saya?"

Lalu, ustaz itu pun mengajarnya. Walaubagaimanapun, mungkin disebabkan faktor usia dan lidah yang sukar dibentuk untuk menyebut huruf-huruf al-Quran, pakcik itu tidak mampu untuk membacanya. Kemudian, pakcik itu bertanya, "Ustaz, ada tak cara lain untuk saya dekat dengan Al-Quran?"

Kata ustaz itu, "Kalau tidak mampu untuk membacanya, cukuplah dengan sentiasa mencintai dan mendampingi Al-Quran."

Apa yang dilakukan oleh pakcik itu, setiap hari beliau pergi ke masjid dengan mendakapkan Al-Quran ke dadanya. Sehinggalah satu hari, dalam perjalanan ke masjid, sambil membawa Al-Quran yang disandarkan pada dadanya, takdir Allah Taala pakcik itu dilanggar oleh sebuah kereta, sehingga beliau menemui ajalnya di situ dalam keadaan elok mendakap Al-Quran. 

Situasi menjadi cemas bilamana Al-Quran itu tidak dapat dikeluarkan dari dakapannya dek tangannya memeluk erat Al-Quran itu sehingga sukar untuk dileraikan. Pelbagai cara telah dilakukan, namun akhirnya kata seorang imam, kita kapankan dan kebumikan sahaja jenazah dengan postur yang begini. Biarlah ini menjadi bukti kecintaannya pada Al-Quran..


Allah.. Ketika mendengar cerita tersebut, air mata sudah bergenang.. Menginsafi kelemahan dan kekurangan diri. Sangat beruntung pakcik itu pabila nyawanya ditarik, hatinya bersama dengan Al-Quran. Kita yang lancar bacaan, siap bacaan berlagu, masih belum tahu kita mampu atau tidak untuk mati bersama-sama dengan hati yang benar-benar mencintai Al-Quran.

Hadith Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam, riwayat Abu Daud dan Tirmizi dan beliau berkata hadith ini hasan sahih:
Daripada Abdullah Bin 'Umru Bin Al 'As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda : Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan.
Mungkin tanpa kita sedari, terlalu banyak perkara yang kita anggap lucu dan kelakar, sehingga gelak dan ketawa dalam keadaan berdiri, duduk dan baring. Saat itu, hati bisa menjadi malap dari cahaya ilmu dan iman. Maka, sama-samalah kita segera beristighfar, sebagai satu cara untuk kita kembali mengingati Allah, dan mengingati mati, yang bakal dijemput oleh malaikat Izrail yang sentiasa berlegar-legar di sekeliling kita, menunggu sahaja masa untuk menjalankan amanahnya, tidak lambat dan tidak cepat, walau seminit.

Mudah-mudahan pengakhiran hidup kita adalah dalam keadaan baik, beriman, beramal soleh dan bertaqwa pada Allah Taala, atau dalam erti kata lain, "Husnul Khatimah" iaitu sebaik-sebaik pengakhiran. Mohon dijauhkan andai kita dimatikan dalam keadaan kufur dan berbuat maksiat pada Allah. Berdoalah untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat, buat diri kita dan saudara-saudara seIslam kita yang lain. Moga-moga ada keberkatan dalam setiap doa yang kita hajatkan, insyaAllah.

"Ya Allah, jika aku mati, matikanlah aku dalam keadaan sebaik-baik pengakhiran, dan janganlah aku mati dalam keadaan seburuk-buruk pengakhiran.."

~ Aslih Nafsak Wad'u Ghairak ~