MUTIARA KATA..


NABI MUHAMMAD S.A.W. PERNAH BERSABDA:

"BUKANLAH KEMULIAAN ITU DENGAN MEMAKAI PAKAIAN CANTIK DAN BERSEGAK, TETAPI IA ADALAH DENGAN KETENANGAN (SOPAN SANTUN) DAN MERENDAH DIRI."

-RIWAYAT AD-DAILAMI-


Permata Agama yang diredhai ALLAH..

Saturday, March 30, 2013

Keluarga Baru..


Bismillah wal Hamdulillah.

Setelah sekian lama jari tidak mengalunkan rentak di laman ini, segala sesawang datang menghinggap. Ah, perlu dibersihkan. Kalau mahu hati 'hidup', perlu dibasahi dengan zikrullah. Jika blog tidak terjaga, dakwah menerusi pena yang diniatkan perlu dimuhasabah.

Alhamdulillah, hampir 6 bulan memegang taklifan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar UIAM (atau dikenali sebagai Students' Representative Council IIUM). Benarlah kata orang, guru terbaik adalah pengalaman. Pelbagai rempah dan rasa ditelan dan diharungi sepanjang memegang amanah ini. Ada yang manis, ada yang pahit, dan ada yang tawar.

Segalanya memerlukan kesabaran, ketahanan dan ketabahan. Sehingga ke hari ini, alhamdulillah masih mampu menguntumkan senyuman walau pada awalnya sedikit sengsara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru, tanggungjawab baru, KELUARGA baru!


Ya, sahabat-sahabat dalam SRC sangat supportive. Bila ada yang jatuh, ada yang tolong bangkitkan. Bila ada yang sedih, ada yang ceriakan. Bila ada yang sakit, ada yang berikan ubat. Bila ada yang salah, ada yang nasihatkan. Kami ber-empat belas (Malaysian-Gombak), susah senang, suka duka kami rasainya bersama. Walau ada yang menekan dan mencemuh, penuh dengan birokrasi pentadbiran, kami tetap bersatu membawa suara pelajar dan berusaha menjaga kebajikan mereka.

Bagi kami, biarlah kami yang sakit, biarlah kami yang tanggung, asalkan mereka yang lain dapat merasai faedah dan nikmatnya. Kami tidak pula meminta satu sen pun, hanya mengharapkan sokongan dan pemahaman. Dengan kudrat 18 orang (hakikatnya tak semua), kami cuba untuk memenuhi kehendak 22 ribu orang pelajar. Tanpa anda-anda yang membantu, kami pasti jatuh dan tenggelam di lautan yang dalam.

Dalam 'kesibukan' menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan mahasiswa, kami perlu peruntukkan masa untuk memikirkan hal kebajikan pelajar. Biarlah orang melabel kami "kaki meeting", impaknya untuk kesenangan mereka juga. Kami bahagia, kerana kami dapat berbakti pada mereka. Erti hidup pada memberi, kata Abu Saif.

Masa yang berbaki ini, kami akan cuba sebaiknya mengotakan janji kami, memberi kepuasan kepada pelajar dan menyediakan perkhidmatan yang sebaiknya, meskipun ada tentangan dan desakan yang melampau, kami kan tetap berjalan hingga mampu berlari membawa misi.

Untuk akhirnya, cukuplah DOA dan partisipasi yang kami harapkan dari kalian. Jatuh bangunnya mahasiswa dan remaja hari ini, penentu kepada jatuh bangunnya mahasiswa dan remaja akan datang. Usah sia-siakan peranan mahasiswa, kerana kuasa memilih di tangan kita! Jangan lupa mengundi pada PRU-13 nanti. Orait! (Tetibe~)

Sekian, wassalam.

Al-faqirah ilAllah..,
Siti 'Aishah Jauhara binti Surtahman
Vice President 3
& Representative from Kulliyyah of Economics and Management Sciences (KENMS)
Students' Representative Council IIUM 2012/2013

[ini bukan official statement. hanya cetusan rasa peribadi di laman blog peribadi. peace~]





Kau Ilhamku..


Sekalipun ombak datang menerpa
Meskipun pedang terhunus merobek bahagia
Andainya gunung rebah di jalanan setia
Kau tetap teguh di situ
Memahami aku setiap satu..

Terduduk kaku meniti hujan kecil di kamar nan sepi
Menjengah angin kencang bersatu hilaian tengkujuh
Tegarnya dikau berpaksi di laluan berduri
Mendidik aku mengilham jati diri seia bertujuh..

Sisipan mutiara di lautan yang dalam
Kau lindung, simpan dan senyum
Bagaimana harus ku kutip cengkerang itu
Andai segalanya kau pilih untuk perit dan sakit sendiri..

Sakit itu kau tahan
Derita itu kau telan
Kau dengan wajah tenang berzikir
Memuji keagungan Tuhan..

Terima kasih tidak terhingga buatmu,
Kerna tiada keluhan dan lelah kau beri
Untuk melihat aku teguh berdiri
Untuk melihat ummat ini kembali pada Ilahi
Dan demi sesungguhnya dikau pencetus ilhamku..


~'Aishah Jauhara~
30 Mac 2013
1.14am
Bangi, Selangor